Search This Blog

HOME

Tuesday, December 24, 2013

SEJARAH & SALASILAH YANG DIPERTUAN MUDA RIAU. (26 Gambar)



Makam Daeng Marewah Daeng Rilaga
Daeng Marewah Daeng Rilaga - Yang Dipertuan Muda Riau Pertama

Daeng Marewah adalah saudara paling tua Bugis 5 bersaudara daripada Makassar, Sulawesi yang datang ke Johor. Beliau dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda Johor yang pertama (1722 - 1728). Beliau mengambil gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah Ibn Opu setelah menjadi Yang Dipertuan Muda Riau.


Beliau mangkat pada 7 Ogos 1728 dan telah dimakamkan di Sungai Baru, Riau.
 

Daeng Chelak Daeng Rilaga - Yang Dipertuan Muda Riau Ke-2

Daeng Chelak ialah Yang Dipertuan Muda Riau II yang memegang jawatan itu sejak 1728 hingga 1745 menggantikan saudaranya Sultan Alauddin Shah Daeng Marewah, Yang Dipertuan Muda I (Marhum Sungai Baru).

Maskam Daeng Chelak Daeng Rilaga
Baginda ialah orang yang menjadikan Riau sebagai sebuah pelabuhan yang maju dan memerintahkan penduduk Riau menanam lada hitam dan gambir. Baginda seorang panglima perang yang berani dan ahli siasah yang bijaksana sehingga Riau ketika itu mahsyur ke segenap Alam Melayu sebagai negeri yang disegani. Keturunannya menjadi pewaris kepada jawatan Yang Dipertuan Muda sehingga keturunan terakhirnya yang menjadi Yang Dipertuan Muda, Raja Muhammad Yusuf, Yang Dipertuan Muda XI.

Baginda mangkat di Ulu Riau pada tahun 1745 dan dimakamkan di sana dan baginda digelar Marhum Mangkat di Kota oleh orang-orang Riau.


Daeng Kemboja Daeng Parani - Yang Dipertuan Muda Riau Ke-3

Daeng Kemboja merupakan putera Daeng Parani yang menjadi Yang Dipertuan Muda Riau III. Baginda dilantik memegang jawatan tersebut pada tahun 1745-1777 menggantikan bapa saudaranya, Daeng Cellak.

Ketika baginda menjadi Yang Dipertuan Muda, berlaku fitnah di Riau ke atas orang-orang Bugis sehingga baginda bertindak keluar dari Riau dan menetap di Linggi. Pada zaman baginda, berlaku peperangan dengan Belanda di Melaka akibat fitnah dari Sultan Mansur Terengganu.

Baginda juga mengasaskan jawatan Engku Kelana (Timbalan Yang Dipertuan Muda) dan melantik Raja Haji Fisabilillah yang juga sepupunya sebagai Engku Kelana yang pertama.

Baginda berkhidmat di bawah 4 orang Sultan iaitu Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1722-1760), Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah (1760-1761), Sultan Ahmad Riayat Shah (1761) dan Sultan Mahmud Shah III (1761-1812).
Baginda mangkat pada tahun 1777 di Riau dan digelar Marhum Janggut. Baginda dimakamkan di Batangan, Riau.



Raja Haji Fisabilillah Ibni Daeng Celak - Yang Dipertuan Muda Riau Ke-4

Raja Haji Fisabilillah ibni Daeng Celak (1727 - 18 Jun 1784) atau lebih dikenali sebagai Raja Haji adalah seorang pahlawan Bugis dan Yang Dipertuan Muda Kesultanan Johor-Riau-Lingga (1777 - 1784). Dilahirkan di Ulusungai, Riau, Raja Haji meninggal dunia di Teluk Ketapang, Melaka dan dimakamkan di Pulau Penyengat Indera Sakti, Kepulauan Riau, Indonesia.



Raja Haji merupakan adik Raja Lumu yang menjadi Sultan Selangor. Manakala Raja Ali Haji yang terkenal itu merupakan cucu beliau.

Raja Haji terkenal dalam melawan pemerintahan Belanda apabila Belanda berusaha untuk menawan Riau. Beliau malah cuba menyerang kubu Belanda di Melaka pada tahun 1784 tetapi tewas. Pada tahun yang sama berlaku satu lagi pertempuran di Teluk Ketapang. Raja Haji terkorban dalam pertempuran ini. Serangan Belanda ini menimbulkan kemarahan anak saudaranya Raja Ibrahim, menyebabkan Selangor terlibat secara langsung dalam persengketaan antara Belanda dengan Johor.


Raja Ali Ibni Daeng Kemboja - Yang Dipertuan Muda Riau Ke-5

Raja Ali Ibni Daeng Kemboja ialah Yang Dipertuan Muda V. Beliau dilantik oleh Sultan Mahmud Shah III, Sultan Lingga-Riau selepas kemangkatan Raja Haji semasa menyerang Belanda di Teluk Ketapang, Melaka pada tahun 1784 dan beliau bergelar Sultan Ali Riayat Shah.
Belanda telah menyerang Riau pada 30 Oktober 1784 secara tiba-tiba sehingga menyebabkan perbalahan antara pihak Melayu dengan Bugis. Raja Ali sendiri terpaksa keluar dari Riau dan pergi ke Siantan.

Pada tahun yang sama, Belanda telah menandatangani perjanjian dengan Sultan Mahmud untuk menerima naungan Belanda ke atas Riau. Sejak saat itu, Belanda telah berjaya menanamkan pengaruhnya di Johor-Riau yang sejak penubuhannya pada tahun 1528 tidak pernah dijajah oleh bangsa Eropah.

Perjanjian itu menyebabkan jawatan Yang Dipertuan Muda dimansuhkan dan tugas Yang Dipertuan Muda memerintah Riau diserahkan kepada Engku Muda Muhammad.

Jawatan Yang Dipertuan Muda dikembalikan semula kepada Raja Ali pada tahun 1795 oleh Inggeris yang mentadbir Melaka bagi pihak Belanda ketika berlaku Perang Napoleon di Eropah.

Pada tahun ini juga dibuat penetapan kawasan pemerintahan antara Sultan Mahmud Shah III dan Yang Dipertuan Muda iaitu Yang Dipertuan Muda mentadbir Riau dan Sultan pula mentadbir kerajaan yang berpusat di Lingga.

