Search This Blog

HOME

Saturday, June 28, 2014

“Agama saya Cuma atas kertas”, - Pengakuan lelaki gay yang ditangkap bersama warga Kanada

ZUL selesa dengan cinta terlarangnya dan merancang untuk tinggal di Kanada.

Nilai: “Agama saya cuma atas kertas, saya tidak kisah.”. Itu pengakuan mengejutkan seorang lelaki warga tempatan dikenali sebagai Zul, 45, yang ditemui di rumah sewa seorang warga Kanada di Flat Taman Semarak, di sini, semalam.

Malah, Zul mengaku kepada wartawan bahawa dia dan lelaki warga Kanada berusia 50 tahun itu adalah pasangan gay sejak lebih 20 tahun lalu.

Dalam Ops 6p pada Sabtu lalu, warga Kanada itu ditahan bersendirian oleh anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di rumah berkenaan kerana kesalahan tinggal lebih masa di negara ini selain agensi terbabit turut menemui remaja orang kurang upaya, Muhammad Firdaus Dullah, 15, dalam keadaan kebuluran di sebuah rumah di kawasan flat berkenaan.

Bagaimanapun, Jabatan Imigresen berkunjung semula ke rumah berkenaan, malam kelmarin, bagi mengesan maklumat yang boleh membantu siasatan berhubung warga Kanada itu sebelum menemui Zul, sekali gus membongkar kehidupan terlarang mereka.

Zul berkata, dia berkenalan dengan warga Kanada terbabit pada 1990 dan sejak itu, dia tidak lagi mementingkan kehidupan beragama dan jauh lari dari landasan Islam.


Sumber - Harian Metro

Cantik, Masjid Merah Jambu Dirasmikan di Filipina


Masjid yang boleh dipanggil 'Masjid Merah Jambu' tersergam indah setelah disiapkan

Bandaraya Cotabato: Penduduk Maguindanao menyaksikan pelancaran Masjid Merah Jambu sempena Ramadan ini di bandar Datu Saudi Ampatuan, yang dibina Datuk Bandar, Samsodin Dimaukom.

Beliau berkata, ia dibuka untuk kegunaan orang ramai bermula semalam.

Masjid 'Merah Jambu' dipenuhi orang ramai apabila dibuka untuk bersolat mulai semalam 
Sementara itu, ulama berkumpul di kawasan ditentukan di Bandaraya Cotabato dan bandar sekitar Maguindanao bermula jatuh matahari semalam, untuk melihat anak bulan menentukan permulaan Ramadan.

Pada bulan Ramadan, umat Islam berpuasa bermula terbit fajar hingga terbenam matahari, bagi menunaikan rukun Islam ketiga.

Pintu gerbang Masjid Dimaukom
“Jika anak bulan tidak kelihatan disebabkan pelbagai punca seperti kadar penglihatan teruk atau cuaca buruk, puasa akan bermula esok,” kata jurucakap Darul Iftah di Mindanao Tengah, Jaafar Ali.

Pengumuman Ramadan

Jaafar berkata, mereka akan membuat pengumuman akhir mengenai permulaan Ramadan pagi ini di stesen radio tempatan.

Pejabat Wilayah Autonomi Muslim Mindanaao (ARMM), Gabenor Mujiv Hataman dan jabatan perdagangan dan industri akan mengendalikan pasar makanan Ramadan, yang membolehkan peniaga menjual makanan berbuka puasa pada harga murah.

Setiausaha Eksekutif ARMM, Laisa Alamia, berkata jualan di perkarangan kerajaan tempatan seluas 32 hektar akan dibuka Isnin ini.

Alamia berkata, pentadbiran Hataman mahukan suasana Ramadan berjalan lancar dan aman.

Jurucakap Unit Infantri Ke-6 Tentera, Kolonel Dickson Hermoso, memberitahu wartawan Gabenor Esmael Mangudadatu meminta unitnya mengecualikan anggota tentera beragama Islam daripada menjalani tugasan fizikal sepanjang Ramadan.

Sumber - AGENSI

Palanivel Kecam Tindakan Letak Kepala Lembu Depan Rumah Rayer (Video)

Kepala Lembu yang diletak dihadapan rumah ADUN Seri Delima, R.S.N Rayer

Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak yang bertanggungjawab meletak kepala lembu di hadapan kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, R.S.N. Rayer di Tingkat Tembaga pada awal pagi sabtu.


R.S.N Rayer ADUN Seri Delima
"Ini negara berbilang kaum kita dan setiap orang harus menghormati agama orang lain," katanya dalam entri terkini Facebook beliau.

Pada pukul 7 pagi Sabtu, isteri Rayer menemui kepala lembu yang diletakkan di hadapan pagar rumahnya. Rayer kemudiannya memuatnaik gambar tersebut di laman Facebook pada pukul 8 pagi dan menulis:

 "Pagi ini saya terjumpa kepala lembu di hadapan pintu pagar rumah saya..."

Wakil rakyat DAP itu, turut menyerahkan rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) kejadian itu kepada pegawai polis yang datang ke rumahnya bagi mengambil kenyataan.

Visual rakaman CCTV tersebut menunjukkan seorang lelaki tiba di depan rumah Rayer dengan menaiki motosikal, membaling kepala lembu dan melakukan tarian ke arah kamera  sebelum beredar.


Lihat video dibawah.........


Sumber - mStar Online
Sumber video - Sinar Harian

Anggota Polis Ditahan di Kunak Terbabit Atur Pergerakan Pengganas - Bakri Zinin

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata anggota polis yang ditangkap di Kunak, Sabah Rabu lepas dipercayai terbabit mengatur pergerakan keluar masuk pengganas Sulu di Sabah.

Katanya anggota berpangkat koperal itu juga didapati mempunyai saudara di selatan Filipina.

"Kami belum lagi menyiasat secara keseluruhan pergerakan dia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Asas Konstabel Wanita siri 1/2014 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Mohd Bakri diminta mengulas perkembangan terkini berhubung penangkapan enam orang termasuk seorang koperal polis dalam operasi khas memburu pengganas Sulu di Kunak, Rabu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika mengumumkan penangkapan itu berkata tangkapan terkini tersebut adalah susulan kejadian pencerobohan oleh militan Sulu di Lahad Datu pada Februari tahun lalu.

Mengenai majlis hari ini, Mohd Bakri berkata 22 anggota berketurunan Cina antara 1,473 yang menerima tauliah sebagai konstabel polis itu.

"PDRM (Polis Diraja Malaysia) menggalakkan lebih ramai rakyat berbangsa Cina memohon memasuki badan beruniform ini memandangkan keperluannya ada dan untuk memastikan penglibatan semua kaum dalam pasukan penguatkuasa negara.

"PDRM juga telah membuat proses pemilihan bagi kaum Cina yang memohon dan mereka akan dipanggil," katanya.

Pada majlis itu Mohd Bakri turut menyampaikan anugerah kepada pelatih terbaik keseluruhan iaitu Maizatul Fadzeera Zulkepli dan pelatih terbaik akademik Maizatul Aishah Muhammad Nor serta pelatih latihan luar terbaik Siti Nur Aznii Arzemi.


Sumber - mStar Online

Militan: Anggota Rela, Tentera Laut Ditahan


KUALA LUMPUR: Seorang anggota Rela dan kakitangan Angkatan Tentera Laut ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan militan tempatan.

Anggota Rela berkenaan pernah ditahan di Kuala Kangsar pada 25 Jun dan dua hari selepas itu dia kemudiannya ditangkap oleh pegawai Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman.

Dengan penahanan itu menjadikan jumlah keseluruhan yang ditangkap ialah 19 orang, sejak operasi khas dilancarkan pada 28 April.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis percaya anggota Rela yang ditahan itu merupakan pakar membuat senapanag buatan sendiri yang telah dirampas dalam operasi sebelum ini.

"Kami juga percaya dia membekalkan peluru untuk latihan kumpulan militan berkenaan.

"Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman turut menyerbu sebuah rumah di Shah Alam pada 28 Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata kakitangan tentera laut yang ditahan itu dipercayai membantu ahli kumpulan militan berkenaan menyeludup masuk ke Malaysia selepas mereka selesai latihan di luar negara.

Sumber - mStar Online

Wednesday, June 25, 2014

Bible Diserah Kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri - Mais


PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) telah menyerahkan kesemua kitab Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM) Januari lepas kepada pihak Pendakwa Raya negeri untuk tindakan selanjutnya.

Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, beliau telah menulis kepada Timbalan Pendakwa Raya negeri berhubung perkara itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan cadangan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebelum ini.

Minggu lepas Sultan Sharafuddin menitahkan supaya Mais menyelesaikan isu rampasan Bible itu mengikut prosedur perundangan sedia ada dan terpakai.

Abdul Gani pula mengumumkan bahawa pihaknya tidak akan membuat pendakwaan terhadap mana-mana pihak berhubung rampasan Bible itu dan kes berkenaan ditutup.

Katanya, Pejabat Peguam Negara telah meneliti fakta dan bukti yang terkandung dalam kertas siasatan berhubung rampasan itu dan memutuskan ia bukan tulisan yang diterbitkan mengikut Seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Mohamad Adzib berkata, Mais akur dengan keputusan Peguam Negara itu dan kini menyerahkan kitab berkenaan kepada pihak Pendakwa Raya untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik.

"Sebenarnya kami berhak melupuskannya dengan sendiri. Tapi sebab kami pentingkan keadilan dan keharmonian, kami dah pulangkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dibawa balik ke mahkamah mengikut prosedur," katanya ketika menutup Konvensyen Pemerkasaan Ummah Peringkat Kebangsaan 2014 di sini, Rabu.

Katanya, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat rampasan itu mengikut undang-undang di bawah Seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Pada 2 Januari lepas, Jais menyerbu pejabat PBM di Damansara Kim, di sini dan merampas 300 naskhah Bible dalam Bahasa Melayu dan Iban sebagai langkah menyekat penggunaan kalimah 'Allah' di dalam Bible yang didakwanya bercanggah dengan enakmen itu.


Sumber - mStar Online

Enam Suspek Pengganas Sulu Ditahan Di Kunak - KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar

PETALING JAYA: Enam suspek pengganas Sulu, termasuk seorang wanita ditahan oleh Cawangan Khas Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) semasa operasi khas di Kunak, Sabah pada Rabu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis turut merampas kad keahlian, surat perlantikan dan dokumen-dokumen berkaitan dengan Kesultanan Sulu.

"Kesemua suspek ditahan kerana didakwa terlibat terlibat dengan pengganas Sulu dan serangan yang berlaku di Lahad Datu pada tahun lepas.

"Kita turut merampas beberapa senjata dari tempat persembunyian mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah, keenam-enam suspek itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).


Sumber - mStar Online

JAWS III: Fifa Mulakan Prosiding Tindakan Disiplin Ke Atas Luis Suárez

Suarez buat hal lagi..........

Suarez (kanan) memegang giginya selepas dia didakwa menokak belakang bahu pemain Itali, Giorgio Chiellini yang cuba memberitahu pengadil yang dia telah digigit dari belakang oleh Suarez dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia di Brazil pada awal pagi Rabu, 25 Jun 2014.

Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa) telah memulakan prosiding tindakan disiplin ke atas penyerang Uruguay, Luis Suárez selepas dia dirakamkan kelihatan seperti 'menokak' belakang bahu pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia awal pagi Rabu.




“Fifa kini boleh mengesahkan yang prosiding tindakan disiplin telah dibuka ke atas Luis Suárez dari pasukan kebangsaan Uruguay,” demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh badan itu.

Suárez kini boleh berhadapan dengan hukuman gantung sehingga 24 permainan jika didapati bersalah.

Insiden itu berlaku dalam perlawanan yang menyaksikan Uruguay menang 1-0 ke atas Itali sekaligus melayakkan mereka melangkah ke pusingan kalah mati manakala bekas juara dunia 2006, Itali tersingkir dari saingan temasya bolasepak terbesar dunia ini.

Ketika permainan masih terikat 0-0, Suárez telah dilihat menerkam dari belakang Chiellini dan kemudian menokak belakang bahu pemain Itali itu. Suárez tidak dilayangkan sebarang kad kerana pengadil tidak melihat ia berlaku tetapi aksinya itu telah dirakamkan oleh televisyen dan juga jurufoto media yang memenuhi stadium tersebut dan kini imej drakulanya telah tersebar ke seluruh dunia.

Naib Presiden Fifa yang juga pengerusi jawatankuasa pengadil Piala Dunia, Jim Boyce, berkata; “Saya telah menyaksikan insiden itu berulang kali dalam televisyen sejak pagi tadi. Tidak ragu-ragu lagi Luis Suárez adalah seorang pemain bolasepak yang hebat tetapi sekali lagi, aksinya di atas padang telah mendedahkannya kepada pelbagai bentuk kritikan pedas.”

Rakaman aksi Suarez menggigit belakang bahu Chiellini.
Katanya, oleh kerana insiden di atas padang itu telah dilihat di seluruh dunia, Fifa mesti melakukan siasatan secara serius dan membuka prosiding tindakan disiplin.

Suárez mempertahankan dirinya dalam satu temuramah dengan stesen televisyen Uruguay.

“Situasi ini berlaku di atas padang. Dia (Chiellini) terlebih dahulu menghentak saya dengan bahunya di dada saya dan kemudian menghentak mata saya,” katanya.

Bagaimanapun Suarez mengakui yang dia dan Chiellini kini berada dalam situasi yang rumit.

Suárez sebelum ini mempunyai sejarah terlibat dalam dua insiden mengigit pemain lawan.

Dia telah digantung 10 perlawanan pada 2013 setelah didapati bersalah mengigit lengan pemain pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic dan sebelum itu pada 2010 ketika bermain mewakili kelab Belanda, Ajax Amsterdam dia telah digantung tujuh perlawanan kerana mengiggit pemain PSV Eindhoven, Otman Bakkal.

Tetapi insiden ketiga ini yang dilabelkan oleh media-media massa Britain sebagai JAWS III, berlaku di pentas terbesar bolasepak dunia iaitu Piala Dunia dan disaksikan berulang kali oleh berjuta-juta penonton.

Menurut Fifa, Suárez dan Persatuan Bolasepak Uruguay mempunyai sehingga jam 5 petang Rabu waktu Brazil untuk menjawab semua persoalan dan kesangsian yang ditimbulkan dari kes ini bersama bukti-bukti lain jika ada.


Sumber - mStar Online

Wanita Nyaris Dilanggar Kereta Api Diselamatkan Polis

Terima kasih POLIS

Seorang wanita nyaris dilanggar oleh sebuah keretapi yang sedang bergerak laju berjaya diselamatkan oleh seorang anggota polis.

Ia merupakan saat saspens apabila seorang anggota polis cuba menarik seorang wanita yang nyaris dilanggar oleh sebuah kereta api.

Kejadian umpama adegan filem Hollywood itu berlaku apabila pegawai polis Richmond, R Morales berjaya membantu menyelamatkan seorang wanita yang baring di atas landasan keretapi di Texas, dengan bunyi keretapi yang sedang bergerak laju dapat didengari dari jauh.

Morales nekad menyelamatkan wanita itu yang meraung dan menangis teresak-esak dan beberapa saat  kemudian, keretapi meluncur laju di hadapan mereka.

Insiden pada Ahad itu berjaya dirakamkan oleh kamera yang diletakkan di atas papan pemuka kereta polis selepas beliau mendapat panggilan berhubung tindakan wanita tersebut.

Lihat video dibawah..........



Sumber - metro.co.uk

Video: Rakyat Malaysia Bersama Kumpulan Isil Di Syria

Pemuda yang dikatakan rakyat Malaysia didalam video tersebut

PETALING JAYA: Satu rakaman video di Youtube mendedahkan sekumpulan lelaki dipercayai rakyat Malaysia berada di Syria untuk berperang kerajaan negara itu.

Rakaman berdurasi satu setengah minit itu dimuatnaik dengan tajuk dalam bahasa Sepanyol.

Rakaman itu dipercayai dibuat oleh seorang lelaki rakyat Malaysia dengan loghat utara.

"Kereta-kereta kebal sedang bergerak menuju ke destinasinya....lihatlah sahabat-sahabat kita  (laungan takbir), sahabat-sahabat kita, semuanya kita akan syahid.

"Sahabat-sahabat kita semuanya bersiap siaga ke medan juang ..sahabat-sahabat kita tidak merasa takut dan merasa kental, kami sedang bergerak (laungan takbir)," katanya yang merakam video itu.

Kemungkinan terdapat tiga lelaki warga Malaysia bertutur dalam Bahasa melayu mengikut rakaman tersebut.

Video yang diambil dari syriantube.net, telah dimuat naik pada 7 Jun lalu dan ditonton sebanyak lebih 5,000 kali.

Pada 18 Jun lalu, Wakil Tetap Syria ke PBB mendakwa seramai 15 warga Malaysia terlibat dalam aktiviti-aktiviti jihad  Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL).

Lihat video dibawah............


Sumber - mStar Online

Rela 'Simpan' Ketumbuhan Buah Zakar Sebesar Bola Sebab Tak Mahu Kecoh

Ketumbuhan buah zakar Bob Day sebesar bola dengan berat 4 kilogram. Foto Mercury


SEORANG datuk tidak mempedulikan ketumbuhan pada buah zakarnya yang membesar sehingga saiz bola seberat empat kilogram (kg) hanya kerana tidak mahu 'perkara itu' menjadi kecoh.

Bob Day yang merupakan penjual daging bagaimanapun hanya mendapatkan bantuan selepas anak-anaknya menyedari terdapat ketumbuhan membonjol di sebalik seluarnya dan menasihatinya supaya berjumpa dengan doktor.

Selepas pemeriksaan doktor itu, Day yang menghidap penyakit kanser mendapat tahu ketumbuhan itu seberat empat kg.

"Anda dapat melihat 'ketumbuhan' itu di sebalik seluar saya. Ia semakin membesar,  tetapi saya tidak mempedulikannya kerana tidak mahu bikin kecoh.

"Saya tidak rasa sakit kerana jika tidak saya mungkin sudah pergi berjumpa doktor lebih awal. Saya masih boleh menanam pokok dan melakukan semua perkara seperti biasa," katanya.

Bob Day
Day yang berasal dari Liverpool  itu dipujuk anak perempuannya, Jennifer dan anak lelakinya, Stephen supaya berjumpa dengan doktor.

Sebaik sahaja ketumbuhan itu dikesan, mereka menyedari bahawa Day mengalami masalah untuk duduk.

Doktor mengesahkan bahawa ketumbuhan yang semakin membesar itu disebabkan kanser pada Krismas tahun lepas dan dia kemudian membuangnya pada Februari lalu.

Day yang berusia 83 tahun itu akhirnya dapat mengubati penyakitnya. Jennifer, 54, berkata, "Dengan saiz (ketumbuhan) sebesar itu, saya fikir mereka (doktor) akan kata, "Sudah terlambat, tiada apa yang kami boleh lakukan".

"Apabila kita fikirkan tentang kanser, kita akan fikir "cukup setakat ini" tetapi hari ini ramai yang sembuh daripada penyakit kanser," katanya.

Pakar bedah, Coonoor Chandrasekar melakukan pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada buah zakar Day di Hospital Diraja Liverpool.

Beliau berkata: "Jika Bob tidak membuat pemeriksaan... ketumbuhannya itu mungkin boleh menyebabkan kematian. Adalah penting untuk diperiksa awal."

"Jika anda mendapati adanya ketumbuhan, jangan takut untuk berjumpa doktor," kata Chandrasekar.


Sumber - metro.co.uk

Monday, June 23, 2014

Kerana Selfie, Pelajar Tersepit Dalam Replika Faraj

Selfie punya hal.............

SEORANG pelajar dilaporkan telah terperangkap di dalam replika batu faraj gergasi di Tubingen, Jerman.

Pelajar pertukaran dari Amerika Syarikat itu tersepit pada marmar faraj gergasi itu ketika cuba memasuki ke dalamnya untuk merakam gambar pada Jumaat.

Berikutan itu, lima kenderaan yang dilangkapi 22 anggota bomba dikerah untuk membebaskan pelajar berkenaan.


Ketika mangsa tersepit, terdapat orang ramai yang merakam gambar dan menyebarnya di laman sosial sebagai kejadian yang memalukan.

Selain itu, pihak bomba juga menganggap tindakan lelaki terbabit sebagai memalukan apabila dia cuba memasuki faraj gergasi.


Faraj gergasi itu merupakan hasil seni seorang artis dari Peru, Fernando de La Jara dan telah berada Universiti Tubingen sejak 13 tahun lalu.

Replika yang dipanggil Pi-Chacan itu bermaksud berkasih-sayang.


Sumber - Metro.co.uk

Sunday, June 22, 2014

Kalimah Allah: Mahkamah Persekutuan tolak rayuan The Herald

Kalimah ini hak orang Islam

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak rayuan Gereja Katolik terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam mingguan The Herald.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel tujuh hakim mencapai keputusan majoriti itu.

Sehubungan itu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan The Herald daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan versi bahasa Malaysia.

Pada 5 Mac lalu, panel tujuh hakim diketuai Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan permohonan itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Gereja itu memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Oktober 2013 yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam versi bahasa Malaysia terbitannya.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang penerbitan itu daripada menggunakan kalimah Allah adalah menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak sah.

