Sepang: Beraksi buat pertama kali di Piala AFF 2014 kelmarin ternyata memberi tekanan buat ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi namun tetap berpuas hati kerana berjaya membantu skuad Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir bertemu Thailand 17 dan 20 Disember ini.
Menurutnya, walaupun baru kali pertama diturunkan jurulatih Dollah Salleh setidak-tidaknya dia membuktikan kehadirannya memberi impak apabila Malaysia bangkit dari kekalahan separuh akhir kedua 1-2 dengan mencatat kemenangan 4-2 (agregat 5-4).
“Saya mengakui tanggungjawab ini sangat besar terutama untuk mengatasi kelebihan pasukan lawan,” katanya ketika skuad kebangsaan pulang dari Hanoi di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) semalam.
Jelasnya, sebelum turun beraksi dia berasa tanggungjawab yang dipikulnya amat besar dan penuh risiko terutama untuk membantu pasukan bangkit seterusnya mara ke perlawanan akhir.
“Saya akui ada sedikit tekanan untuk menghadapi perlawanan itu. Kalau ikutkan, peluang yang diberikan jurulatih menjadi sesuatu yang cukup baik.
“Walaupun ini perlawanan pertama, saya puas hati kerana berjaya melakukan hantaran untuk membantu pasukan mendapatkan jaringan,” katanya.
Pemain yang terkenal dengan nama timangan, Piya itu mengakui belum puas dalam memberikan sumbangan kepada pasukan kebangsaan.
“Seterusnya saya harap dapat beraksi pula dalam perlawanan akhir dan membantu Harimau Malaya merampas semula kejuaraan ini,” katanya.
Tambahnya, dia tidak kisah siapa yang akan diturunkan menjelang aksi akhir nanti, kerana setiap pemain sudah pasti akan memberikan persembahan terbaik.
“Keyakinan sudah ada tapi saya perlukan lebih banyak peluang untuk mempertingkatkannya di pentas antarabangsa. Kalau terus diberi peluang, saya akan cuba beri yang terbaik,” katanya.
Sumber - Metro Online
No comments:
Post a Comment