Baginda mangkat di Pulau Bayan pada tahun 1806 dan digelar Marhum Pulau Bayan.



Raja Ja'afar Ibni Raja Haji Fisabilillah - Yang Dipertuan Muda Riau Ke-6

Raja Ja'afar Ibni Raja Haji Fisabilillah atau Sultan Alauddin Riayat Shah III ialah Yang Dipertuan Muda Riau ke-6. Baginda dilantik pada tahun 1806 oleh Sultan Mahmud Shah III menggantikan Raja Ali Marhum Pulau Bayan.

Baginda menjadi orang yang bertanggungjawab melantik Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor pada tahun 1812 selepas kemangkatan Sultan Mahmud dan mengenetepikan putera sulung baginda, Tengku Hussain.

Makam Raja Ja'afar Ibni Raja Haji Fi Sabilillah dan kerabatnya
Tindakan Raja Ja'afar melantik Sultan Abdul Rahman mendapat tentangan daripada adiknya sendiri, Raja Hamidah atau Engku Puteri, isteri Almarhum Sultan Mahmud Shah III dan Bendahara Tun Ali, Raja Bendahara Pahang kerana bertentangan dengan adat Melayu Johor.

Makam Raja Ja'afar bersebelahan dengan Makam Raja Ali
Menurut adat Melayu, Tengku Hussain adalah pewaris takhta sebenar kerana baginda putera sulung Sultan dan pelantikan Sultan Abdul Rahman tidak sah kerana tidak diiringi alat kebesaran diraja yang berada di dalam simpanan Raja Hamidah.

Tindakan Raja Ja'afar telah menyebabkan akibat buruk kepada Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang kerana selepas pelantikan Sultan Abdul Rahman, pembesar Melayu Johor telah berpecah belah. Ini menyebabkan British yang sedang mencari pangkalan di selatan Selat Melaka mendapat peluang masuk campur dalam urusan negeri Melayu.

British telah melantik Tengku Hussain sebagai Sultan Singapura dan Johor pada tahun 1818 dan menyebabkan Kesultanan Johor diperintah oleh dua orang Sultan.

Kesultanan Johor-Riau telah terpecah dua apabila Perjanjian Inggeris-Belanda yang ditandatangani pada tahun 1824 membahagikan Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang kepada Kesultanan Singapura-Johor yang berada di bawah pengaruh Inggeris dan Kesultanan Riau-Lingga yang berada di bawah naungan Belanda.

Sultan Johor-Riau ke-17, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah menjadi Sultan pertama Kesultanan Lingga-Riau.

Raja Ja'afar mangkat pada tahun 1831 di Daik, Lingga dan dimakamkan di sana berhampiran istana Sultan Lingga dan Masjid Lingga.


Raja Abdul Rahman Ibni Raja Ja’afar Yang Dipertuan Muda Riau Ke-7

Raja Abdul Rahman ialah Yang Dipertuan Muda Riau ke-7. Dilantik pada tahun 1831 menggantikan ayahandanya, Raja Ja'afar Ibni Raja Haji oleh Sultan Muhammad Shah. Bermula daripada baginda, semua Yang Dipertuan Muda selepas baginda ialah keturunan Daeng Chelak, Yang Dipertuan Muda II.

Makam Raja Abdul Rahman Ibni Raja Ja'afar
Pada zaman pentadbiran baginda, lanun-lanun sangat berleluasa tetapi berjaya dihapuskan secara berperingkat-peringkat dengan bantuan pihak Belanda.

Makam Raja Abdul Rahman

Baginda mangkat di Pulau Penyengat dan dimakamkan di sana juga pada tahun 1844.

Raja Ali Ibni Raja Jaafar Yang Dipertuan Muda Riau Ke-8

Raja Ali Ibni Raja Ja'afar menjadi Yang Dipertuan Muda Riau ke-8 pada tahun 1844 berikutan kemangkatan saudaranya, Raja Abdul Rahman, Yang Dipertuan Muda ke-7.

Pada zaman baginda memerintah, Riau khususnya Pulau Penyengat yang merupakan pulau kediaman Yang Dipertuan Muda menjadi pusat pendidikan agama Islam yang terkenal pada abad ke-19. Raja Ali sendiri ialah seorang raja yang sangat mengambil berat tentang hal ehwal agama Islam.

Baginda telah membina banyak pusat pendidikan Islam dan menjemput para ulama supaya mengajar di Riau. Baginda juga sering meminta nasihat daripada sepupu-sepupu baginda yang mahir dalam ilmu agama terutama Raja Ali Haji, putera Raja Haji Ahmad ibni Raja Haji.

Baginda juga melarang rakyatnya bermain judi dan meminum arak serta mengharamkan segala muzik yang melalaikan. Baginda menjalankan undang-undang syariah dan mewajibkan pemakaian tudung dan menghukum mereka yang melalaikan solat terutama Solat Jumaat.

Malah baginda juga sering berkunjung ke rumah para pembesar dan rakyatnya untuk bertanyakan keperluan mereka.

Sikap baginda yang ramah tanpa mengenal batas umur, pangkat dan agama membuatkan baginda disenangi bukan sahaja oleh rakyat jelata malah juga para pedagang sehingga Riau semakin ramai dikunjungi oleh peniaga-peniaga asing.

Orang Belanda juga menyukai Raja Ali kerana sikap sopan dan ramahnya sehingga Belanda menghantar doktor untuk merawat Raja Ali ketika baginda sedang gering.

Baginda Raja Ali mangkat pada tahun 1857 di Pulau Penyengat dan dimakamkan di sana.


Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau Ke-9

Raja Haji Abdullah ialah Yang Dipertuan Muda ke-9 yang dilantik menggantikan saudaranya, Raja Ali bin Raja Jaafar pada tahun 1857. Putera baginda, Raja Muhammad Yusuf menjadi Yang Dipertuan Muda selepas kemangkatan baginda dan cucunya pula dilantik sebagai Sultan Lingga-Riau bergelar Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah.


Baginda mangkat di Pulau Penyengat pada tahun 1858 dan digelar Marhum Murshid kerana peranannya dalam tarekat Nasyabandiyah.


