Search This Blog

HOME

Sunday, June 16, 2013

Taufik Hidayat Gantung Raket.



Jakarta: Bekas juara Olimpik Indonesia dan juara dunia, Taufik Hidayat begitu beremosi ketika mengucapkan selamat tinggal kepada kerjayanya yang pernah menjadikannya antara bintang badminton terbesar, di depan penyokongnya.

Dengan beratus-ratus penyokongnya terus melaungkan ‘Taufik Boleh’ sambil mengibar kain rentang tertera ‘Legenda’, pemain berusia 31 tahun itu bermain buat kali terakhir secara profesional di Terbuka Indonesia, kejohanan yang pernah enam kali dimenanginya.


Namun Taufik kecundang di pusingan pertama kepada pemain India, Sai Praneeth dan sekali gus tersingkir awal daripada kejohanan itu. Sememangnya Taufik tidak berharap untuk pergi jauh kali ini, tapi dia tetap melangkah keluar gelanggang sebagai seorang jaguh.

“Apa yang paling sukar adalah meninggalkan badminton, sukan yang saya kenali sejak 25 tahun lalu dengan 18 daripadanya sebagai pemain profesional,” kata Taufik dengan nada pilu.


Taufik yang pernah disifatkan sebagai ‘budak jahat badminton’ dan sering dibandingkan dengan pemain hebat tenis bersuara lantang, John McEnroe, tampil dengan perwatakan berbeza ketika dia bersedia untuk menggantung raket.


“Kini, saya akan meletakkan tumpuan penuh terhadap keluarga,” katanya sambil ditemani anak perempuannya, selepas perlawanan.

Bagaimanapun, Taufik mengaku kecewa tumpas di tangan Praneeth yang berada 20 kedudukan di belakangnya. Rentetan itu, dia berharap penyokong tidak 'menilainya dengan berdasarkan kepada perlawanan itu saja'. Taufik memenangi set pertama perlawanan yang tertangguh beberapa jam. Dia menang 21-15 dengan beberapa pukulan kilas ke belakang selain bermain baik di jaring.


Malangnya, dia mula hambar di set kedua, menentang lawan yang 11 tahun lebih muda daripadanya, sekali gus tewas 21-12. Di set terakhir, hantaran Taufik terus gagal melepasi jaring bagi membolehkan Praneeth menang 21-17.

Kekalahan Taufik bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sudah beberapa tahun dia tidak merangkul sebarang gelaran utama. Kekalahan di peringkat awal itu dijangka tidak akan mempengaruhi kehebatan kerjayanya yang menjadikannya sebagai ikon badminton di Indonesia.


Berbekalkan gaya aksi menari, Taufik menyumbang emas pertama buat Indonesia di Olimpik Athens 2004 yang menyaksikannya tanpa segan silu menangis ketika dikalungi pingat itu. Dia kemudian terus gah meraih gelaran dunia pada 2005.


Dalam pada bergelar jaguh, sama seperti atlet lain, Taufik tidak lari dihimpit kontroversi sepanjang kerjayanya.


Dia pernah menarik diri daripada Persatuan Bulu Tangkis Indonesia dan berpangkalan di Singapura. Malah, pernah sekali diarah keluar gelanggang oleh pengawal keselamatan selepas bertegang leher dengan pengadil di Sukan SEA Thailand.


Taufik juga dilapor pernah menyerang penyokong di kejohanan kebangsaan pada 2001 dan keluar gelanggang ketika berlangsungnya Sukan Asia 2002 tapi memenanginya selepas berlaku kekecohan berhubung pengadil garisan.



Pada 2006, juara Olimpik itu sekali lagi keluar gelanggang, kali ini ketika menentang seteru utama, Lin Dan di Hong Kong, membantah keputusan pengadil garisan.

No comments:

Post a Comment