Search This Blog

HOME

Showing posts with label Cerita Luar Negara. Show all posts
Showing posts with label Cerita Luar Negara. Show all posts

Thursday, April 25, 2013

Presiden Uganda Derma Satu Guni Wang Tunai.

KAMPALA - Presiden Uganda, Yoweri Museveni mendermakan satu guni wang tunai kepada sebuah pertubuhan belia tempatan, Busoga Youth di timur negara itu.

Wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM303,649) itu bertujuan untuk pelbagai aktiviti pembangunan belia.



Karung berisi wang itu diserahkan kepada Menteri Kebajikan Belia dan Kanak-Kanak, Ronald Kibuule sebelum disampaikan kepada wakil pertubuhan belia berkenaan pada satu majlis di ibu kota Uganda di sini.

Penyerahan derma itu pada hujung minggu lalu telah menjadi buah mulut di Uganda sekali gus meningkatkan populariti Museveni.

Bagaimanapun, pihak pembangkang menuduh Presiden itu menggunakan derma tersebut untuk membeli sokongan golongan belia pada pilihan raya akan datang.


Korban Bangunan Runtuh Di Bangladesh Meningkat 230 Orang.


SAVAR, Bangladesh - Beribu-ribu orang kelihatan sayu sambil memerhatikan pasukan penyelamat mencari saudara-mara masing-masing yang masih terperangkap di bawah sebuah bangunan yang runtuh di sini kelmarin.

Sehingga semalam, jumlah mereka yang terkorban meningkat kepada 230 orang. Bangunan lapan tingkat tersebut, Plaza Rana, menempatkan beberapa premis perniagaan termasuk pasar raya dan kilang pakaian.

Angka korban besar tersebut ekoran pihak pengurusan kilang pakaian itu tidak menghiraukan kemunculan keretakan pada dinding bangunan beberapa jam sebelum bangunan itu runtuh.

Susulan kejadian itu kelmarin, beratus-ratus ribu pekerja keluar dari kilang mereka untuk memberi penghormatan kepada mangsa-mangsa yang terkorban.

Dalam pada itu, pasukan penyelamat masih bertungkus-lumus mengesan suara mangsa yang terperangkap di bawah timbunan runtuhan.

Namun, setakat semalam mereka hanya mengeluarkan sejumlah mayat mangsa insiden tersebut.

"Jumlah mayat yang ditemui kini 204 orang," kata pegawai kanan polis, Moshiuddowla Reza kepada AFP. Tambahnya, kebanyakan mayat yang ditarik keluar merupakan sebahagian daripada 3,000 orang pekerja perempuan di bangunan lapan tingkat berkenaan.

Kemalangan yang terjadi didakwa berpunca daripada masalah sistem keselamatan dan keadaan suasana tempat kerja kurang sempurna yang melanda industri tekstil Bangladesh. Bangladesh merupakan pengeksport pakaian kedua terbesar di dunia.

Pada November tahun lalu, 111 orang maut dalam kebakaran di sebuah kilang membuat pakaian untuk jenama Walmart dan beberapa label Barat di Dhaka.

Mangsa-mangsa yang terselamat mendakwa pintu kecemasan bangunan kilang berkenaan ditutup oleh pengurus kilang tersebut.

Selesema burung H7N9 merebak ke Taiwan




BEIJING 24 April 2013 - Pakar-pakar antarabangsa menyifatkan virus selesema burung H7N9 yang menjangkiti penduduk China sebagai antara virus influenza paling berbahaya setakat ini.

Perkembangan tersebut berlaku ketika kes pertama selesema burung H7N9 dikesan di Taiwan.

Sehingga kini, China telah mengesahkan sebanyak 108 kes dengan 22 kematian akibat jangkitan H7N9 sejak penyakit itu mula dikesan pada 31 Mac lalu.

"Ini merupakan antara virus influenza yang paling membawa maut setakat ini," kata pakar selesema Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Keiji Fukuda.

Menurutnya, virus tersebut sangat mudah merebak berbanding virus selesema burung H5N1. WHO setakat ini menyatakan, wabak maut itu berpunca daripada ternakan ayam, itik dan burung merpati yang dijangkiti virus H7N9.

Namun, agensi badan dunia itu tidak menolak potensi berlaku jangkitan daripada manusia kepada manusia.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Taiwan memberitahu, seorang rakyatnya yang baru pulang bertugas di timur China telah dijangkiti virus maut tersebut.

Namun, kebanyakan kes H7N9 dilaporkan terhad di bandar raya Shanghai dan beberapa wilayah berhampiran di timur China.

Sumber

HARGA PETROL DI INDONESIA NAIK 40%.


JAKARTA - Pemerintah Indonesia mengambil risiko kehilangan populariti menjelang pilihan raya 2014 berikutan rancangannya mahu mengurangkan subsidi minyak di negara berkenaan.

Sebelum ini pakar-pakar ekonomi bimbang subsidi harga minyak yang menelan lebih 16 peratus bajet negara akan menjejaskan ekonomi Indonesia.

Rancangan untuk menaikkan harga petrol dan diesel itu adalah yang pertama sejak lima tahun lalu.

Menteri Tenaga, Jero Wacik mengumumkan seminggu lalu bahawa pelan tersebut akan menyaksikan harga petrol untuk kereta persendirian meningkat lebih 40 peratus. 

Kenaikan itu akan mula berkuat kuasa pada bulan depan.