Raja Muhammad Yusuf Ibni Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau Ke-10

Raja Muhammad Yusuf ialah Yang Dipertuan Muda Riau ke-10 (1858-1899), cucu Raja Jaafar, Yang Dipertuan Muda VI. Beliau dilantik oleh Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, Sultan Lingga-Riau. Beliau dilantik selepas kemangkatan bapanya, Raja Haji Abdullah, Yang Dipertuan Muda ke-9.

Raja Muhammad Yusuf Ibni Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau Ke-10 (X)
Baginda dianggap sebagai Yang Dipertuan Muda terakhir kerana selepas kemangkatan baginda, jawatan tersebut telah disatukan dengan jawatan sultan oleh putera baginda dengan Tengku Ambung, puteri Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah iaitu Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah, Yang Dipertuan Muda ke-11 sehingga tahun 1911 apabila baginda diturunkan takhta dan Riau-Lingga menjadi jajahan Belanda pada tahun 1913.

Baginda mangkat di Pulau Penyengat pada tahun 1899 dan dimakamkan berhampiran Masjid Raya Pulau Penyengat.


Raja Haji Pahlawan Teragung Nusantara

Raja Haji-Yang Dipertuan Muda Riau IV-adalah pahlawan Melayu yang amat termashur. Beliau berperang melawan penjajah Belanda sejak berusia muda sampai akhir hayatnya dalam peperangan hebat di Tetuk Ketapang tahun 1784.


Pihak Belanda bahkan menganggap bahawa perang yang dipimpin Raja Haji adalah peperangan yang cukup besar dan sempat menggoncangkan kedudukan Belanda di Nusantara. Karena kepahlawanannya itulah, Raja Haji diagungkan masyarakat Melayu, disebut dengan gelaran Raja Haji Fisabilillah Marhum Teluk Ketapang..

Raja Haji bin Upu Daeng Celak terkorban kerana melawan penjajah Belanda. Saya berpendapat bahawa Raja Haji ialah pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat semacam Hang Tuah memandangkan daerah operasinya di daratan dan maritim yang amat luas. Raja Haji inilah yang menjadi topik perbicaraan dalam artikel ini.

Daripada sebelah ayahnya, Raja Haji berasal daripada keturunan raja-raja di tanah Bugis, negeri Luwuk. Di sebelah ibunya pula berasal daripada keturunan raja-raja Melayu. Raja Haji lahir di Kota Lama, di Hulu Sungai Riau, pada tahun 1139 H/1727 M dan wafat pada hari Rabu di Teluk Ketapang, Melaka, 19 Rejab 1198 H/8 Jun 1784 M.


Hubungan dengan ulama

Raja Haji walaupun bukan seorang ulama, namun dibicarakan juga dalam ruangan ini, disebabkan beberapa faktor. Pertama adalah kerana beliau sempat bergaul dengan beberapa orang ulama. Dipercayai beliau sempat berjumpa dengan Saiyid Husein al-Qadri di Mempawah, iaitu guru ayah saudaranya Upu Daeng Menambon.

Putera Upu Daeng Menambon bernama Gusti Jamiril ini mendapat pendidikan Islam yang padu. Gusti Jamiril adalah saudara sepupu Raja Haji, kedua-duanya sempat bergaul. Dengan demikian tata cara pergaulan Islam, sekali gus amalan keilmuan saudara sepupunya itu, berpengaruh terhadap Raja Haji.

Dalam masa yang sama Raja Haji dan Gusti Jamiril sempat belajar kepada Syeikh Ali bin Faqih yang berasal dari Patani. Beliau ini ialah Mufti Mempawah yang kedua, menggantikan Saiyid Husein al-Qadri. Makam beliau disebut ‘Keramat Pokok Sena’ terletak di Perkuburan Kampung Pedalaman Mempawah.

Hubungan Raja Haji dengan Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Husein al-Qadri, Sultan Pontianak yang pertama juga sangat dekat. Saiyid Abdur Rahman al-Qadri ialah suami Utin Cenderamidi bin Upu Daeng Menambon. Faktor kedua, daripada keturunan Raja Haji ramai yang menjadi ulama di antaranya Raja Ali Haji (cucu beliau) yang sangat terkenal itu. Keturunan beliau yang turut menjadi ulama ialah Raja Haji Umar bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji dan lain-lain.


Gelaran yang disandang

Raja Haji menyandang pelbagai gelaran yang diberikan antaranya ialah Engku Kelana (1747M – 1777M), Pangeran Sutawijaya, Yang Dipertuan Muda Riau-Johor IV (1777M – 1784M), Raja Api, Marhum Teluk Ketapang, Marhum Asy-Syahid fisabilillah. Yang terakhir, secara rasmi atas nama sebuah pemerintahan, Raja Haji dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional Indonesia memperoleh Bintang Mahaputera Adipradana oleh Presiden Republik Indonesia di Jakarta pada 11 Ogos 1997.

Tahun 1756M – 1758M Raja Haji bersama sepupunya Daeng Kemboja memimpin Perang Linggi melawan Belanda. Perang Linggi melibatkan pasukan-pasukan Melayu yang berasal dari Linggi, Rembau, Klang, Selangor dan Siak.

Sewaktu Syarif ‘Abdur Rahman al-Qadri memerangi Sanggau, Raja Haji ialah sebagai Pahlawan Perang. Perang berlaku pada 26 Muharam 1192H/24 Februari 1778 M sehingga 11 Safar 1192H/11 Mac 1778 M. Raja Haji pula melantik Syarif Abdur Rahman al-Qadri sebagai sultan yang pertama Kerajaan Pontianak sekali gus Raja Haji menyusun kerangka pentadbiran kerajaan itu.

Raja Haji merupakan satu-satunya pahlawan Nusantara yang pernah menjejak kakinya hampir ke seluruh negeri-negeri Melayu. Di antaranya Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Muntok/Bangka, Pontianak, Mempawah dan lain-lain.

Jika kita bandingkan dengan semua pahlawan di Nusantara, seumpama Pangeran Diponegoro, Imam Bonjol, dan lain-lain, mereka hanya beroperasi di daratan saja dan tidak mengalami perang maritim. Jika kita bandingkan dengan Sultan Hasanuddin, beliau ialah seorang pahlawan maritim saja, tidak banyak pengalaman dalam peperangan di daratan. Kalau ada hanyalah sekitar Sulawesi Selatan.

Kalau kita banding dari segi yang lain pula, bukan bererti memperkecil-kecilkan pejuang yang lain, tetapi sejarah mencatatkan bahawa ramai pejuang ada yang menyerah kepada penjajah. Ada yang tertangkap kerana ditipu secara licik dan lain-lain. Semua yang tersebut berbeza dengan Raja Haji. Beliau lebih rela mati di medan juang daripada menyerah ataupun tertipu oleh pihak musuh.

Pada 18 Jun 1784 M Raja Haji terbunuh sebagai syahid fisabilillah dalam peperangan melawan Belanda pimpinan Jacob Pieter van Braam di Melaka. Pasukan Melayu yang tewas bersama Raja Haji dianggarkan sekitar 500 orang. Sebagaimana pada mukadimah yang telah saya nyatakan, “… Raja Haji bin Upu Daeng Celak merupakan pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat sesudah Hang Tuah….”

Walau bagaimanapun, haruslah kita sedar bahawa kisah Hang Tuah lebih bercorak mitos. Berbeza dengan Raja Haji. Kisah beliau tercatat sebagai sejarah yang dibuktikan dengan data dan fakta yang tidak dapat ditolak. Oleh itu jika ditinjau dari segi sejarah bererti ‘Raja Haji pahlawan dunia Melayu yang terbesar dan terhebat, bukan Hang Tuah.’


Kejadian aneh

Raja Ali Haji dalam Tuhfat an-Nafis meriwayatkan kejadian aneh terhadap jenazah Raja Haji setelah mangkat dalam keadaan syahid fisabilillah seperti berikut, “Syahdan adalah aku dapat khabar daripada itu daripada orang tua-tua yang mutawatir, adalah sebelum lagi ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji, al-Marhum itu, maka ditaruhnya di dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal akan membawa jenazah al-Marhum itu.

Maka menantikan keesokan harinya sahaja, maka pada malam itu keluar memancar ke atas seperti api daripada peti jenazah al-Marhum Raja Haji itu. Maka gaduhlah orang Melaka itu melihatkan hal yang demikian itu. Di dalam tengah bergaduh itu kapal yang akan membawa jenazah al-Marhum itu pun meletup, terbakar, terbang ke udara segala isinya serta orang-orangnya. Seorang pun tiada yang lepas.

“Syahdan kata qaul yang mutawatir, tiadalah jadi dibawa jenazah al-Marhum itu pindah ke negeri yang lain. Maka ditanamkan jua di Melaka itu, hingga datang diambil dari negeri Riau adanya. Dan kata setengah qaul yang mutawatir sebab itulah digelar oleh Holanda yang dahulu-dahulu dengan nama Raja Api adanya….” (Tuhfat an-Nafis, Naskhah Terengganu, hlm. 151)

Pada pandangan saya riwayat di atas mencerminkan kemuliaan seseorang yang wafat dalam syahid fisabilillah kerana berjuang untuk kepentingan agama Islam atau memperjuangkan bangsanya, iaitu bangsa Melayu yang dicintainya. Perjuangan demikian mencerminkan kerana patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu tulisan Abdullah Munsyi dalam buku Hikayat Abdullah yang mengatakan bahawa mayat Raja Haji ditanam tempat kandang babi perlu dipertikaikan dan dibahas secara ilmiah.

Tulisan Abdullah Munsyi selengkapnya sebagai berikut, “Sebermula di balik kebun kompeni itulah ditanamkan Raja Haji. Iaitu seorang Raja Melayu yang berkuasa adanya. Asalnya iaitu keturunan Bugis. Maka isterinya bernama Ratu Emas. Maka ialah yang telah datang memerangi Melaka pada zaman Holanda – maka adalah daripada zaman itu sampai masa ini (maksudnya hingga masa Abdullah Munsyi menulis hikayatnya, pen:) kira-kira lebih sedikit daripada 60 tahun – maka hampir-hampir dapat Melaka olehnya.

Maka berkeliling jajahan Melaka dan kampung-kampung semuanya sudah didapatnya melainkan tinggallah Melaka bulat-bulat sahaja yang belum didapatnya. Maka pada masa itu segala bangsa yang ada di dalam Melaka masuk perang melawan Holanda daripada Melayu, Keling, Cina, Serani masing-masing ada dengan kapitannya dan kepala perangnya. Maka adalah beberapa tahun diperanginya lalu matilah Raja Haji itu dimakan peluru di Tanjung Palas nama tempatnya.

Kemudian diambil Holanda mayatnya itu ditanamkan di balik kebun yang tersebut itu. Ada pun khabarnya yang kudengar, tempat itu kandang babi. Kemudian ada kira-kira 20, 30 tahun di belakang datanglah anak buah-anak buah Raja Haji itu dari Lingga dan Riau ke Melaka meminta izin kepada raja Inggeris hendak dipindahkannya kubur itu ke Riau. Maka diberikanlah izin. Lalu dibawanyalah pergi….” (Hikayat Abdullah, hlm. 57 – 58)

Riwayat Abdullah Munsyi tentang Raja Haji ditanam di kandang babi adalah sukar diterima disebabkan: Pertama, jauh berbeza dengan yang ditulis oleh Raja Ali Haji seperti tersebut di atas. Kedua, orang yang wafat keadaannya syahid fisabilillah adalah dimuliakan oleh Allah s.w.t..

Dalam al-Quran disebutkan bahawa “orang-orang yang mati syahid adalah tidak mati, dalam kubur mereka diberi rezeki.” Dalam hadis Nabi s.a.w. pula sangat banyak menyebutkan kelebihan orang yang mati syahid. Pandangan saya ini bukan bererti menuduh Abdullah Munsyi telah melakukan pembohongan dalam tulisannya, kerana beliau sendiri menyebut pada awal kalimatnya, “Ada pun khabarnya yang kudengar”.

Oleh itu pelbagai andaian boleh dibuat. Yang pertama, boleh jadi khabar yang didengar itu sengaja diproses oleh pembohong-pembohong daripada kalangan penguasa penjajah ketika itu untuk menghapuskan kebangkitan jihad orang-orang Melayu Islam yang tidak suka negerinya dijajah oleh golongan yang bukan Islam. Kedua, kemungkinan tekanan kuasa penjajah memaksa supaya Abdullah Munsyi menulis sedemikian. Oleh itu kita perlu berfikir dan teliti setiap kalimat dan perkataan yang ditulisnya.

Selain itu jika kita berfikir secara kritis dan membuat analisis secara bebas, khusus pada konteks di atas, memang banyak kalimat ataupun perkataan demi perkataan Abdullah Munsyi mengandung unsur-unsur politik yang menguntungkan pihak penjajah pada zamannya.

Sebagai contoh, walaupun Abdullah Munsyi mengakui bahawa Raja Haji adalah seorang Raja Melayu, namun pada sambungan kalimat Abdullah Munsyi menyebut pula bahawa asal Raja Haji adalah keturunan Bugis. Kenapa Abdullah Munsyi tidak menyebut Raja Haji dari sebelah ibunya adalah keturunan Melayu. Di sini dapat diduga, jika disebut Raja Haji orang Melayu semangat orang Melayu untuk berpihak kepada Raja Haji sukar dipadamkan.
 


Wasiat Raja Haji Fisabilillah kepada Umat MELAYU

Ketahuilah olehmu wahai umat Melayu, peperangan ini bukanlah peperangan orang-orang Bugis. Tetapi ini adalah peperangan untuk mengembalikan maruah dan kehormatan sekalian diri orang-orang Melayu yang telah dipijak-pijak oleh penjajah Belanda laknatullah. Akan tetapi Belanda itu telah mencanangkan bahawa aku dan sekalian orang Bugis tidak berpuas hati dengan pengagihan hasil rampasan tembakau dari Kapal Betsy kepunyaan Perancis yang menceroboh Selat Melaka itu. 

Adapun kita adalah orang-orang Melayu yang beriman kepada Allah Taala juga menyakini bahawa peristiwa itu hanyalah asbab yang telah menyatukan orang-orang Melayu dari Teluk Ketapang, Selangor, Rembau dan dari Batang Tiga untuk menghambat Belanda keluar dari Punggor, Duyung, Pernu, Semabok, Ujung Pasir, Bunga Raya, Bandar Hilir, Bukit Cina, Tanjung Keling dan Tengkera sebelum kita berkubu di Teluk Ketapang. Orang Serani, Cina dan India turut bergabung dengan kita dalam peperangan ini. Kini Gabenor Belanda menjadi seperti tikus dikejar naga berkubu di Kota Melaka. Ke hilir kena kutuk sultan, ke mudik kena kutuk raja.

Yakni dengan kata lain, peperangan ini adalah untuk mengembalikan tanah, udara, air dan laut yang telah dirampas oleh penjajah kepada orang-orang Melayu yang sudah beratus tahun membina kehidupan, membina kota dan pelabuhan di tanah air ini. Jikalau terdapat satu pun kampung, daerah, kota dan pelabuhan yang terbakar dan ditawan oleh penjajah, maka seluruh orang Melayu di seluruh kampung, daerah, kota dan pelabuhan wajiblah bangun menentang dan menghalau mereka. Sesungguhnya orang-orang Melayu itu bersaudara dan kita tidak akan kalah dalam mana-mana peperangan pun, jika kita bersatu padu di jalan Allah.

Syahadan untuk kita bersatu di jalan Allah bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia bagai mengepal pasir yang kering. Syaitan adalah musuh yang nyata sama ada yang terang-terang terlihat pada mata kasar mahupun yang berselindung di sebalik hati manusia. Terbukti kebenaran wahyu sejak kakiku berjejak di Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Bangka, Pontianak, Mempawah dan negeri-negeri Melayu yang lain.

Telah bersungguh-sungguh aku membantu meleraikan persengketaan yang berlaku sesama sendiri dan mematahkan muslihat penjajah laknatullah. Mana dapat dibuat damai, maka damailah yang kumeterai. Mana yang berkehendakkan peperangan, maka peperanganlah yang kupimpin kerana sudah dua ratus tahun lebih kita masih dijajah bahana berebutkan kuasa yang tidak habis-habisnya, saling berhasad dengki dan bersubahat dengan musuh. Yang ruginya rakyat jelata. Tanah diambil, hasil diperas dan tubuh diperhamba.

Maka pada hari ini, tanggal 19 Rejab 1198 Hijrah bersamaan dengan 17 Jun 1784, di Tanjung Palas Teluk Ketapang inilah warkah yang tertulis. Warkah ini kutulis di atas sejadah, mengadap kiblat dalam keadaan berwuduk setelah selesai solat dan doa panjang untuk sekalian umat Melayu. Al-Quran di sebelah kananku. Kitab Dalilul Khairat di sebelah kiriku. Badik pusaka di pinggangku.

Sungguhpun demikian, aku amat menyedari bahawa terdapat di kalangan armada perang Melayu yang aku satukan dan pimpin ini terdapat golongan Melayu yang menjadi musuh dalam selimut. Berwajah Melayu berhati Belanda. Usahlah ditanya bagaimana aku mengetahuinya kerana tahu di angin turun naiknya. Apabila Allah mengkehendaki terjadi sesuatu perkara, maka tiadalah siapapun yang dapat mengelakkannya.

Biarkan sahaja mereka menyelinap ke dalam kubu kami dan mengepung aku. Syak fasik, yakin salih; batulah yang jadi juadah! Nah, wahai si munafik! Aku sesekali tidak pernah takut kepada kalian. Marilah kita berdepan sebagai seorang lelaki Melayu yang sejati! Engkau kendonglah panji perjuanganmu. Aku junjung panji perjuanganku! Nyawa kita di tangan Allah. Matiku di medan perang ini, tandanya sentiasalah aku hidup di sisi Allah Taala. Matimu di medan perang ini, tandanya celakalah engkau di akhirat kelak.

Seyogia, ketahuilah saudaraku. Walau apapun yang terjadi kepadaku janganlah dimungkirkan kafiat jalanku ini kerana ia akan hanya mengulangi kekhilafan malaikat apabila Allah menyatakan kehendak-Nya mahu menciptakan manusia untuk dijadikan khalifah di atas muka bumi yang akan ada di kalangan manusia saling menumpahkan darah.

Janganlah kita lupa pengakuan azali kita di depan Allah. Janganlah kita melupai ilmu yang Allah ajarkan secara langsung daripada sisi-Nya kepada kita. Kerana dengan itulah kita, manusia ini, dibangga-banggakan Allah di hadapan para malaikat-Nya, kata Allah ‘Sudah kunyatakan bahawa aku lebih mengetahui daripada apa yang kamu tahu.’

Allah Maha Besar!

Andai aku mati di medan perang ini akan berlanjutan fitnah demi fitnah yang tidak habis-habis, menghujani orang-orang Melayu di sepanjang sejarah akan datang. Manusia Melayu munafik, pengkhianat, pendengki dan petualang akan sentiasa muncul di kalangan kalian sebagai semut hitam yang melata di atas batu hitam pada waktu malam, tanpa bulan dan bintang.
Akan ada di kalangan kalian, Melayulah juga ia, yang akan menyambung lidah Belanda menuduh aku berjuang dan berperang kerana mabukkan harta dan kuasa. Sesungguhnya moyang poyangku para Opu Daeng Lima Bersaudara bukanlah mahu disanjung-sanjung dan dimegah-megah. Memadailah kukatakan apa yang kami inginkan ialah bangsa kita umat Melayu ini hidup bermaruah dan mempunyai kehormatan diri.

Maka Maha Adillah Allah Taala sebagaimana terdapat golongan yang munafik dan petualang bangsa, akan ada golongan di kalangan umat Melayu sesudah kami ini yang akan menyambung perjuangan kami. Mereka menyambut panji perjuangan kami dengan penuh harga diri. Dalam hati merekalah aku hidup dan menjadi cita-cita mereka pula mati kerana berjuang. Semangat mereka menyerupai kami, walaupun bilangan mereka tidaklah seramai golongan munafik dan petualang.

Mereka berani mati sehinggalah si petualang bangkit daripada sujud tatkala imam dan jemaah masih bersujud, lalu ditancamkan pisau di belakang antara mereka. Maka sesekali tidak mengundang gundah kerana apabila sudah datang janji Allah, maka syahid lah dia. Jika yang ditikam itu masih terus hidup, maka dia akan menjadi saksi kepetualangan si munafik tersebut, lalu mudahlah dicam dan diberkas seketika itu juga. Maha Besar Allah Yang Awal dan Yang Akhir.

Ketahuilah wahai saudaraku. Bahawasanya umat Melayu tidak akan sesekali ghaib daripada muka bumi ini yang Allah telah takdirkan gunung, dataran, sungai, kuala, selat dan lautan untuknya. Semuanya akan diwariskan Allah kepada raja yang adil lagi saksama dan pembesar yang mukmin dan mukminat untuk memerintah. Maka Allah mengurniakan rahmat dan berkat daripada tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan semua penduduk bumi dan langit mendoakan kesejahteraan bagi segenap isi negeri.

Sesungguhnya akan tibalah pada hari dan zaman itu orang-orang Melayu semuanya akan bersatu dan sanggup mati di jalan Allah. Mereka bersedia berperang dengan musuh daripada belahan dunia mana sekalipun. Kota-kota mereka terbina daripada peradaban ilmu yang dihiasi dengan mutiara kebijaksanaan. Ulama dan cendikiawan diterima sebagai penasihat ulil amri. Para ahli sufi terbebas daripada fitnah ajaran sesat dan batil. Rakyatnya cukup makan dan untung berniaga, tanpa ada penindasan dan perampasan. Kaum-kaum lain mendapat naungan dan jaminan keadilan sehingga taat dan setia mereka tidak berbelah bahagi lagi. Zaman makmur itu akan tiba juga apabila hak-hak Allah dipenuhi. Hak-hak rakyat dilaksanakan. Peraturan-peraturan mereka ditimbang dengan syariat dan disukat dengan adat.

Syahadan, ketahuilah olehmu wahai saudaraku. Ingatlah bahawa ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk dan duri yang akan mengait. Justeru tetapkanlah waspada sebagai pengawal di pintu gerbang zaman makmur. Bulan terang paksa baik: payang ke laut, baluk pun ke laut juga. Runtuhnya zaman makmur kerajaan Melayu sebelum ini adalah kerana raja dan pembesarnya sudah ada biduk, tetapi serempu pula. Lalu timbullah perebutan, hasad, iri hati dan sengketa. Kalau rakyatnya pula suka menuntut piutang lapuk. Ditelan kemewahan dilambung mabuk. Ada juga yang menjadi seperti itik bertaji. Tandanya, keris tersisip di dinding, pedang tajam dalam sarungnya sahaja.

Musuh yang nyata disetiakawankan. Manakala sesama sendiri sanggup ‘berjuang’ hingga memancung leher. Kesudahan mereka adalah dengan suul khatimah kerana lekat pada ingatan mereka akan harta dan kuasa yang terlepas daripada tangan. Dipamerkan pula tempatnya di neraka jahanam, wa nauzubillah. Itulah jihad di jalan syaitan adanya. Benarlah, ujian-ujian daripada Allah turun bersama-sama zaman makmur.

Maka jika kita alpa dan lalai diri dengan melakukan kegiatan dan perbuatan yang dilarang Allah, maka tunggulah bala bencana daripada tujuh petala bumi dan tujuh petala langit bertali arus menimpa umat Melayu itu. Ya Allah menitis pula air mataku. Ketahuilah bahawa aku tidak pernah menitiskan air mata sebagai seorang lelaki Melayu berhati kecut. Tetapi air mataku ini mengalir apabila memikirkan anak cucu cicit yang terkemudian hari. Apalah pula ujian dan balanya; apalah pula sengketanya; apalah pula pengkhianatannya; apalah pula penyelewengannya dan apalah pula kesudahannya.

Segala ribut badai perasaanku menyatu bersama ingatan terhadap junjungan nabi kita ketika saat-saat sakaratulmaut menjelang, telah terucap di mulutnya yang mulia ‘umatku, umatku, umatku!’ Aduhai Nabi kekasih Allah! Ingatlah pada zaman manapun kalian berada sentiasalah berselawat ke atas nabi dan beramal dengan sunnah-sunnahnya kerana itulah penyelamat agung penyedar daripada alpa dan lalai, pengikis sifat munafik dan menghidupkan jiwa.

Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada awalnya
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad. pada akhirnya.
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada setiap ketika.

Tatkala sampai di baris ini, aku sedang melihat berpuluh kapal perang armada Belanda pimpinan Peter van Braam dari Betawi itu, sudahpun tiba di pantai. Demi Allah, yang hidup dan matiku hanyalah di tangan-Nya, sedikitpun aku tidak berasa gentar, apatah lagi untuk berundur walau seinci pun ke belakang kerana kuyakini Allah sentiasalah ada bersamaku dengan panji janji-Nya dan panji kebenaran-Nya. Biarlah luka di dada jangan luka di belakang.

Rencana si munafik itu sampailah ke kemuncaknya apabila mereka dapat masuk menyelinap ke dalam kubuku, merampas pemurasku yang disandarkan ke dinding, maka ketika itu sampailah ilham daripada Allah kepadaku. Bahawa aku kini hanya ada sebilah badik tersisip di pinggang dan hijap yang terangkat antara aku dengan Tuhanku. Seraya langsung aku memanjatkan doa, “Ya Allah sesungguhnya aku telah dizalimi dan dikhianati. Aku bentangkan ke hadrat-Mu seluruh pengharapan-Mu dengan segala fakir dan hina diriku, Engkau jadikanlah warkahku ini terhijab daripada pandangan mata setiap munafik dan musuh-musuhku serta Engkau peliharakanlah warkahku ini hingga sampai ke hujung zaman agar dapat dibaca dan ditilik oleh anak cucu cicit kami pada kemudian hari.

“Ya Allah. Tidak sampai hati mahu ku pinta celaka untuk segolongan Melayu yang bersubahat dengan penjajah itu. Ya Allah jadikanlah anak cucu cicit kami di kemudian hari berjuang dan berperang dengan lebih berani dan gagah di jalan-Mu. Ya Allah tempat aku juga di sisi kekasih-Mu, Rasulullah yang aku rindui dan cintai segenap hatiku sekiranya aku gugur di jalan-Mu Ya Allah. Sungguh Engkau Maha Mengabulkan doa.”

Tatkala itu munafik-munafik itu mahu menangkap aku yang masih bertimpuh di atas sejadah. Namun demikian dengan kuasa Allah Taala segala sendi pada tubuh mereka, terkunci kaku seperti patung adanya. Maka bingkaslah aku daripada duduk lalu aku pandang satu persatu wajah-wajah Melayu munafik itu. Benarlah, peluru perak pemecah kubu yang kuat. Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang. Tiada gunanya lagi kata-kata kerana perut tidak bertelinga. Sesudah itu berjalanlah aku menuju ke muka kubu dan tersergamlah kapal perang penjajah laknatullah itu pada pandanganku. Inilah Raja Haji yang kalian cari-cari. Syarak yang mengata, adat yang memaksa. Dengan badik di tangan kanan dan Dalilul Khairat di tangan kiri, lidahku berwiridkan selawat.

Bammm!!!

Bunyi bedilan sebuah meriam daripada salah sebuah kapal Belanda yang muncungnya dihala ke batang tubuhku, bergema ke udara. Ah! Sungguh beruntung pengkhianat itu kerana dapat menyaksikan lagi kuasa Allah apabila peluru lela rentaka meletup di dalam lubangnya sendiri, lalu terpelantinglah askar Belanda berselerak di atas kapal dan sebahagiannya pula jatuh ke dalam laut. Beranak pinaklah pula bunga-bunga api membakar kapal perang itu. Panglima Perang Belanda Peter van Braam nyatalah amatlah terkejut adanya. Bertambah maraklah lagi semangat jihad yang menjulang-julang dalam dada pejuang-pejuang Melayu. Bertambah amuklah mereka hingga berkecamuk barisan penembak pasukan askar Belanda itu.

Lantas bertafakurlah aku apabila melihat keadaan itu. Aku berserah sepenuhnya kepada Allah untuk menetapkan apa jua keputusan-Nya. Beberapa ketika kemudian dapatlah aku ilham daripada-Nya seraya aku bermohon, “Ya Allah aku berserah kepada-Mu seluruh jiwa dan ragaku. Aku rela syahid Ya Allah di jalan-Mu, daripada kehormatanku dan kehormatan umat Melayu ini dipijak-pijak oleh penjajah laknat ini setelah ditipudayakan oleh petualang daripada bangsa kami sendiri.” Arakian Panglima Perang Belanda itu sendiri segera menyalakan sumbu ubat bedil merim lela rentaka yang muncungnya dihalakan tepat ke dadaku.

Bammm!!! 

Maka sampailah janji Allah. Mencurahlah darah daripada dadaku. Jasadku rebah ke tanah. Tiada Tuhan Melainkan Allah. Maka terpinga-pingalah para munafik dan petualang apabila melihat askar penjajah memijak-mijak batang tubuhku, membakar al-Quran dan Dalilul Khairat. Badikku pula dilemparkan ke dalam laut. Pecahlah kapi, putuslah suai. Datanglah masyghulku, tetapi seketika itu juga difahamkan Allah kepadaku bahawa itulah tanda-tanda doaku yang telah dimakbulkan Allah.

Raja Ali Haji
GURINDAM DUA BELAS
karya: Raja Ali Haji

Satu

Ini Gurindam pasal yang pertama:

Barang siapa tiada memegang agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
Maka ia itulah orang yang ma’rifat
Barang siapa mengenal Allah,
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,
Tahulah ia barang yang teperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
Tahulah ia dunia mudarat.

Dua

Ini Gurindam pasal yang kedua:

Barang siapa mengenal yang tersebut,
Tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
Seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
Tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa meninggalkan zakat,
Tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
Tiadalah ia menyempurnakan janji.

Tiga

Ini Gurindam pasal yang ketiga:

Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadaiah damping.
Apabila terpelihara lidah,
Niscaya dapat daripadanya paedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
Daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fi’il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjaian yang membawa rugi.

