Search This Blog

HOME

Showing posts with label Kemuskilan Agama. Show all posts
Showing posts with label Kemuskilan Agama. Show all posts

Friday, December 12, 2014

Tidak sedar syirik dalam doa


Antara keistimewaan Islam ialah ALLAH Azza wa Jalla menyediakan ruang secara langsung untuk sesiapa sahaja berhubung, memohon, merayu, merintih, meminta dan berdoa mengikut keperluan masing-masing. Sama ada pemimpin atau rakyat biasa, miskin atau kaya, tua atau muda, orang awam atau orang agama, tidak kira latar bangsa dan kedudukannya, di mana sahaja dia berada, kutub selatan atau utara; semua diberikan ruang dan peluang yang sama.

Berdoa terus kepada ALLAH

Mintalah kerana ALLAH itu Maha Mendengar. Pohonlah kerana ALLAH itu Maha Memakbulkan. Istighfarlah kerana ALLAH itu Maha Pengampun. Malam atau siang, pagi atau petang, di masjid atau di padang, sambil berdiri atau baring melintang, ALLAH tetap mendengar apa yang kita minta. ALLAH itu sangat dekat dengan hamba-Nya, bahkan lebih dekat daripada apa yang kita sangkakan.

ALLAH bersedia untuk mendengar, bersedia untuk memberi, bersedia untuk memakbulkan. Bila dan bagaimana? Terserahlah kepada keadilan dan ketentuan-Nya. ALLAH berpesan kepada Baginda SAW: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (ALLAH) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul". (Surah al-Baqarah: 186)

Dalam ayat lain, ALLAH menyatakan: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya". (Surah Qaf: 16)

Justeru, berhubung dan berdoalah secara langsung kepada ALLAH. Selagi mana kita bergelar hamba, selama itulah kita mempunyai hak untuk berdoa. ALLAH tidak pernah mendiskriminasikan hamba-Nya mengikut bangsa, warna kulit, pangkat, jawatan dan harta. Hanya nilai takwa yang membezakan antara manusia.

Perantaraan dalam doa

Namun begitu, Islam tetap membenarkan kita untuk mewujudkan perantaraan dalam berdoa. Hal ini disebut sebagai tawasul. Tawassul berasal daripada bahasa Arab wasilah, tawassala-yatawassalu-tawassulan. Tawassul dalam berdoa bermaksud kita menjadikan sesuatu sebagai perantara dalam doa.

Apakah perkara yang boleh kita tawasul? Ada tawassul yang dibenarkan dan ada tawassul yang diharamkan, bahkan boleh jatuh kepada kesyirikan.

Tawassul  dibenarkan

Pertama: Tawassul dengan nama ALLAH. Hal ini berdasarkan firman ALLAH yang bermaksud: "Dan ALLAH mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu". (Surah al-A’raf: 180)

Tawassul dengan nama ALLAH itu contohnya kita berdoa: "Ya Ghaffar, ighfirli" (Wahai Tuhan Yang Maha Pengampun, ampunilah daku). "Ya Rahman Ya Rahim, irhamni" Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah Maha Pengasih, kasihanilah daku".

Tawassul dengan nama-nama ALLAH bermaksud kita memilih dan menyebut nama-nama ALLAH yang sesuai dengan hajat dan permintaan kita. Dengan ketinggian dan kemuliaan nama-nama tersebut kita mohon semoga ALLAH perkenankan hajat kita.

Kedua: Tawassul dengan amalan soleh sendiri. Kita dibolehkan untuk menyebut amal soleh yang pernah kita lakukan kemudian diikuti dengan berdoa hajat kita, diharapkan dengan keikhlasan dan keberkatan amal soleh tersebut dapat dimakbulkan hajat kita.

Hal ini berdasarkan kisah di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari berkenaan tiga lelaki yang terperangkap dalam gua. Ada batu besar yang menutupi pintu gua tersebut. Lalu, seorang berdoa dengan mengatakan dia telah taat kepada ibu bapanya, seorang lagi mengatakan dia hampir berzina tetapi dia tinggalkan zina kerana takutkan azab ALLAH, orang yang ketiga pula berdoa dengan menyebut dia orang yang amanah, memegang amanah yang diberikan kepadanya dan mengembalikan kepada pemiliknya.

Maka dengan amalan soleh itu mereka berdoa kepada ALLAH agar dibukakan pintu gua tersebut.

Ketika orang pertama berdoa, batu yang menutupi gua itu terbuka sedikit, sehinggalah cukup doa ketiga-tiga mereka, barulah batu itu berbuka sehingga mereka dapat keluar daripadanya. (Rujuk riwayat al-Bukhari, no 2272)

Ketiga: Tawassul dengan orang soleh yang masih hidup. Kita boleh berjumpa dengan orang soleh yang akidah dan amal ibadatnya bertepatan dengan al-Quran dan sunnah bagi meminta tolong didoakan kepada kita. Diharapkan dengan kesolehan beliau akan menjadikan doa kepada kita tersebut dimakbulkan.

Tawassul dengan orang soleh ini dibenarkan dengan syarat orang tersebut masih lagi hidup. Jika seorang yang soleh meninggal dunia, kita tidak dibenarkan untuk bertawasul dengan beliau lagi. Sahabat sering meminta agar Rasulullah SAW berdoa kepada mereka.

Namun, setelah kewafatan Baginda SAW, sahabat tidak pun pergi ke kubur Rasulullah SAW dan minta untuk didoakan. Contohnya Umar Al-Khatthab  pergi bertemu dengan Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi dan Umar berkata: "Dulu ketika Nabi masih hidup, kami bertawassul dengan Nabi SAW. Sekarang apabila Nabi telah tiada, orang yang paling mulia dalam kalangan kami adalah kamu, wahai Abbas. Maka berdoalah kamu untuk kami". (Rujuk riwayat al-Bukhari, no 3710).

Peristiwa ini terjadi ketika Madinah di landa kemarau panjang. Umar meminta Abbas berdoa dan beliau pun berdoa. Tidak lama setelah itu, ALLAH pun menurunkan hujan kepada mereka.

Doa yang dilarang

Tawassul yang dilarang adalah seperti meminta daripada berhala, pokok, binatang, memuja makhluk, keterlaluan dalam meminta kepada makhluk sehingga lupa kepada ALLAH, meminta kepada makhluk dan percaya bahawa makhluk tersebut mengabulkan permintaannya, dan tidak meminta kepada ALLAH.

Begitu juga bertawassul dengan orang yang telah mati. Diharamkan untuk kita menjadikan orang yang telah mati sebagai perantaraan dalam doa kita, walaupun semasa hidup dia seorang yang soleh. Bahkan kepada Rasulullah SAW sendiri.

Jika dibolehkan sudah pasti Umar al-Khattab tidak berjumpa dengan Abbas untuk minta didoakan. Umar akan terus ke kubur Baginda Rasulullah SAW untuk minta didoakan. Rasulullah SAW lebih lagi mulia dan soleh.

Justeru, kata-kata dan tindakan Umar ini menunjukkan tidak disyariatkan untuk bertawassul dengan orang yang sudah mati sama ada dengan menyebut "Madad Ya Rasulallah", "Madad Ya Ali", ‘Madad Ya Husain" dan sebagainya seperti yang dilakukan oleh golongan Syiah.

Namun, pelik dan hairan ada segolongan manusia yang bertopengkan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah, berjubah dan berserban, bermati-matian ingin mempertahankan boleh untuk bertawassul dengan orang yang sudah mati.

Sebab itu golongan ini ada yang mengunjungi kubur tok guru dan syekh-syekh mereka untuk minta didoakan. Ada yang mengalunkannya dalam nyanyian dan qasidah.

Semoga ALLAH selamatkan kita daripada hasutan dan ajaran menyeleweng ini sama ada yang berasal dari negara ini atau yang dibawa dari  luar negara. Berdoalah terus kepada ALLAH kerana ruang itu tidak pernah disekat. Sesiapa sahaja dan di mana pun kita berada.

Berdoalah dengan penuh keikhlasan, ketulusan dan kejelasan tauhid kepada-Nya. Jangan sampai ada unsur syirik yang tidak kita sedari. Yakinlah ALLAH tidak pernah mungkiri janji. Setiap permintaan akan diberi. Sabar dan terus menanti walaupun sampai akhirat nanti.


Sumber - Ustaz Abdul Razak Abdul Muthalib

Wednesday, November 26, 2014

KISAH BENAR - Kisah Arwah Ibu Melawat Jenazah Anaknya.


Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas memandikan mayat orang Islam di hospital.

Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor untuk menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut.

Di luar bilik mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening. Hanya saya dan seorang penjaga bilik tersebut yang berada dalam bilik berkenaan.

Saya membuka dengan hati-hati penutup muka jenazah. Kulitnya putih,badannya kecil dan berusia awal 20-an.

Allah SWT Maha Berkuasa.

Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi hitam.

Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai aneh, namun apabila semakin lama semakin hitam, hati saya mula bertanya-tanya.

Saya terus menatap perubahan itu dengan teliti, sambil di hati tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran.

Detik demi detik berlalu,wajah jenazah semakin hitam.

Selepas lima minit berlalu, barulah ia berhenti bertukar warna.

Ketika itu wajah mayat berkenaan tidak lagi putih seperti warna asalnya, tetapi hitam seperti terbakar.

Saya keluar dari bilik berkenaan dan duduk termenung memikirkan kejadian aneh yang berlaku itu.

Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya; apakah yang sebenarnya telah terjadi?

Siapakah pemuda itu?

Mengapa wajahnya bertukar hitam?

Persoalan demi persoalan muncul di fikiran saya.

Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita berjalan menuju ke arah saya.

Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula wanita ini yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul 4.00 Semakin lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri di hadapan saya.

Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung.

"Ustaz," kata wanita itu.

"Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah seminggu mayatnya tidak dituntut.

Jadi saya nak tengok jenazahnya."kata wanita berkenaan dengan lembut.

Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya, namun saya membawa juga wanita itu ke tempat jenazah tersebut.

Saya tarik laci 313 dan buka kain penutup wajahnya.

"Betulkah ini mayat anak mak cik?" tanya saya.

"Mak cik rasa betul... tapi kulitnya putih."

"Makcik lihatlah betul-betul."kata saya.

Selepas ditelitinya jenazah berkenaan, wanita itu begitu yakin yang mayat itu adalah anaknya.

Saya tutup kembali kain penutup mayat dan menolak kembali lacinya ke dalam dan membawa wanita itu keluar dari bilik mayat.

Tiba di luar saya bertanya kepadanya.

"Mak cik, ceritakanlah kepada saya apa sebenarnya yang berlaku sampai wajah anak mak cik bertukar jadi hitam?" tanya saya.

Wanita itu tidak mahu menjawab sebaliknya menangis teresak-esak.

Saya ulangi pertanyaan tetapi ia masih enggan menjawab. Dia seperti menyembunyikan sesuatu.

"Baiklah, kalau mak cik tidak mahu beritahu, saya tak mahu uruskan jenazah anak mak cik ini"kata saya untuk menggertaknya.

Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu membuka mulutnya.

Sambil mengesat airmata, dia berkata, "Ustaz, anak saya ni memang baik, patuh dan taat kepada saya. Jika dikejutkan di waktu malam atau pagi supaya buat sesuatu kerja, dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa membantah sepatahpun. Dia memang anak yang baik.

Tapi..." tambah wanita itu lagi "apabila makcik kejutkan dia untuk bangun sembahyang, Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan mak cik. Kejutlah dia, suruhlah dia pergi ke kedai, dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi kalau dikejutkan supaya bangun sembahyang, anak makcik ini akan terus naik angin.

Itulah yang mak cik kesalkan."kata wanita tersebut.

Jawapannya itu memeranjatkan saya.

Teringat saya kepada hadis nabi bahawa barang siapa yang tidak sembahyang, maka akan ditarik cahaya iman dari wajahnya.

Mungkin itulah yang berlaku.

Wajah pemuda itu bukan sahaja ditarik cahaya keimanannya, malah diaibkan dengan warna yang hitam.

Selepas menceritakan perangai anaknya, wanita tersebut meminta diri untuk pulang.

Dia berjalan dengan pantas dan hilang dalam persekitaran yang gelap.

Kemudian saya pun memandikan, mengapankan dan menyembahyangkannya.

Selesai urusan itu, saya kembali ke rumah semula.

Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu bertugas keesokan harinya sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak untuk menghubungi waris mayat pemuda tersebut. Melalui nombor telefon yang diberikan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, saya hubungi saudara Allahyarham yang agak jauh pertalian persaudaraannya.

Selepas memperkenalkan diri, saya berkata,

"Encik, kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke hospital seorang diri di pagi-pagi hari. Rasanya lebih elok kalau encik dan keluarga encik yang datang sebab encik tinggal di Kuala Lumpur lebih dekat dengan Klang."

Pertanyaan saya itu menyebabkan dia terkejut, "Orang tua mana pula?" katanya.

Saya ceritakan tentang wanita berkenaan, tentang bentuk badannya, wajahnya, tuturannya serta pakaiannya.

"Kalau wanita itu yang ustaz katakan, perempuan itu adalah emaknya, tapi.... emaknya dah meninggal lima tahun lalu!"

Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi.

Jadi 'apakah' yang datang menemui saya pagi itu?

Walau siapa pun wanita itu dalam erti kata sebenarnya, saya yakin ia adalah 'sesuatu' yang Allah turunkan untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam.

Peristiwa tersebut telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya.

Ia mengingatkan saya kepada sebuah hadis nabi, yang bermaksud bahawa jika seseorang itu meninggalkan sembahyang satu waktu dengan sengaja, dia akan ditempatkan di neraka selama 80,000 tahun.

Bayangkanlah seksaan yang akan dilalui kerana satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia. Kalau 80,000 tahun?........... fikir-fikirkanlah.

Sumber - ejeninfo

Thursday, November 20, 2014

Haram pakai lilitan di lengan baju - Mufti Perlis, Dr. Juanda


KANGAR - Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis meminta supaya anggota beruniform seperti polis dan ahli sukan beragama Islam tidak memakai lilitan hitam ataupun warna lain di lengan baju kerana perbuatan itu adalah haram.

Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya berkata, perbuatan berkenaan sering dilakukan ketika kematian sedangkan ia merupakan adat kebudayaan bagi orang kafir.

“Pihak kami telah menyemak perkara ini dan mendapati Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1987 telah membuat keputusan bahawa perbuatan itu haram, oleh itu Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis bersetuju sebulat suara menerima keputusan itu.

“Setiap bentuk pakaian bagi tujuan sosial atau sebagainya yang dipakai oleh orang Islam hendaklah tidak melibatkan unsur-unsur yang khusus dengan adat atau keagamaan bagi agama lain,” katanya merujuk kepada keputusan berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan Peringkat Negeri Perlis di sini, semalam.

Justeru beliau berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah drastik mengenai perkara ini apabila ia  dilihat sering berlaku dalam kalangan anggota uniform dan ahli sukan semasa berkabung yang juga tidak disyariatkan agama Islam kecuali kepada ahli keluarga dan isteri dalam tempoh tertentu,

“Jadi kita tidak boleh mewarisi perbuatan penjajah sebelum ini sedangkan ia bertentangan dengan agama.

"Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari, Kitab al_Jihad Secara Taklil (Daripada Ibn Umar katanya: Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dari kalangan mereka.”),” jelas Dr Juanda.


Sumber - Sinar Harian

Qasidah mohon bantuan Rasulullah syirik - Dr. Juanda


Jawatankuasa Fatwa Perlis turut melarang penduduk Islam di negeri ini, samada dalam bentuk qasidah, nasyid atau doa yang menyebut perkataan 'al-madad ya Rasulullah' yang membawa maksud 'mohon bantuan wahai Rasulullah' kerana ia adalah perbuatan syirik.

Dr Juanda berkata berdasarkan kajian penyelidik jabatan mufti berkenaan mendapati tidak ada ruang langsung untuk memahami ungkapan 'al madad ya Rasulullah' itu membawa kepada maksud lain kecuali meminta pertolongan daripada Nabi Muhammad.