Harga petrol di Indonesia ketika ini kekal pada 4,500 rupiah (RM1.40) seliter atau separuh daripada harga pasaran semasa sekali gus antara yang termurah di Asia. Di bawah pelan baharu tersebut, harga petrol untuk kereta persendirian dijangka naik sekitar 6,500 rupiah (RM2.03) seliter.

Pemerintah Indonesia berharap dapat mengekang kemarahan rakyat dengan mengekalkan subsidi penuh petrol dan diesel untuk motosikal serta pengangkutan awam.

Namun, rancangan itu telah membangkitkan rasa tidak senang dalam kalangan 240 juta rakyat di negara itu.

"Masalahnya, jika harga minyak naik, harga barangan lain seperti daging dan gandum akan turut meningkat," kata seorang penjual mi di sini.

Subsidi minyak menjadi masalah kepada banyak negara di Asia termasuk India dan Malaysia yang berdepan tekanan untuk mengekalkan subsidi yang tinggi di sebalik kenaikan harga minyak global. 

Harga minyak mentah bagi penghantaran Jun 2013 jatuh 1 sen AS$89.18 (RM272.17) setong di Bursa Mercantile New York manakala di bursa hadapan ICE, London, minyak mentah Brent meningkat 62 sen untuk diniagakan pada harga AS$100.93 (RM308.03) setong.

Wednesday, April 24, 2013

Bangunan runtuh, 100 dikhuatiri terbunuh


SAVAR 24 April 2013 - Tidak kurang 100 orang terbunuh dengan ramai lagi mangsa dikhuatiri mati selepas sebuah bangunan runtuh di Bangladesh semalam, menurut sumber rasmi.

Bangunan lapan tingkat tersebut, Plaza Rana, menempatkan beberapa premis perniagaan termasuk sebuah pasar raya dan kilang pakaian.

Seorang pegawai berkata, hanya tingkat bawah bangunan itu yang menempatkan sebuah bank masih berada dalam keadaan sempurna.

Bangunan itu terletak di bandar ini, 30 kilometer dari ibu kota Bangladesh, Dhaka.

"Setakat ini, kami telah menjumpai 15 mayat dengan ramai lagi dikhuatiri mati," kata Pengarah Jabatan Bomba, Mejar Zehadul Islam kepada agensi berita AFP.

Menurutnya, pasukan tentera turut dipanggil bagi membantu usaha menyelamatkan mangsa.

Sekitar 2,000 orang berada di dalam bangunan tersebut ketika ia runtuh pada pukul 9 pagi (waktu tempatan).

Ketua polis tempatan, M. Asaduzzaman pula memberitahu, situasi kini genting dengan sekurang-kurangnya 150 dibimbangi masih terperangkap di bawah timbunan runtuhan.


Kejadian bangunan runtuh kerap berlaku di Bangladesh ekoran sikap pemaju yang tidak mempedulikan peraturan pembinaan bangunan bertingkat.



Sumber

Sunday, April 21, 2013

PEROGOL KANAK-KANAK BERUMUR 5 TAHUN DITAHAN DI RUMAH BAPA MENTUA


Kanak-kanak mangsa rogol yang berumur 5 tahun dibawa ke All India Institute of Medical Sciences hospital daripada hospital Swami Dayanand untuk menjalani pemeriksaan pada 19 April 2013 - REUTERS/Adnan Abidi


Patna: Polis India berkata, mereka menahan suspek kes rogol membabitkan seorang budak perempuan berusia lima tahun yang kini tenat di hospital.

Suspek, Manoj Kumar, 25, ditahan di Bihar, timur India selepas dia berlindung di rumah bapa mentuanya di sebuah kampung kira-kira 70 kilometer dari ibu negeri, Patna.

Jurucakap polis berkata, Kumar didakwa mengunci mangsa terbabit dalam sebuah bilik dan merogolnya berkali-kali dalam tempoh 48 jam. “Mangsa diculik dari kawasan petempatan golongan kelas pertengahan rendah di New Delhi pada Isnin lalu,” katanya. Ketua Pengarah Polis, Ravindar Kumar berkata, perbuatan Kumar tidak dapat diterima sama sekali.

Kumar ditahan sekumpulan polis dari New Delhi yang bekerjasama dengan polis Bihar. Polis berkata, suspek tiba di Kampung Chiknouta kelmarin selepas melarikan diri dari New Delhi menaiki kereta api.

Kumar akan dihantar ke New Delhi untuk dibicarakan. Mangsa ditemui pengguna jalan raya yang terdengar dia menangis.

Budak terbabit dimasukkan ke hospital pada Rabu dan doktor menganggap keadaannya “kritikal.” Doktor berkata, budak perempuan itu cedera parah dan mengalami kecederaan dalaman serta jangkitan serius.

Sumber: myMetro / AFP

23 PEGAWAI POLIS BRAZIL DIPENJARA 156 TAHUN

Penjara Carandiru

SAO PAULO 22 April - Sebanyak 23 pegawai polis Brazil dijatuhi hukuman penjara sehingga 156 tahun setiap seorang semalam atas peranan mereka dalam pembunuhan sebanyak 111 penghuni penjara dalam rusuhan berdarah di dalam fasiliti itu pada 1992.

Kesemua mereka merupakan antara 26 pegawai yang dibicarakan oleh sebuah tribunal di Sao Paulo manakala tiga lagi bebas daripada tuduhan itu.

Pegawai itu, yang kebanyakannya kini telah bersara, didakwa membunuh 15 banduan di penjara Carandiru, Sao Paulo semasa operasi mematahkan pemberontakan pada 2 Oktober 1992 yang kemudiannya dikenali sebagai 'pembunuhan beramai-ramai Carandiru'.

Sumber: Utusan Online