Empat

Ini Gurindam pasal yang keempat:

Hati itu kerajaan di daiam tubuh,
Jikalau zalim segala anggotapun rubuh.
Apabila dengki sudah bertanah,
Datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,
Di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
Nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong,
Boleh diumpamakan mulutnya itu pekung.
Tanda orang yang amat celaka,
Aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah,
Itulah perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar,
Janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor,
Mulutnya itu umpama ketor.
Di mana tahu salah diri,
Jika tidak orang lain yang berperi.

Lima

Ini Gurindam pasal yang kelima:

Jika hendak mengenai orang berbangsa,
Lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
Sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,
Lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
Bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal,
Di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
Lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.

Enam

Ini Gurindam pasal yang keenam:

Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh dimenyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan ‘abdi,
Yang ada baik sedikit budi,

Tujuh

Ini Gurindam pasal yang ketujuh:

Apabila banyak berkata-kata,
Di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
Itulah landa hampirkan duka.
Apabila kita kurang siasat,
Itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
Itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
Sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,
Menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,
Membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,
Lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,
Lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,
Tidak boleh orang berbuat honar.

Delapan

Ini Gurindam pasal yang kedelapan:

Barang siapa khianat akan dirinya,
Apalagi kepada lainnya.
Kepada dirinya ia aniaya,
Orang itu jangan engkau percaya.
Lidah yang suka membenarkan dirinya,
Daripada yang lain dapat kesalahannya.
Daripada memuji diri hendaklah sabar,
Biar dan pada orang datangnya khabar.
Orang yang suka menampakkan jasa,
Setengah daripada syirik mengaku kuasa.
Kejahatan diri sembunyikan,
Kebaikan diri diamkan.
Keaiban orang jangan dibuka,
Keaiban diri hendaklah sangka.

Sembilan

Ini Gurindam pasal yang kesembilan:

Tahu pekerjaan tak baik, tetapi dikerjakan,
Bukannya manusia yaituiah syaitan.
Kejahatan seorang perempuan tua,
Itulah iblis punya penggawa.
Kepada segaia hamba-hamba raja,
Di situlah syaitan tempatnya manja.
Kebanyakan orang yang muda-muda,
Di situlah syaitan tempat bergoda.
Perkumpulan laki-laki dengan perempuan,
Di situlah syaitan punya jamuan.
Adapun orang tua yang hemat,
Syaitan tak suka membuat sahabat
Jika orang muda kuat berguru,
Dengan syaitan jadi berseteru.

Sepuluh

Ini Gurindam pasal yang kesepuluh:

Dengan bapa jangan durhaka,
Supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat,
Supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai,
Supaya boleh naik ke tengah balai.
Dengan kawan hendaklah adil,
Supaya tangannya jadi kapil.

Sebelas

Ini Gurindam pasal yang kesebelas:

Hendaklah berjasa,
Kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala,
Buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,
Buanglah khianat.
Hendak marah,
Dahulukan hujjah.
Hendak dimalui,
Jangan memalui.
Hendak ramai,
Murahkan perangai.

Duabelas

Ini Gurindam pasal yang kedua belas:

Raja mufakat dengan menteri,
Seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.
Hukum ‘adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh ‘inayat.
Kasihkan orang yang berilmu,
Tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai,
Tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati,
Itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,
Kepada hati yang tidak buta.


Tamatlah Gurindam yang duabelas pasal yaitu karangan kita Raja Ali Haji pada tahun Hijrah Nabi kita seribu dua ratus enam puluh tiga likur hari bulan Rajab Selasa jam pukul lima, Negeri Riau, Pulau Penyengat.



Keterangan :
Bakhil ; kikir atau pelit
Balai : rumah tempat menanti raja (di antara kediaman raja-raja)
Bachri : hal mengenai lautan (luas)
Berperi : berkata-kata
Cindai : kain sutra yang berbunga-bunga
Damping : dekat, karib, atau akrab
Fi’il : tingkah laku, perbuatan
Hujjah : tanda, bukti, atau alasan
Inayat : pertolongan atau bantuan
Kafill : majikan atau orang yang menanggung kerja
Kasa : kain putih yang halus
Ketor : tempat ludah (ketika makan sirih), peludahan
Ma’rifat : tingkat penyerahan diri kepada Tuhan yang setahap demi setahap sampai pada tingkat keyakinan yang kuat
Menyalah : melakukan kesalahan
Mudarat : sesuatu yang tidak menguntungkan atau tidak berguna
Pekong : (pekung) penyakit kulit yang berbau busuk
Penggawa : kepala pasukan, kepala desa
Perangai : sifat batin manusia yang mempengaruhi segenap pikiran dan perbuatan
Senonoh : perkataan, perbuatan, atau penampilan yang tidak patut (tidak sopan)
Tegah : menghentikan
Teperdaya : tertipu
Termasa : tamasya



COP MOHOR
Cop Mohor yang dikatakan milik Raja Muhammad (Tengku Nong) Ibni Almarhum Raja Abdullah, Yang DiPertuan Muda Riau Ke-9

Cop Mohor yang dikatakan milik Raja Muhammad Tahir Ibni Almarhum Raja Abdullah, Yang DiPertuan Muda Riau Ke-9

Cop Mohor yang dikatakan milik Yang Dipertuan Muda Riau Ke-9, Raja Abdullah Ibni Raja Jaafar Ibni Raja Haji Fisabilillah

Masjid Raya Sultan Riau, Tanjung Penyengat.

Masjid Raya Sultan Riau, Tanjung Penyengat.


Suasana didalam Masjid Raya

Mimbar Masjid Raya
Makam Engku Puteri Raja Hamidah Ibni Raja Haji Fisabilillah
OPemegang Rigala Kertajaan Riau


 


Potret dan gambar Makam Raja Ali Haji Bin Raja Haji Ahmad Riau - Penulis Gurindam 12.




Makam Raja Ali Haji, Pencipta Gurindam Duabelas
Nota :

infoduniaaku ingin memohon maaf jika ada kesilapan tentang penulisan atau maklumat serta gambar-gambar yang dipaparkan. Sila komen atau membuat pembetulan, terima kasih, ikhlas dari infoduniaaku.blogspot.com

No comments:

Post a Comment