Search This Blog

HOME

Tuesday, July 2, 2013

Raja Azmi Dilamun Cinta.



Siapa cakap makcik ni dah tak laku?........... tengok cara pakaiannya pun mungkin ada anak-anak muda yang terpikat apa lagi yang dah berumur, entah-entah terliur........... 

Rasa sakit, kecewa dan derita yang ditanggung, tidak terlalu lama. Genap setahun berpisah dengan suami sebelum ini, Jailani Sidek, hari ini hati wanitanya kembali terisi dengan bunga-bunga cinta. Bagi produser Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, kehadiran Mohd. Eddie Ghazali, 45, sejak lima bulan lalu umpama cahaya yang menerangi kegelapan.

Ternyata kehadiran pemain bass dari kumpulan rock CRK yang terkenal pada awal 90-an itu merobah kehidupan Raja Azmi atau mesra dengan panggilan Kak Mi itu sebanyak 360 darjah.

Diperkenalkan oleh anak saudara pemuzik itu kepadanya pada Februari lalu, Raja Azmi memberitahu kamar hatinya terus terbuka untuk menerima kehadiran seorang lelaki baru dalam hidupnya. Tambah mengejutkan, hanya dalam masa beberapa hari sahaja, dia seterusnya nekad untuk menjadikan lelaki itu sebagai nakhoda rumah tangga.

Menurut penerbit filem ...Dalam Botol itu, pada pertemuan kali pertama sewaktu bertentang mata dengan Eddie, hatinya terus terpaut dan yakin bahawa lelaki itulah yang layak untuk membimbing dan bersamanya dalam susah dan senang.

"Tak tahu nak kata macam mana. Ibarat ada tarikan magnet. Sekali pandang dari mata turun ke hati. Terpandang sahaja Eddie, hati saya tergerak berkata, inilah orangnya, inilah orangnya.

"Pada pertemuan pertama itu juga, saya selesa mendengar perbualannya dan percaya antara kami ada sesuatu yang boleh diperpanjangkan," ceritanya kepada Mega sewaktu berkunjung ke studio Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sepanjang tembu bual dan sesi foto jelas menunjukkan yang Raja Azmi amat bahagia saat ini, kerana kehadirannya ditemani oleh Eddie.

Sewaktu ditanya kenapa begitu pantas dia mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan duda beranak dua itu Raja Azmi berkata: "Keputusan yang dibuat bukan bergantung kepada tempoh waktu cepat atau lambat kami saling mengenali. Tetapi keserasian yang wujud. Biarpun kami baru rapat tetapi sejak pertemuan pertama lagi naluri saya berkata, inilah orangnya.

"Sebelum ini sewaktu saya memberitahu bercinta dengan Hafiz adalah satu kesilapan. Sebenarnya ketika itu saya hanya memerlukan seorang teman untuk meluahkan isi hati yang kecewa selepas bercerai. Tetapi untuk kali ini, memang benar saya dilamun cinta."

Malah katanya, Eddie yang mahir bermain gitar bas itu juga sanggup mendendangkan lagu Cinta Tak Kenal Siapa dendangan Aris Ariwatan untuk ditujukan kepadanya sebagai gambaran isi hatinya.

Bercerita lanjut tentang cinta hatinya, Raja Azmi berkata, sewaktu kemunculan Eddie bersama CRK pada awal 1990-an, dia tidak pernah sedar pun akan kewujudan kumpulan tersebut, selain mengikuti perkembangan kumpulan Wings dan Search.

"Sekarang ini bila sudah mengenali Eddie, saya paling suka dengar lagu CRK Kita Yang Bernama Manusia dan Pandang Pertama. Lirik lagu-lagu itu menarik dan relevan dengan diri saya," ujarnya.

Ditanya kriteria lain selain naluri wanita yang menguatkan dia untuk memilih Eddie sebagai teman hidup, Raja Azmi berkata, yang paling penting status mereka sama iaitu janda dan duda.

Katanya, itu memudahkan mereka untuk berbicara dalam apa jua perkara.

"Kalau ikutkan percakapan, memanglah saya yang paling banyak bercakap dan dia pula setia mendengar.

"Dia selalu tegur sebab katanya saya ni jenis yang suka cakap benda ' bukan-bukan'. Dalam hubungan kami ini, Eddie yang banyak mengetuai biarpun usianya lebih muda daripada saya," katanya jujur.

Dalam pada itu, kata Raja Azmi, sikap romantik dan kelakar yang dimiliki Eddie membuatkan hatinya tertawan dan ingin selalu berada di samping bapa kepada Muhamad Daniel, 21, dan Muhamad Effy, 19.

Kehendak anak-anak

Dalam perbualan itu, Hits sempat bertanya kepada Raja Azmi perasaannya apabila di usia 54 tahun pun masih mahu bertunang seperti anak dara.

Sambil ketawa, wanita itu berkata, bukan dia yang memilih untuk bertunang. Baginya cukuplah sekadar melakukan perkara wajib iaitu akad nikah.

Namun katanya, bagi menghormati kehendak anak-anak, dia akur dan majlis pertunangannya dengan Eddie akan dilakukan pada 15 Julai ini di kediamannya di Ukay Perdana, Hulu Klang, Kuala Lumpur selepas waktu Asar.

"Anak-anak yang nak sangat saya bertunang. Kata mereka selama ini saya kuat sangat dengan adat pelbagai, kenapa bila tiba waktunya, tidak mahu ikut adat pula. Bila anak-anak sudah pulangkan paku buah keras, saya pun terpaksa ikut.

"Sebenarnya, mereka nak uji sejauh mana kesabaran Uncle Eddie (panggilan anak-anak kepada Eddie) untuk menjadikan saya sebagai isteri.

"Rupa-rupanya Eddie pun tidak kisah dan keluarganya juga bersetuju untuk mengikut adat," katanya yang kini sudah mula melakukan persiapan untuk majlis pertunangan itu.

Tarikh 15 Julai bertunang dan 15 September nanti sebagai hari pernikahan, ia memang sengaja dipilih kerana pertemuan pertama mereka berlaku pada 15 Februari lalu.

"Senang untuk diingati. Dan majlis pertunangan dibuat di rumah saya saja.Untuk kenduri nanti belum pasti di mana sebab tengah mencari tempat.

"Sebenarnya yang teruja sangat bukanlah saya tetapi anak-anak. Mereka yang sibuk mencari barang untuk buat hantaran. Bagi saya, kalau anak-anak gembira apa salahnya ikut sahaja kehendak mereka. Lagipun apa yang mereka buat itu untuk ibu dia orang juga," katanya.

Sebagai orang yang berpengalaman dan sering terdedah kepada mangsa gosip, Raja Azmi tahu ramai yang mempersendakan majlis pertunangannya itu.

Katanya, orang boleh kata apa sahaja kerana itu hak masing-masing.

Namun, sebagai ibu yang sentiasa mengambil berat perasaan anak-anak, dia telan sahaja tohmahan itu kerana objektif utama adalah untuk menggembirakan insan-insan tersayang.

Hits sempat juga mengusik, jika anak-anaknya teruja untuk melihat dia bertunang, bagaimana pula dengan penerimaan anak-anak Eddie terhadapnya?.

Dalam gelak ketawa, Raja Azmi berkata, dia tidak ada masalah dengan anak-anak teruna Eddie kerana sebagai ibu, dia tahu menangani mereka.

No comments:

Post a Comment