Search This Blog

HOME

Tuesday, April 30, 2013

Amalan-Amalan Khurafat.


MUQADDIMAH

Islam amat menitikberatkan soal-soal aqidah dan syariah. Segala amalam dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber asal Al-Quran, Hadiths, Ijmak dan Qias adalah ditolak.

Namun amalan khurafat ( superstitions ) yang diwarisi oleh nenek moyang kelihatan masih terus juga bertapak di tengah masyarakat masa kini dan menjadi semacam satu masalah yang menganggu kejernihan dan kestabilan Aqidah Islami.

Pembahasan mengenai khurafat adalah terlalu luas. Dengan itu di sini kami tumpukan skop pembahasan kepada pengertian khurafat, bentuk-bentuk khurafat yang masih dipraktikan masa kini, khususnya penggunaan tangkal, azimat & wafaq dan bahaya amalan-amalan tersebut, khususnya masalah penggunaan khadam jin dan masalah saka.

Diharapkan memalaui lelaman ini, dapat digerakkan usaha membenteras amalan-amalan tersebut daripada terus menular agar masyarakat dapat diselamatkan daripada terjebak dalam bahaya syirik. Firman Allah yang bermaksud :

"..... dan siapa yang ingkar ( akan syariat Islam ) sesudah dia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya ( yang baik ) dan adalah dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi." ( Al-Maidah :5 )

"..... dan sesiapa di antara kamu yang murtad ( berpaling tadah ) dari agamanya ( agama Islam ), lain dia mati sedang dia kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya ( yang baik ) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya ( selama-lamanya )" ( Al-Baqarah : 217 )

Maka itu, persoalan khurafat ini adalah satu perkara yang amat penting dan serius. Kelihatannya ia perlu difahami dengan baik dan tepat, untuk membolehkan ia ditangani secara bijaksana dan segera, agar ummah tidak perlu terus terperangkap dalam bahaya yang dibawanya, samada yang membabitkan persoalan hidup mereka di dunia ini, atau yang lebih utama lagi, yang membabitkan persoalan kehidupan mereka di akhirat kelak.


DEFINASI KHURAFAT

- Perkataan khurafat ini berasal dari bahasa arab : kharafa-yakhrifu-kharfan-khurafatan.

- Dari pandangan bahasa Inggerisnya merujuk kepada "superstition".

- Dalam bahasa Latinnya yang membawa maksud sesuatu yang dipetik, atau cerita bohong, dongeng dan tahayul, atau sesuatu hal yang tidak masuk akal, atau sesuatu yang dusta tetapi menarik.




Rujukan teknikal kepada istilah ini adalah tertumpu kepada pengertian berikut :-

1. Pegangan atau iktikad yang tidak bersandarkan kepada asas realiti dan tidak juga bersandarkan asas agama, seumpama ungkapan atau perbuatan atau juga bilangan tertentu yang disangkakan boleh mendatangkan kebahagian ataupun kecelakaan.

2. Semua kepercayaan, keyakinan atau kegiatan yang tidak bersumber dari ajaran agama, tetapi diyakini bahawa hal tersebut memiliki dasar dari agama.

3. Dongeng, kisah, legenda, cerita, asumi, kepercayaan atau keyakinan yang tidak benar. Ia adalah iktikad yang batil, di mana lawannya ialah iktikad yang benar ( al-haq ).

4. Setiap pengajaran yang jelas bertentangan dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

5. Semua perkara yang dicipta oleh manusia melalui pemikiran karutnya tanpa asas syariah atau akal sihat; kemudian diyakini pula sebagai boleh mendatangkan manfaat ataupun menolak bala.

Berdasarkan pelbagai definasi teknikal yang tercatat di atas, ciri dan skop istilah khurafat boleh disimpulkan sebagai merangkumi aspek-aspek berikut :-

1. Adanya unsur kepercayaan dan iktikad yang diyakini.

2. Ia secara jelasnya bukan datang daripada sumber ajaran agama Islam, serta bertentangan pula dengan logik akal dan realiti, dan kerana itu ia merupakan sesuatu yang batil yang langsung tidak mengandungi unsur kebenaran.

3. Ia diyakini sebagai boleh mendatangkan kebahagian/manfaat atau kecelakaan/bala.


BERTAPAKNYA AMALAN KHURAFAT DI RANTAU INI

Lembaran sejarah telah memcatatkan bahawa manusia yang menghuni rantau ini memulakan keagamaan mereka dengan menganut fahaman dinamisme-animisme.

DINAMISME

1. Fahaman dinamisme ialah suatu kepercayaan yang menyakini adanya tenaga atau kuasa ghaib yang tidak berperibadi pada tumbuh-tumbuhan, benda-benda, haiwan ataupun manusia sendiri.

2. Ia berupa prestasi luar biasa yang dimiliki. Maka itu, lelaki yang sangat berani, kayu yang paling kuat, pokok yang lebih banyak buahnya dipercayai mempunyai kuasa yang lebih banyak daripada lainnya.

ANIMISME

1. Adapun fahaman animisme pula merupakan kepercayaan akan adanya jiwa dan roh yang dapat mempengaruhi kehidupan alam manusia.

2. Biasanya animisme akan menimbulkan sesuatu praktis seperti pemujaan dan perhambaan diri kepada sesuatu kuasa ghaib yang berperibadi, dengan mengharapkan perlindungan atau pertolongan bagi mendapatkan sesuatu.

3. Pertolongan makhluk halus adalah sebenarnya daripada makhluk jin.


PENGARUH HINDUISME-BUDDHISME

1. Seterusnya rantau ini dipengaruhi ajaran Hinduisme-Buddhisme.

2. Hinduisme-Buddhisme itu sebenarnya sudah mempunyai unsur-unsurdinamisme-animisme yang tersendiri dan keadaan ini menyebabkan dinamisme-animisme tidak tergugat dan terus berkembang

KEDATANGAN ISLAM

Sekalipun agama Islam merupakan agama yang cukup ketat dan cukup tegas unsur tauhidnya, namun cara dan pendekatan pendakwahan dalam proses penyebarannya di rantau kita ini adalah berlansung dalam bentuk yang penuh toleransi dengan sikap tidak mengubah, tetapi menyesuaikan :

Dari itu, upacara persembahan dan pemujaan yang diwarisi daripada fahaman animisme dan Hindu-Buddha tidak terus dihapuskan tetapi diubahsuai. Maka adat-adat persembahan dan jamuan kepada roh-roh diubah kepada kenduri tahlil yang dimakan bersama. Adat membakar kemenyan dan bacaan mentera kepada roh-roh selepas mati diubah kepada upacara tahlil dan doa dengan nada yang panjang dan sedih.

1. Dengan pendekatan dakwah bergini ramai sekali golongan manusia memeluk agama Islam tanpa perlu berlakunya pertumpahan darah.

2. Nanum amalan-amalan keIslaman menjadi bercampur-aduk dengan kepercayaan amalan-amalan yang diwarisi dari nenek moyang kita.

3. Amalan menyeru, memohon dan memuja makhluk ghaib ( dinamisme-animisme ) masih dihayati dan dipraktik, sekalipun sudah memeluk Islam

4. Perlu ditegaskan bahawa satu sikap yang amat terlarang menurut hukum Islam ialah sikap meminta-minta pelbagai jenis hajat daripada makhluk jin.

Dalam kontex ini Allah berfirman yang bermaksud :

"Dan bahawa sesungguhnya adalah ( amat salah perbuatan ) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat."( Al-Jin 72:6 )

1. Sekalipun yang diseru itu datangnya daripada golongan jin Islam yang sahih, ini dilihat sebagai bermasalah dari segi pandangan Islam yang murni. Dan tentulah akan lebih-lebih dilarang apabila jin yang berkaitan datangnya daripada golongan jin yang     kafir.

Pengekalan tradisi campur-aduk seumpama inilah yang menjadikan ajaran Islam yang dihayati dan diamalkan oleh sebahagian umat Islam di seluruh dunia, termasuk di negara kita, menjadi tercemar dan tidak murni.


BENTUK-BENTUK KHURAFAT

Khurafat muncul dalam bentuk-bentuk yang berbagai-bagai samada dalam bentuk berikut :

1. Perbuatan tertentu
2. Ungkapan tertentu
3. Cerita atau kisah tertentu
4. Bilangan tertentu
5. Konsep, prinsip atau mazhab tertentu

Pembahasan mengenai bentuk khurafat adalah terlalu luas. Dengan itu kami tumpukan skop pembahasan pada penggunaan tangkal, azimat, wafaq, mentera-mentera asing dan salah-guna ilmu kebatinan, terutama dalam seni mempertahankan diri. Ini amatlah penting dibincangkan memandangkan amalan-amalan tersebut masih berleluasa dikalangan umat Islam hari ini.

Azimat, Tangkal dan Wafaq

1. Azimat, merupakan sebarang benda-benda yang dipercayai dapat menahan daripada ancaman atau dapat mencegah terjadinya musibah ke atas diri, keluarga dan harta benda.

2. Azimat juga diyakini mempunyai kekuatan ghaib dan dipercayai ada khadamnya dari makhluk-makhluk ghaib.

3. Tangkal, merupakan salah satu bentuk azimat untuk dipakai seperti gelang tangan yang diperbuat dari benang, kalung yang diperbuat dari dahan-dahan kayu atau untuk  diletakkan di tempat-tempat tertentu dengan maksud melindung dari gangguan syaitan seperti kemenyan yang dibalut dengan kain dan diletak di penjuru rumah.

4. Wafaq, adalah azimat dalam bentuk tulisan-tulisan berupa huruf, angka, rajah atau gambar yang ditulis atas kertas atau kepingan tembaga. Ia ditulis dalam bahasa yang tidak difahami dan kadangkala bercampur-aduk dengan ayat-ayat Al-Quran.

PERSOALAN :

Adakah boleh menggunakan azimat yang dituliskan padanya ayat-ayat Al-Quran, atau nama-nama Allah?

Walaupun pada ulama berbeza pendapat mengenai isu ini, namun dalil-dalil yang melarang pemakaian semua bentuk azimat adalah :

1. Kerana umum hadis yang melarang azimat dan tidak disebutkan pula pengecualiannya.

2. Kerana boleh menjurus kepada penghinaan Al-Quran, di mana kadangkala pemakaiannya memasuki tempat-tempat bernajis ataupun sedang dalam keadaan berjunub, haid dan lain-lain lagi.

3. Menganggap remeh ayat-ayat Al-Quran dan bertentangan dengan apa yang dimuatkan didalamnya. Allah menurunkan Al-Quran untuk menjadi petunjuk dari kegelapan, bukan sebagai azimat.

MENTERA

1. Diantara perbuatan-perbuatan khurafat yang bertentangan dengan tauhid ialah mengucapkan kata-kata mentera yang tidak diketahui maknanya. Namun diyakini bahawa mentera itu berpengaruh menolak kejahatan atau boleh mendapatkan pertolongan khadam jin ataupun malaikat.

2. Nama-nama dan kata-kata asing yang tidak pasti ertinya dikhuatiri mengandungi nama-nama jin dan jika diulang-ulang, tentunya akan disambut seruan itu oleh jin-jin tersebut.


No comments:

Post a Comment