PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak senior Jalil Hamid menegur artis-artis yang sedang meningkat naik agar tidak mendabik dada dengan kedudukan mereka ketika ini.
Jalil berkata, kebanyakan artis yang popular sekarang sering bermegah-megah dengan kedudukan mereka sehingga melanggar budaya masyarakat Melayu dan agama Islam.
"Bila jadi artis perlu ingat diri dan asal usul jangan sudah popular lupa budaya dan batas agama sampai merosakkan nama baik artis.
"Saya lihat ramai yang nama sedang naik bersikap bermegah-megah dan mendabik dada dengan kedudukan yang mereka kecapi," ujarnya kepada mStar Online.
Jalil ditemui pada majlis pelancaran album Kami Anak Felda (KAF) yang diadakan di Bora Ombak, dekat sini, Selasa lalu.
Jalil berkata, terdapat segelintir artis yang menggunakan nama mereka untuk malakukan perkara yang bercanggah dalam Islam.
"Saya tegur secara terbuka kerana ada yang saya lihat menggunakan nama mereka buat skandal sana sini tanpa rasa malu ikut budaya barat.
"Maaflah kerana berfikiran tidak seperti orang moden tetapi saya sedih dan sayu hati melihat perangai begini," katanya.
Sementara itu, Jalil berkata, lagu Dalam Kepala Otak merupakan single terbaharu yang dimuatkan dalam album KAF setelah hampir tujuh tahun tidak keluar dengan lagu baharu.
Katanya, keadaan industri muzik yang tidak sihat membuatkan dia takut untuk mencuba nasib dalam bidang nyanyian.
"Industri hiburan tidak begitu baik sekarang sehingga membuatkan saya takut untuk keluar dengan lagu-lagu komedi baru.
"Saya ada idea dan lagu tetapi nak beri pada orang pun siapa yang mahu kerana saya tiada nama sebagai pencipta lagu," ujarnya.
Dalam pada itu, dia mengakui kesal tiada pelapis di kalangan pelawak yang boleh mencipta lagu-lagu komedi.
Katanya, ia mungkin kerana keadaan insdustri yang sedang tenat membuatkan mereka takut untuk berbuat demikian.
"Saya pun tidak tahu ramai pelawak yang lahir tetapi tiada satu pun yang buat lagu genre komedi. Mungkin juga mereka takut untuk mencuba terutama dalam keadaan sekarang yang tidak berapa baik," katanya.
Sumber - mStar Online
No comments:
Post a Comment