Search This Blog

HOME

Thursday, November 20, 2014

Qasidah mohon bantuan Rasulullah syirik - Dr. Juanda


Jawatankuasa Fatwa Perlis turut melarang penduduk Islam di negeri ini, samada dalam bentuk qasidah, nasyid atau doa yang menyebut perkataan 'al-madad ya Rasulullah' yang membawa maksud 'mohon bantuan wahai Rasulullah' kerana ia adalah perbuatan syirik.

Dr Juanda berkata berdasarkan kajian penyelidik jabatan mufti berkenaan mendapati tidak ada ruang langsung untuk memahami ungkapan 'al madad ya Rasulullah' itu membawa kepada maksud lain kecuali meminta pertolongan daripada Nabi Muhammad.

Katanya ia adalah sejenis al- istighathah (doa) yang tidak dibenarkan dalam agama Islam.

Malah nas-nas dalam al-Quran dan hadis jelas melarang meminta tolong kepada orang yang mati termasuk Rasulullah yang telah wafat 1,400 tahun yang lalu.

“Untuk perkara ini jabatan mempunyai penjelasan dalam bentuk risalah hampir 50 muka surat.

"Antaranya menggariskan sebarang bentuk qasidah termasuk yang melaungkan ungkapan-ungkapan membawa syirik tidak boleh dilaksanakan di Perlis.

“Ini kerana kami mengesan ada pihak-pihak tertentu yang cuba membawa masuk qasidah dan doa sedemikian yang harus dielakkan,” katanya.

Dr Juanda juga meminta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)  melakukan penyelidikan tentang ungkapan sedemikian di dalam qasidah agar umat Islam terutama orang awam tidak tertipu oleh ungkapan yang boleh menyebabkan mereka secara tidak sedar jatuh melakukan perbuatan syirik dalam doa.

Pihaknya telah lebih setahun membincangkan mengenai ungkapan yang banyak disebut dalam qasidah atau syair dan jelas ia tidak menunjukkan maksud lain selain meminta pertolongan Rasulullah.

Ketika ditanya mengenai majlis qasidah yang dibawa oleh golongan tertentu yang semakin mendapat perhatian ramai, Juanda berkata sekiranya dalam qasidah tersebut mempunyai ungkapan sedemikian ia tetap syirik.

“Kita bukan menghukum majlis seperti itu, saya sendiri tidak pernah berada dalam majlis qasidah berkenaan.

"Bagaimanapun,  kita bimbang jika ia ada diselit dengan ungkapan tersebut secara tidak langsung  akan membawa kepada unsur Syiah seperti meminta pertolongan kepada cucu Rasulullah Hasan, dan Husein serta anakanda baginda Fatimah,” katanya.


Sumber - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment