Jakarta: Tentera Laut Indonesia menenggelamkan dua lagi bot nelayan asing di Ambon semalam.
Ketua Tentera Laut Indonesia, Manahan Simorangkir berkata, kedua-dua bot nelayan itu ditahan di perairan Indonesia pada 7 Disember lalu.
Katanya, selepas disiasat, didapati kedua-dua bot berkenaan didapati berasal dari Papua New Guinea dan membawa 52 kru warga Kemboja serta Thailand.
Bagaimanapun, tiada maklumat diperoleh mengenai pemilik bot berkenaan.
“Mereka didapati bersalah menangkap ikan di wilayah Indonesia tanpa izin atau tidak memiliki dokumen yang dikeluarkan oleh kerajaan Indonesia,” katanya.
Langkah tegas menenggelamkan bot nelayan yang menceroboh perairan Indonesia dibuat selepas Jokowi membentuk Kabinet Kerjanya baru-baru ini.
Jakarta memberi penekanan kepada kedaulatan perairannya selepas dikatakan sering dicabul nelayan asing.
Sebelum ini sebuah bot nelayan Vietnam juga ditenggelamkan atas arahan kerajaan.
Penenggelaman bot itu sejajar dengan arahan Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti. - Agensi
No comments:
Post a Comment