Search This Blog

HOME

Sunday, December 14, 2014

Sidang Khas Hudud Dun Kelantan 29 Disember Ini.


KOTA BAHARU: Kerajaan negeri Kelantan akan mengadakan persidangan Khas Dewan Undangan Negeri bagi membentangkan pindaan terhadap Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau dikenali sebagai Hukum Hudud pada 29 Disember ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata pindaan itu perlu dibuat terlebih dahulu sebelum rang undang-undang persendirian berkaitan pelaksanaan hudud dibawa ke Parlimen. 

"Pindaan ini semata-mata untuk melayakkan kita untuk membawa Rang Undang-undang Persendirian ke Parlimen di mana kita merujuk kepada Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan. 

"Mengikut Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri boleh melaksanakan undang-undang berkenaan setelah mendapat kebenaran Parlimen,"katanya pada sidang akhbar berkaitan sidang itu di sini, Ahad. 

Ditanya mengenai bantahan kaum Cina berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, Ahmad berkata pelaksanaannya hanya melibatkan hukuman terhadap umat Islam.

"Ini perkara tidak berbangkit sebab kita menghormati agama lain dan undang-undang hudud ini tidak melibatkan orang bukan Islam, hanya Islam sahaja dan mereka (orang bukan Islam) layak memilih untuk diadili secara sivil atau hudud," katanya. 

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan persekutuan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membentangkan ke Parlimen rang undang-undang persendirian mengenai hukum hudud bagi dilaksanakan di negeri ini. 


Katanya, ia adalah hak kerajaan negeri Kelantan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment