Search This Blog

HOME

Wednesday, April 16, 2014

Penyokong JDT diiringi 'hujan' batu

Bas yang membawa penyokong JDT dibaling batu ketika pulang daripada perlawanan menentang Perak. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Johor Bahru: Pemandu bas sewa khas yang membawa penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) ke saingan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi, mendakwa terpaksa memandu keluar dari perkarangan stadium dalam keadaan kenderaan itu dihujani balingan batu.

Ahmad Rashidi Yaacob berkata, insiden itu berlaku ketika pulang selepas tamat perlawanan menentang Perak, kira-kira jam 1 pagi tadi walaupun bas berkenaan diiringi kereta peronda polis ketika keluar dari lokasi.

Menurutnya, dia pentingkan keselamatan 33 penyokong JDT dalam bas berkenaan dan berharap kenderaan dipandunya itu tidak terbabas.

Katanya, penyokong Perak tetap melakukan provokasi, malah terdapat beberapa buah motosikal mengekori bas yang dipandunya.

Penolong Setiausaha Kelab Penyokong Johor Darul Ta’zim (KPJDT) Azman Jalil mendakwa suasana yang ditempuhi penyokong JDT itu ibarat berada di zon perang, malah mereka terpaksa menunduk kepala bagi mengelak terkena serpihan kaca tingkap bas yang pecah terkena balingan batu.

“Cukup mengerikan, ia pengalaman pahit yang tidak dapat dilupakan apabila penyokong Perak sanggup bertindak ganas seperti itu," katanya.


Kecoh di Stadium Perak

Gelagat penyokong
Ipoh: Empat penyokong Perak ditahan polis kerana merusuh dengan membaling batu, suar, mercun dan pelbagai objek ke dalam padang serta penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas menyaksikan pasukan mereka tewas 1-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, di sini malam tadi.

Kekecohan itu turut mengakibatkan jurgambar NSTP Supian Ahmad dan beberapa penyokong JDT turut cedera akibat dibaling objek keras termasuk batu.

Harian Metro yang turut berada di Stadium Perak difahamkan, dua anggota polis termasuk FRU turut cedera pada mata dan kepala akibat dibaling batu oleh penyokong terbabit.

Kekecohan dikatakan mula tercetus di bahagian tempat duduk penyokong pelawat apabila sebahagian besar penyokong tuan rumah menyerbu dan membaling pelbagai objek.

Supian yang sedang merakamkan kekecohan itu turut menjadi mangsa apabila secara tiba-tiba dibaling batu oleh penyokong Perak mengakibatkan kecederaan ringan dan terpaksa diberi rawatan pasukan perubatan.

Situasi semakin tegang menyebabkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengarahkan penyokong JDT masuk dan berkumpul di padang bagi mengelak daripada dibaling dan bertembung dengan penyokong Perak yang semakin tidak terkawal.

Menjelang tengah malam ini, FRU mula menggunakan gas pemedih mata dan jentera menyembur air ke arah kumpulan penyokong Perak yang enggan bersurai manakala empat penyokong turut ditahan.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani yang berada di stadium untuk memantau keadaan mengesahkan tangkapan penyokong Perak terbabit.

Keadaan mula reda apabila penyokong JDT diiring polis keluar dari stadium hingga menaiki bas mereka sebelum kenderaan polis turut mengiring mereka ke plaza tol Lebuhraya Utara Selatan.

Kekecohan malam ini bagaikan mendapat petanda awal apabila dua bas yang membawa pasukan dan penyokong JD disembur dengan cat bertulis 'This is Ipoh', pagi semalam.

Kedua-dua kenderaan itu yang diparkir di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel tempat pasukan pelawat menginap di Ipoh.

Saksikan video saat-saat bas dihujani batu..........

Video dari penyokong JDT yang dirakamkan didalam bas

Sumber - myMetro

No comments:

Post a Comment