Search This Blog

HOME

Tuesday, May 21, 2013

Badminton Memalukan - Malaysia Kalah Kepada Jerman.

Pemain Jerman merai kemenangan....... Pemain Malaysia keluar  kelesuan.

Kuala Lumpur: Jerman pun boleh baham Malaysia dalam badminton, sukan apa lagi yang boleh diharapkan.

Begitulah gambaran betapa sukan Malaysia kini semakin hilang gemerlapan di peringkat dunia dan cukuplah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengulangi kata-kata keramat ‘kami berjaya melahirkan (Datuk) Lee Chong Wei’.

Cukup perit apabila tewas kepada dua pasukan yang bukannya kuasa badminton dunia, iaitu Taiwan dan semalam, Jerman ketika pemerhati badminton dunia meramalkan Malaysia mudah mara ke suku akhir Piala Sudirman pada penganjuran pertama kejohanan itu di Kuala Lumpur.

Harapan terakhir menerusi Vivian Hoo-Woon Khe Wei ternyata ‘harapan palsu’ apabila mereka tunduk kepada gandingan Birgit Michels-Johana Golsizewski 16-21, 21-16, 18-21 bagi memberi slot ke suku akhir kepada wakil Eropah itu.

Sememangnya sejak dari awal lagi perlawanan berlangsung dengan penuh debaran.

Chong Wei memberikan kelegaan buat peminat yang tidak berganjak dari tempat duduk selepas Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tewas kepada Fuchs-Michels 17-21, 21-16, 17-21.

Mengulas mengenai kekalahan Peng Soon-Liu Ying, Chong Wei mengakui Peng Soon tidak bermain di tahap terbaik.

“Perkara sebegini biasa kerana biasanya saya sering turun dalam acara pertama, saya sudah banyak pengalaman dalam kejohanan berpasukan berbanding pemain lain,” kata Chong Wei yang menjadikan kedudukan 1-1 selepas Peng Soon-Liu Ying tewas kepada Fuchs-Michels.

Chong Wei menang ke atas Dieter Domke 21-18, 21-18.

V Shem-Khim Wah yang diturunkan dalam beregu lelaki memikul tanggungjawab yang tidak mampu digalas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta Hoon Thien How-Tan Wee Kiong, beraksi dengan penuh keyakinan ketika mengatasi Ingo Kindervater-Johannes 21-16, 23-21.

“Walaupun tewas pertemuan pertama di Jerman, sebenarnya kami yakin boleh menewaskan mereka sebab kekalahan pertama itu dibantu pengadil servis yang berat sebelah,” kata Khim Wah.

Aksi Tee Jing Yi yang menentang Olga Konon langsung tidak meyakinkan apabila tewas mudah 12-21, 14-21, sekali gus keputusan jurulatih tidak membariskan Sonia Cheah, menjadi persoalan.

Sementara itu dalam perebutan juara Kumpulan B antara Korea dan Thailand yang pada awalnya dijangka sengit, meleset selepas Korea mendominasi dengan kemenangan 5-0.

No comments:

Post a Comment