Raja Azmi dan Roslin Hashim sewaktu hadir di Pejabat Hal Ehwal Siasatan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ( Jawi ) bagi mendengar keputusan kes khalwat mereka pada 2011. |
SEJAK pembabitannya dalam bidang seni lebih 20 tahun lalu, kebanyakan cerita berkaitan Raja Azmi pasti penuh dengan sensasi. Maka tidak hairanlah kenapa dia digelar 'produser penuh kontroversi'. Menariknya, cerita kontroversi produser ini bukan sekadar dalam bidang seni, malah turut berkait dengan peribadi.
Menyentuh mengenai kontroversi pertama yang dicetus oleh Raja Azmi adalah sejak pembabitan filem Black Widow - Wajah Ayu pada 1994, arahan U-Wei Saari yang menampilkan jaguh badminton negara, Misbun Sidek sebagai peneraju utama selain Hashimah Yon, Zaidi Omar dan Nurul Jasmin.
Cerita asal dan lakon layar filem itu adalah idea Raja Azmi. Kononnya watak, Mas Ayu yang dilakonkan oleh Jasmin adalah karakter dirinya yang mencintai dua orang adik-beradik iaitu Imran dan Jalil.
Ini kerana dalam kehidupan sebenar, penerbit itu pernah mengaku bahawa cinta pertamanya adalah Misbun, namun dia bertemu jodoh dengan Jailani. Sama seperti dalam filem Black Widow, Mas Ayu yang menyintai dua orang adik-beradik itu akhirnya berkahwin dengan Jalil lakonan Mohd. Rodzi iaitu adik kepada Imran yang dilakonkan oleh Misbun Sidek.
Selepas menerbitkan Black Widow, pada 2001, Raja Azmi tampil dengan filem Cinta 200 Ela, arahan Mohammad Shadan Hashim yang diadaptasi daripada novel tulisannya, Cinta 100 Ela yang dikelaskan 18SX.
Ramai yang terkejut apabila dia memilih Shadan sebagai pengarah kerana waktu itu dia masih baru dan ditambah pula Rashid Sidek sebagai hero di samping Raja Azura dan Wardina Saffiyah. Seperti mana Black Widow, filem Cinta 200 Ela pun kurang mendapat sambutan.
Satu lagi produksi Raja Azmi yang mendapat perhatian ramai adalah filem .......Dalam Botol yang asalnya adalah Anu Dalam Botol, arahan Khir Rahman. Filem yang disiarkan di pawagam pada 2011 itu berkisar tentang hubungan Ruby atau Rubidin dan Ghaus yang merupakan pasangan bercinta sejenis. Filem ini dilakonkan oleh Arja Lee, Wan Raja, Diana Danielle dan Ogy Ahmad Daud.
Belum reda dengan judul filem yang dianggap melampau itu, Raja Azmi tampil menguar-uarkan judul filem baru, Anak Ikan yang diarah oleh Shahdan, yang kini telah menjadi menantunya.
Belum apa-apa, pelakon utama filem itu, Adam Davin telah buat hal hingga memaksa Raja Azmi membuat laporan polis. Pada 6 Jun lalu, Raja Azmi mengadakan sidang akhbar untuk menunjukkan laporan polis atas penipuan yang dilakukan oleh Adam terhadapnya.
Sebelum itu pada 29 Mei lalu, masyarakat dikejutkan dengan berita Raja Azmi diragut kira-kira pukul 12.30 malam, berhampiran sebuah hotel dekat Jalan Raja Laut.
Apa pun kontroversi paling hangat yang melanda Raja Azmi selain perceraiannya dengan Jailani adalah kisah dia dengan adik angkatnya, Roslin Hashim yang juga pemain badminton.
Ramai yang 'curiga' apabila melihat Roslin sering menemani Raja Azmi setiap kali produser itu hadir ke majlis rasmi. Malah Raja Azmi juga didakwa menjadi punca perceraian Roslin dengan isterinya, Norhayati Othman.
Mereka didakwa berdua-duaan di Hotel Corus, Jalan Ampang, pada pukul 8.30 malam, 7 Ogos 2010 dan ketika itu jugalah Norhayati tampil bersama dua adiknya dan sewaktu pertengkaran berlaku, Roslin melafazkan cerai terhadap bekas isteri keduanya yang dinikahi selama 28 hari saja.
Pada 20 Ogos 2011, penerbit itu terpaksa bermalam di lokap selepas waran tangkap dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi NcVC terhadapnya kerana gagal hadir di mahkamah sebanyak tiga kali bagi kes saman sivil berhubung penjualan sebidang tanah seluas 14.2 hektar dengan harga RM5.9 juta.
Apa sekalipun keadaannya, tabik hormat buat Raja Azmi, seorang wanita yang cekal berdiri diatas kakinya sendiri disebalik segala isu dan kontroversi. Semoga cintanya kali ini menjadi dan membawa bahagia yang abadi buat seorang Raja Azmi.
No comments:
Post a Comment