Pada 2009, gereja Roman Katolik diketuai Paderi Besar Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman yang menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden, antara lain memohon perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Majalah mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam versi bahasa Malaysia, terutama bagi memenuhi keperluan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.

Mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964, seseorang pemohon dalam kes sivil perlu terlebih dulu mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk membawa rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan.

Apabila Mahkamah Persekutuan berpuas hati bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan pemohon memenuhi keperluan perundangan, Mahkamah Persekutuan kemudian akan memberi kebenaran merayu.


Sumber - Berita Harian

CIA kawal keselamatan pesawat Boeing, kata Global Flight

Adakah agensi ini terlibat dengan kehilangan MH370?

Pengeluar pesawat terkemuka, Boeing sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memastikan pengguna yakni penumpang pesawat dalam keadaan selamat semasa berada di udara. Boeing antara pengeluar pesawat termoden dan terbesar dunia dan boleh dikatakan di udara sekarang bersimpang siur dengan pesawat Boeing yang dibeli oleh banyak negara.

Mana perginya MH370?
Walaupun semua pesawat Boeing yang berterbangan di udara telah dijual tetapi tetap ada perjanjian "khidmat selepas jual". Ini boleh dianalogikan kepada mereka yang membeli kereta mewah, walaupun kereta itu sudah bertukar nama tetapi pembuat kereta itu tetap memberikan khidmat kepakaran apabila berlaku sebarang masalah. Ini kerana hanya pembuatnya sahaja yang mahir tentang selok belok atau "perangai" kereta buatan mereka.

Apakah sebenarnya peranan mereka?
Hal yang sama juga dilakukan oleh Boeing. Syarikat ini mempunyai tanggungjawab terhadap setiap yang berlaku ke atas pesawat Boeing. Tentu sahaja membeli sebuah pesawat Boeing tidak sama dengan kita membeli sebuah lampu picit di kedai Ah Kau yang kalau rosak tidak lagi menjadi tanggungjawab Ah Kau. Sebab itu Boeing sangat prihatin terhadap keselamatan pesawat dan juga penumpang.

Salah satu usaha mempertingkatkan keselamatan pesawat dan penumpang ialah memasang alat Advanced Route Evaluation System (ARES) yang dihubungkan kepada pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA). Menurut jurnal penerbangan, Global Flight 1 Disember 2006, dengan menggunakan alat kawalan jauh ini, CIA boleh memantau semua penerbangan pesawat Boeing di seluruh dunia. Ini bertujuan untuk menghalang daripada perampas melencongkan pesawat di luar laluan yang sepatutnya.

Menurut Global Flight, Boeing telah menggunakan alat itu sejak 2006 sebagai langkah proaktif menangani kejadian rampasan pesawat di mana perampas akan memaksa juruterbang melencongkan pesawat ke lokasi yang dikehendaki. Dengan menggunakan ARES, CIA yang memantau penerbangan pesawat Boeing akan mengambil alih tugas juruterbang secara kawalan jauh dan memandu pesawat itu ke lapangan terbang yang berdekatan dan selamat untuk mendarat.

Menerusi ARES, apabila CIA mengesyaki sesebuah pesawat Boeing itu dalam keadaan "luar biasa" sama ada isyarat diberikan oleh juruterbang atau CIA melihat pesawat telah terkeluar laluan, CIA akan mengambil alih sepenuhnya pemanduan pesawat berkenaan dan semua sistem di kokpit sudah tidak berfungsi lagi. Sekiranya dirampas, pesawat itu tidak boleh dilencongkan seperti yang selalu berlaku dalam rampasan pesawat sebelum ini.

Menurut artikel itu, dalam keadaan sekarang (2006) di mana semua pesawat Boeing dipasang dengan alat ARES, pergerakan pesawat adalah dalam tangan CIA dan tidak mungkin pesawat Boeing, apa lagi yang dikelaskan sebagai termoden akan terkeluar dari operasi kawalan jauh CIA. Maknanya pesawat Boeing menjanjikan keselamatan yang maksimum dan sekiranya perampas dalam kalangan teroris yang mahu membalas dendam terhadap Amerika Syarikat (AS), kerja mereka akan sia-sia kerana CIA tahu apa yang berlaku.

Penggunaan peralatan kawalan jauh yang dikendalikan oleh CIA ini memberikan keyakinan kepada penumpang-penumpang yang trauma membaca berita tentang pesawat yang dirampas. Penumpang akan selamat apabila keselamatan mereka dipantau setiap saat oleh CIA. Sekiranya perampas bertindak membunuh penumpang yang dijadikan tebusan, kerja itu adalah sia-sia. Juruterbang sudah tidak ada peranan lagi dan pesawat Boeing bertukar menjadi pesawat tanpa pemandu seperti yang digunakan oleh AS untuk mengintip dan mengebom musuh.

Pada 2006, Boeing dalam satu kenyataannya berkata, "Kami secara berterusan mengkaji dan melaksanakan pelan keselamatan kepada penumpang dan menjadi pesawat yang paling cekap di dunia dalam penerbangan." Selain mematikan sistem yang dikemudikan oleh juruterbang, ARES juga dibekalkan dengan sumber tenaga elektrik sendiri yang tidak boleh diputuskan secara manual.

Menurut jurucakap syarikat Raytheon Corporation telah berjaya mendapat kontrak yang dikeluarkan oleh Federal Avation Administration untuk memasang ARES pada pesawat Boeing, sistem ini bukan sahaja menyediakan pemanduan secara kawalan jauh oleh CIA malah menyediakan analisis pada laluan penerbangan yang selamat kepada CIA ketika pesawat dalam keadaan kecemasan.

Sebenarnya semua ini bukan baharu malah sudah lapan tahun digunakan dan banyak orang tahu tentang teknologi pemantauan yang digunakan oleh pesawat Boeing. Dengan teknologi ini juga memungkinkan tidak ada pesawat Boeing hilang dan tidak dapat dikesan.

Dengan teknologi, dunia menjadi semakin kecil. Semua pergerakan boleh dipantau dan sudah tentu tidak boleh hilang begitu saja.

Antara faktor yang mendorong Boeing menggunakan alat ini ialah kejadian rampasan pesawat untuk melanggar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001. Sekiranya menggunakan alat kawalan jauh ini sudah pasti tidak ada pesawat yang akan melanggar WTC kerana telah dilencongkan oleh CIA. Sebenarnya Boeing melakukan semua ini bukan sahaja kerana tanggungjawab kepada penumpang pesawatnya tetapi untuk menjaga reputasi. Kalau boleh Boeing tidak mahu sebuah pun pesawatnya bermasalah kerana itu akan menghilangkan keyakinan pembeli pada masa akan datang. Salah satu pesawat Boeing yang dilengkapi ARES adalah MH370.

Penulis - Ku Seman Ku Hussain
Sumber - Utusan Online

Kehilangan MH370 - Kapten Zaharie kembali menjadi suspek utama

Kapten Zaharie

SHAH ALAM – Juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Shah kini dianggap sebagai suspek utama dalam insiden kehilangan penerbangan itu pada 8 Mac lalu selepas semua penumpang dan anak kapal telah dibersihkan, lapor The Sunday Times, hari ini.

The Sunday Times menyebut, siasatan jenayah tidak menolak kemungkinan pesawat itu hilang akibat kegagalan mekanikal atau keganasan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpandangan jika ia melibatkan tindakan manusia, suspek utama ialah juruterbang.

Laporan itu menambah, Polis Cawangan Khas Malaysia kini memberi tumpuan siasatan ke atas Kapten Zaharie, 53, selepas pemeriksaan perisikan gagal menyokong sebarang syak wasangka terhadap individu lain atas kapal yang didapati hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu adalah salah satu misteri terbesar dalam sejarah penerbangan.

Lapor media itu, polis sudah menemu bual lebih 170 orang dan mendapati Kaptan Zaharie, seorang yang periang, suka kepada gajet dan selalu membuat posting dalam media sosial serta tidak membuat sebarang komitmen sosial atau kerja di masa depan.

Ia berbeza dengan pelbagai perancangan yang dibuat oleh pembantu pilot, Fariq Hamid dan anak kapal pesawat itu, lapor The Sunday Times.

Kaptan Zaharie menjadi fokus pada awal kejadian kehilangan pesawat itu apabila simulator penerbangan ditemui di rumahnya yang mengandungi “rehearsal” pesawat sejauh Lautan Hindi atau mendarat di sebuah pulau dengan landasan yang pendek.

Fail simulator tersebut didapati dipadamkan, namun berjaya ditemui kembali oleh pakar-pakar yang menyiasatnya.

Juruterbang tersebut juga tiada rahsia dengan hobi luar biasanya, mencipta video penerbangan yang dimuat naik di internet.


Sumber - Sinar Harian

Saturday, June 21, 2014

JANGAN BIARKAN 'TANGAN GHAIB' MENJAJAH NEGARA - BEKAS KPN TAN SRI RAHIM NOOR

Bekas KPN Tan Sri Rahim Noor

Peringatan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor bahawa ada puak yang menentukan supaya mana-mana negara yang menentang Yahudi dan Israel akan jatuh dan Malaysia adalah salah sebuah negara tersebut tidak harus dipandang sepi.

Ia kerana ketika gendang atas nama hak asasi manusia semakin kuat dipalukan ia memberikan kesempatan terbaik kepada kelompok pro-Yahudi untuk campur tangan di mana-mana juga negara Islam.

Tan Sri Rahim Noor.......... The Unsung Heroes
Dalam soal ini sudah pastilah Malaysia tidak terkecuali apatah lagi dari semasa ke semasa semakin banyak pertubuhan bukan kerajaan yang wujud kononnya bagi memperjuangkan hak asasi manusia.

Golongan yang menyokong mereka bukan sahaja bersedia menyalurkan dana malahan akan mencari pemimpin politik yang mereka fikirkan boleh diperkudakan bagi mencapai cita-cita mereka.

Seperti mana kata Rahim, pihak berkenaan akan menggunakan segala daya dan menjadikan orang politik tempatan yang telah dikaji latar belakangnya sebagai sasaran.

Pemimpin seumpama itu pula tidak mempedulikan apa-apa lagi, asalkan cita-cita politiknya tercapai segalanya sanggup dipertaruhkan.

Kita sudah saksikan bagaimana di negara ini sudah ada pemimpin politik yang dikatakan begitu rapat dengan pemimpin dan NGO Yahudi. Malahan demi cita-cita politiknya soal agama Islam dan orang Melayu pun mahu digadaikannya.

Semua ini sepatutnya menyedarkan rakyat terutama orang Islam mengenai bahaya yang menantikan mereka.

Umat Islam dan rakyat Malaysia tidak boleh membiarkan mana-mana pihak terutamanya puak Yahudi mencampuri urusan negara ini secara halus.

Kita mungkin tidak sedar keghairahan menyokong sesuatu tindakan termasuklah demonstrasi boleh menjebakkan kita menjayakan misi pihak asing yang cuba menguasai negara ini.

Begitulah juga dengan perhimpunan haram Bersih baru-baru ini, ia tidak terlepas daripada mendapat sokongan asing apabila ribuan ringgit disalurkan ke dalam akaun mereka yang terlibat menganjurkannya.

Sumbangan itu bukan sumbangan ikhlas, ia mempunyai erti dan maksud tersirat serta sudah pastinya ada agenda tertentu.

Atas sebab itulah rakyat Malaysia perlu berhati-hati dalam perhitungan politik mereka. Jangan terlalu ghairah untuk membenci kerajaan sehingga ia memberi peluang kepada pihak lain mengambil kesempatan.

Demonstrasi dan tunjuk perasaan bukanlah jalan terbaik bagi melahirkan perasaan tidak puas hati atau protes. Kita mempunyai saluran tertentu termasuklah melalui pilihan raya untuk membuat keputusan.

Tindakan turun ke jalanan sehingga memungkinkan elemen asing menyerap masuk ke dalam negara kita bukan tindakan yang bijak sebaliknya boleh membuka kepada satu penjajahan asing dalam bentuk baru.

Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, kita mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan segala permasalahan dan bukannya mengikut budaya luar.

Percayalah, kejayaan dan kemakmuran Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh amat dicemburui oleh sesetengah negara dan ia ditambah pula dengan ketegasan Malaysia menentang keganasan Yahudi di Palestin.

Sikap ini sudah tentulah tidak akan menyenangkan pihak-pihak yang pro Yahudi. Mereka akan mencari jalan untuk memusnahkan kemakmuran dan kesejahteraan negara kita.


Mungkin ada antara kita menganggap semua ini hanyalah kebimbangan tidak bertempat, tetapi kita juga tidak harus lupa bagaimana sudah banyak negara porak peranda hanya kerana mainan 'tangan-tangan tersembunyi'.

Sumber - UM Online