Search This Blog

HOME

Thursday, December 4, 2014

Dafi guna khidmat Ahmad Dhani terbit album

Dafi AF (kanan) berjabat tangan dengan Ahmad Dhani selepas menandatangani perjanjian kerjasama penerbitan album dan pengurusan karier seni di Jakarta, Indonesia, semalam

JAKARTA 4 Dis. – Penyanyi popular, Gadaffi Ismail Sabri mengumumkan kerjasama beliau dengan seniman tersohor Indonesia, Ahmad Dhani Prasetyo melibatkan urusan penerbitan album dan pengurusan karier seninya di negara jiran ini.

Gadaffi atau lebih dikenali sebagai Dafi memilih Ahmad Dhani yang juga pengasas kumpulan muzik termasyhur, Dewa sebagai penerbit albumnya berikutan rekod cemerlang seniman itu dalam industri muzik Malaysia dan Indonesia.

Berusia 26 tahun, anak kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu memberitahu, peluang bekerjasama dengan Ahmad Dhani juga diharap membuka laluan kepadanya untuk membina nama di persada seni Indonesia.

Bekas peserta program realiti popular, Akademi Fantasia itu berkata, beliau sudah lama berhasrat mendapatkan khidmat Ahmad Dhani khususnya untuk menerbitkan album solonya.

“Alhamdulillah hasrat saya akhirnya terlaksana juga. Kerjasama dengan Ahmad Dhani adalah peluang keemasan untuk saya mengukuhkan kedudukan sebagai seorang penyanyi bukan hanya untuk pasaran Malaysia tetapi juga untuk meluaskan karier di Indonesia,” kata Dafi pada sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian kerjasama dengan Ahmad Dhani, di sini hari ini.

Yang hadir sama pada majlis itu ialah Ismail Sabri serta Presiden Indonesia Diaspora di Malaysia, Chairul Anhar.

Menurut Dafi, melalui kerjasama itu, Ahmad Dhani akan menerbitkan album solonya sementara pengurusan kerjaya seninya di Indonesia akan dikendalikan oleh syarikat produksi Republika Cinta yang diasaskan pemuzik ternama itu.

Sementara itu, Ahmad Dhani memberitahu, kerjasama itu mencatat rekod peribadi buatnya kerana itu merupakan kali pertama beliau menerbitkan album penuh bagi seorang artis dari luar Indonesia.

“Saya sudah sering bekerjasama dengan beberapa artis Malaysia yang meminta khidmat saya menerbitkan lagu mereka. Namun dengan Dafi, ini adalah kerjasama pertama melibatkan penerbitan sebuah album penuh,” katanya.

Ahmad Dhani berkata, persetujuan untuk menerbitkan album Dafi adalah kerana beliau melihat penyanyi muda itu mempunyai bakat dan potensi yang sangat besar untuk diketengahkan ke pe­ringkat antarabangsa.

Pada masa sama, Ahmad Dhani melihat kerjasama penerbitan album dengan artis dari Malaysia saling tidak ubah sebagai kerjasama persahabatan dua negara jiran.


Sumber - Utusan Online

No comments:

Post a Comment