Katanya ia adalah sejenis al- istighathah (doa) yang tidak dibenarkan dalam agama Islam.

Malah nas-nas dalam al-Quran dan hadis jelas melarang meminta tolong kepada orang yang mati termasuk Rasulullah yang telah wafat 1,400 tahun yang lalu.

“Untuk perkara ini jabatan mempunyai penjelasan dalam bentuk risalah hampir 50 muka surat.

"Antaranya menggariskan sebarang bentuk qasidah termasuk yang melaungkan ungkapan-ungkapan membawa syirik tidak boleh dilaksanakan di Perlis.

“Ini kerana kami mengesan ada pihak-pihak tertentu yang cuba membawa masuk qasidah dan doa sedemikian yang harus dielakkan,” katanya.

Dr Juanda juga meminta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)  melakukan penyelidikan tentang ungkapan sedemikian di dalam qasidah agar umat Islam terutama orang awam tidak tertipu oleh ungkapan yang boleh menyebabkan mereka secara tidak sedar jatuh melakukan perbuatan syirik dalam doa.

Pihaknya telah lebih setahun membincangkan mengenai ungkapan yang banyak disebut dalam qasidah atau syair dan jelas ia tidak menunjukkan maksud lain selain meminta pertolongan Rasulullah.

Ketika ditanya mengenai majlis qasidah yang dibawa oleh golongan tertentu yang semakin mendapat perhatian ramai, Juanda berkata sekiranya dalam qasidah tersebut mempunyai ungkapan sedemikian ia tetap syirik.

“Kita bukan menghukum majlis seperti itu, saya sendiri tidak pernah berada dalam majlis qasidah berkenaan.

"Bagaimanapun,  kita bimbang jika ia ada diselit dengan ungkapan tersebut secara tidak langsung  akan membawa kepada unsur Syiah seperti meminta pertolongan kepada cucu Rasulullah Hasan, dan Husein serta anakanda baginda Fatimah,” katanya.


Sumber - Sinar Harian

Wednesday, November 19, 2014

Istilah transgender tidak wujud


IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan tidak wujud istilah transgender sebagai mewakili golongan tertentu kerana ia hanya satu perasaan yang dibuat-buat.


Beliau berkata hakikat tersebut turut diakui oleh pakar-pakar psikologi terkemuka dunia yang mengakui tidak wujud istilah sedemikian.

“Tak ada istilah transgender. Ianya hanyalah perasaan yang dibuat-buat.” katanya ketika ditemui pada Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan 2014 di sini, semalam.

Harussani berkata, kajian berhubung isu itu juga sudah dilakukan pihaknya sendiri sejak 80-an lagi termasuklah menemui termasuk jumpa pakar bedah dan pakar psikologi.

“Mereka kata, ianya hanya satu perasaan yang dibuat-buat. Takkanlah tuhan jadikan perempuan dalam badan lelaki? Begitu juga dengan pengkid  atau tomboy.

“Nabi kata perbuatan seperti itu dilaknat ALLAH, jadi hukumnya samalah macam Iblis yang dilaknat. Nak ke kita dilaknat ALLAH?” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan kelemahan didikan keluarga menjadi satu faktor wujudnya konflik identiti seumpama itu.

“Ini mungkin akibat didikan keluarga apabila anak lelaki dilayan macam anak perempuan manakala anak perempuan dilayan seperti lelaki,” katanya.

Harussani turut menyatakan rasa kesal dengan keputusan mahkamah yang membenarkan golongan trans- gender berpakaian seperti perempuan, sedangkan undang-undang ada menyebut perkara sedemikian tidak boleh dibawa hingga ke Mahkamah Persekutuan.

“Mereka (mahkamah) kata mesti layan ‘kebebasan.’ Ini sendiri kita tidak faham, sedangkan dalam Islam sendiri tidak benarkan perkara yang tak betul dari segi akal dan syarak, inikan pula hanya nafsu semata-mata? ” katanya.


Sumber - Sinar Harian

Tuesday, November 18, 2014

Terjemahan Al-Quran Tanpa Ayat Asal Diharamkan - Harussani.


GOPENG: Terjemahan al-Quran tanpa disertakan dengan ayat asal diharamkan walaupun ia bagi tujuan berdakwah kepada golongan bukan Islam, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata terjemahan tanpa disertakan ayat asal tidak semestinya tepat disebabkan penterjemahan perlu dilakukan mengikut kaedah bahasa Arab.

"Terjemahan al-Quran perlu mengikut kaedah bahasa Arab, mesti ada ilmu alat, ilmu mantik dan ilmu nahu. Semua ada peraturan tertentu. Kita tidak boleh terjemah tanpa ayat asal kerana ia akan tidak memberi makna dan pemahaman sebenar," katanya pemberita selepas menutup Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan 2014 anjuran Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini, Selasa.

Beliau mengulas tentang permintaan seorang pensyarah wanita yang berhasrat menterjemahkan al-Quran kepada bahasa lain tanpa ayat suci yang asal untuk tujuan pemahaman rakannya yang bukan Islam.

Katanya wanita tersebut telah pergi ke Kementerian Dalam Negeri untuk meminta kelulusan namun Majlis Fatwa mengatakan penterjemahan seperti itu tidak dibenarkan.

"Percetakan juga tidak berani berbuat demikian dan wanita tersebut telah berjumpa Mufti Selangor yang kemudian menyuruhnya berjumpa dengan saya," katanya.

Harussani yang juga Pengerusi Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan sl-Quran berkata kitab suci itu diturunkan dalam bahasa Arab dan penterjemahan ke dalam bahasa lain wajib dilakukan mengikut ayat asal al-Quran.

"Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab jadi kalau bukan dalam bahasa Arab, ia bukan al-Quran. Kalau buat juga (penterjemahan tidak mengikut ayat asal) ia satu kesalahan besar di negara ini," katanya.

Beliau berkata penyebaran agama Islam melalui kegiatan dakwah tidak akan tersekat walaupun terjemahan seperti itu tidak dibenarkan.


Sumber - mStar Online

Sunday, November 16, 2014

Kisah Warren Fernandez Mendapat Hidayah Peluk Islam (Video)


Dia ditinggalkan oleh keluarganya bersendirian.....

Dia menjadi budak jalanan.....

Dia dibantu didalam satu kemalangan yang dahsyat oleh seorang yang berjubah putih...... siapakah yang berjubah putih itu?

Dia pertama kali mengucapkan Kalimah ‘Allah Hu Akbar’ semasa menghadapi saat-saat genting dilanda puting beliung semasa berada diluar negara......

Dan kini dia bernama Adam Warren Fernandez Abdullah, Amin.

Tonton videonya disini..........


Saturday, November 15, 2014

Tanda-tanda Hari Kiamat akan muncul - Masjid Gay di Cape Town


Setelah berjaya menubuhkan Masjid Tauheed yang pro-gay di Toronto, para aktivis dan pendokong LGBT kemudiannya telah membuka sebuah masjid mesra-gay di Paris.

Kini umat Islam di Afrika Selatan pula dikejutkan dengan pengumuman pembukaan masjid mesra LGBT yang pertama di Cape Town, Ini tentunya mengejutkan dan menguji kesabaran umat Islam yang menolak perhubungan dan amalan seks songsang sesama jenis.

Masjid Tauheed di Toronto ditubuhkan berasakan idea daripada Aminah Wadud, manakala masjid pro-gay di Paris pula diasaskan oleh seorang aktivis gay Perancis berketurunan Algeria Ludovic-Mohamed Zahed.

Aminah Wadud
Aminah sedang mengimamkan solat jemaahnya termasuk orang lelaki

Pasangan gay Zahed dan Qiam ad-Din
Zahed sendiri telah berkahwin dengan pasangan gaynya daripada Afrika yang bernama Qiam ad-Din.

Mereka akan menggalakkan wanita untuk memimpin solat Jumaat serta memecahkan tradisi beberapa amalan Islami yang lain seperti pernikahan pasangan gay dan lesbian, pengurusan jenazah gay dan lain-lain lagi.

