Search This Blog

HOME

Wednesday, September 10, 2014

Isteri anggota polis bersyukur suami selamat dalam insiden tembak-menembak di Pasir Putih


Kota Bharu: "Saya bersyukur suami selamat," kata isteri kepada Lans Koperal Zahari Abd Hamid yang cedera dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah rumah di Kampung Banggol Telipot, Pasir Puteh, Isnin lalu.

Atikah Ismail, 41, berkata dia terkejut apabila mendapat berita suaminya menerusi panggilan telefon, kira-kira 8 pagi, pada hari kejadian.

"Hati saya berdebar apabila tahu mengenai kejadian itu tetapi syukur dia selamat," katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang melawat mangsa di hospital berkenaan, berkata kesemua tiga anggota yang cedera dalam insiden berkenaan dibenarkan pulang hari ini.

"Ini risiko yang perlu dihadapi dalam melaksanakan tugas. Saya syukur tiga anggota cedera dalam operasi ini selamat dan kita siap sedia untuk melakukan operasi lain," katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya masih terdapat baki penjenayah daripada kumpulan berkenaan dan usaha mengesan kesemua suspek akan dijalankan.

Selain Zahari, dua lagi anggota yang cedera ialah Koperal Zulkifli Mat Din yang cedera di pergelangan tangan kiri dan Inspektor Shukri Hassan pula cedera di bahagian paha kiri.

Penjenayah yang mati di tempat kejadian dikenali sebagai Hatim Mohd Zain, 25, berasal dari Kampung Padang Lati Hilir, Bachok, dan memiliki rekod jenayah berkaitan bunuh.

Seorang lagi dikenali sebagai Mohamad Hafiz Saupi, 25, dari Kampung Marak, Kota Bharu.

Berikutan insiden itu, polis percaya menyelesaikan dua kes bunuh, tiga kes cubaan membunuh dan beberapa kes dadah membabitkan kumpulan itu di negeri itu.


Sumber - Bernama

No comments:

Post a Comment