Search This Blog

HOME

Friday, December 12, 2014

Guan Eng : Bukan Islam Di Pulau Pinang Tidak Dilarang Guna Kalimah Allah


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini memberi jaminan hari ini, tiada larangan dikenakan terhadap masyarakat bukan Islam di negeri itu daripada menggunakan kalimah “Allah”, lapor The Malaysian Insider.

Katanya, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri 2004, yang dilampirkan padanya satu fatwa berhubung perkara itu pada 2010, tidak terpakai kepada orang bukan Islam. 

“Masyarakat bukan Islam tidak tertakluk di bawah undang-undang Islam. Enakmen itu hanya digunapakai oleh masyarakat Islam, tidak oleh bukan Islam. Jadi, tiada isu timbul. 

“Kita tidak meluluskan mana-mana undang yang membenarkan larangan itu terpakai kepada masyarakat bukan Islam,” kata Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP pada sidang media di pejabatnya di Komtar hari ini. 

Menurutnya, penasihat undang-undang negeri juga mengesahkan enakmen tersebut tidak terpakai terhadap masyarakat bukan Islam. 

Kenyataan Guan Eng itu bercanggah dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada Januari 2010. 

“Bahawa kalimah-kalimah yang berkaitan dengan kesucian agama Islam adalah khusus bagi agama dan orang Islam sahaja. Oleh itu ia tidak boleh diguna atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam. 

“Orang Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah-kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang besar kepada agama dan orang Islam. 

“Oleh itu orang Islam wajib menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan dan penyalahgunaan terhadap kalimah-kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub,”kenyataan dari e-fatwa.gov.my dipetik.
  
Dalam fatwa itu disebut 40 perkataan, termasuk “Allah” dilarang digunakan oleh bukan Islam. 

“Oleh itu, mana-mana orang bukan Islam yang menulis atau menerbitkan apa-apa bentuk, versi atau variasinya atau apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa atau apa-apa bahan publisiti atau apa-apa bahan sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media atau apa-apa kaedah lain yang boleh membawa kepada menghina kesucian agama Islam adalah salah dan dilarang serta menjadi satu kesalahan.” 

Mengulas isu sama, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim berkata tidak boleh mana-mana muslim atau penguatkuasa agama melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada bukan Islam. 

Anwar mendakwa media-media UMNO dan Barisan Nasional telah menggunakan ‘maqasid shariah’ untuk mengesahkan budaya perkauman dan ekstrimis mereka. 

“Ini satu penipuan dan penghinaan kepada Islam. Dalam perbuatan ini mereka telah memesongkan tujuan sebenar dan kepentingan maqasid al-shariah,” jelasnya. 

Seterusnya Anwar berkata agama telah digunakan untuk kepentingan dan agenda pihak-pihak tertentu yang berselindung di sebalik topeng “pejuang bangsa dan agama.” 

“Pejuang-pejuang agama ini terus hidup mewah dan mengenepikan prinsip-prinsip Islam, menyokong kronisma dan rasuah. Mereka bicara soal maqasid, tetapi terus angkuh dan sombong dan mengharamkan kebebasan bersuara dan wacana awam,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini, lapor FMT. 
Sumber - AID

No comments:

Post a Comment