‘Wynberg Open Mosque’ di Cape Town pula telah dibuka secara rasminya pada September 2014 ini, Penubuhan masjid yang kontroversi ini telah dimulakan oleh Taj Hargey.


Beliau adalah seorang ahli akademik lulusan Oxford University yang berkata, “Kami menubuhkan masjid untuk orang-orang yang berfikiran terbuka dan bukan untuk yang berfikiran tertutup.”

Selain daripada mengalu-alukan pengamal gay secara terbuka, masjid ini juga mengalu-alukan wanita untuk memimpin jemaah dalam solat dan beramal dengan amalan tidak konvensional dan kontroversi dalam Islam.

Umat Islam di Afrika membantah dengan pembinaan masjid tersebut
Hargey menjawab kritikan orang ramai yang mempersoalkan kewibawaaan dan ilmu Islamnya dengan angkuh seraya berkata.

“I have a PhD in Islamic studies from Oxford University, unlike my opponents who went to some donkey college in Pakistan or Saudi Arabia.”

Sebagai ahli masyarakat yang prihatin, saya berdoa dan berharap agar mereka semua bertaubat dan menemui jalan kebenaran.

Kepada masyarakat di Malaysia pula, kita tidak boleh duduk selesa kerana aktivis LGBT yang kuat disokong oleh beberapa NGO tempatan dan antarabangsa seperti HRW telah pun membuat permohonan supaya pengamal LGBT tidak dianak-tirikan dan diberikan kebebasan di Malaysia termasuk mengiktiraf perkahwinan sesama jenis di kalangan mereka.

Mari kita lihat kembali firman Allah yang bermaksud,

“Dan (ingatlah kisah) Luth, ketika ia berkata kepada kaumnya: “Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu sedang kamu melihat(nya). Mengapa kamu mendatangi laki-laki untuk (memenuhi) nafsu(mu), bukan mendatangi wanita? Sebenarnya kamu adalah kaum yang tidak dapat mengetahui (akibat perbuatanmu).”

(Surah an-Naml: 54-55)

“Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang diberi tanda oleh Tuhanmu, dan seksaan itu tiadalah jauh dari orang- orang yang lalim. ”

(Surah Hud: 82-83)

Semoga mereka semua diberikan petunjuk oleh Allah swt dan berusaha untuk kembali ke pangkal jalan.


Sumber - BBC News

Wednesday, November 12, 2014

Untuk Pedoman - Satu Tidur Panjang (Video)



Qul 'In Kānat Lakumu Ad-DāruAl-'Ākhiratu `IndaAllāhi Khālişatan Min Dūni An-Nāsi Fatamannaw Al-Mawta 'In Kuntum Şādiqīna

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): "Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar".


 Satu Tidur Panjang

Di sini kita bersama

Di tanah lapang penuh cinta
Di sini aku menangis
Setelah engkau pergi

Mentari sampaikan cahaya
Pada kasih yang tertidur panjang
Setiap yang pergi itu
Pastikan ku turuti

Tenanglah kau di sana
Menanti pasti kepulanganku
Andai jujur cinta semalam
Bertemu lagi di tanah ini

Kematian hanya tidur panjang
Yang penuh dengan soalan
Semoga kejujuran cinta ini
Jadi keredaan Tuhan
Mimpi indah ..... insan

Sesungguh rasa hatiku ini
Setiap cinta hanya kernamu
Restukan kasih suci ini
Tuhan…

Mentari di ufuk barat
Menambah tua hari ini
Setiap musim yang berganti
Akhirnya kan berhenti ... di sini Tuhan


by: Ramli Sarip & Lefthanded
video clip edited by: infoduniaaku.blogspot.com

Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas R.A. - Ubat Hati Ada 5 Perkara (Video)


Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas R.A.

“Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut.

Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandungannya.

Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa.

Ketiga, bangun (beribadat) diwaktu malam.

Keempat, menghampirkan diri kepada Allah (beribadat) disepertiga malam dan

kelimanya, Sentiasa bersama-sama dengan orang-orang yang beriman.”