Search This Blog

HOME

Monday, December 23, 2013

Taufan Akibat Kezaliman Manusia




Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah berteraskan firman-firman Allah dan sabda-sabda Nabi SAW. Nabi SAW apabila diminta oleh para Sahabat RA untuk memberikan nasihat, Nabi SAW berpesan, “Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada Allah.” (Sahih, Abu Daud)

Baru-baru ini kita digemparkan dengan taufan Haiyan yang melanda Filipina dengan kelajuan sehingga 315 km/jam hingga membawa kematian ribuan orang. Sebahagian manusia apabila berbicara tentang isu ini, mereka sentiasa berdalilkan geografi, fizik, perubahan cuaca dan sebagainya tanpa menitik beratkan kekuasaan ALLAH SWT.

Sebagai orang Islam yang bertakwa kepada ALLAH, ALLAH menyatakan, “Itulah Kitab yang tidak ada padanya sebarang keraguan, sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa, iaitu yang beriman dengan perkara ghaib.” (Al-Baqarah: 2)

ALLAH memberikan definisi orang yang bertakwa, iaitu orang yang beriman dengan perkara ghaib. Berimankah kita bahawa bala bencana yang Allah timpakan ke atas manusia datang dari ketetapan ALLAH. Berimankah kita bahawa ada hal-hal ghaib yang tidak boleh ditentukan oleh akal dan perbuatan manusia, bahkan mustahil manusia memberikan penjelasan yang tepat tentangnya kerana ia datang secara langsung dari ALLAH SWT.

Di dalam surah Al-Ankabut ayat ke-40, ALLAH SWT menjelaskan bahawa bala bencana itu disebabkan dosa-dosa yang manusia lakukan. Kemudian ada di kalangan kaum yang Allah hujankan mereka dengan batu-batu, ada yang Allah hantarkan halilintar dan petir yang membunuh mereka, dan ada yang Allah tenggelamkan. Allah tidak menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan.

Maka bala bencana yang berlaku, sama ada runtuhan, taufan, tsunami, penyakit dan sebagainya, manusia pertama sekali wajib beriman kepada perkara-perkara ghaib yang Allah tetapkan ini dan bermuhasabah bahawa ia terhasil dari dosa-dosa manusia.

Timbul syubhat oleh golongan-golongan sosialis, liberalis, atheis yang tidak beriman kepada Allah dan perkara-perkara ghaib, yang mendahulukan akal sebagai hujah, menolak nas-nas wahyu yang bertentangan dengan akal mereka, mendahulukan ilmu sains melebihi Al-Quran dan Sunnah. Apa perkataan mereka?.

Kata mereka “Jika segala musibah yang berlaku ini berpunca dari dosa dan kemaksiatan, mengapa Allah SWT juga timpakan bencana di negeri orang-orang soleh, di negara kaum Muslimin?”

Nabi SAW pernah disoal oleh isteri Baginda sendiri iaitu Zainab binti Jahsy radhiyallahu ‘anha, “Ya Rasulullah, adakah kami akan musnah sedangkan ada di kalangan kami orang-orang soleh?” Jawab Nabi, “Ya, apabila banyaknya perkara keji (yang tersebar).” (Al-Bukhari & Muslim)

Demikian janji Allah, sama ada orang yang soleh atau pelaku dosa, semuanya akan ditimpakan bencana sekiranya maksiat itu tersebar dan dilakukan secara terbuka. Adapun orang soleh, walaupun di dunia mereka dimusnahkan bersama-sama golongan kuffar dan ahli maksiat, tetapi di Akhirat kelak mereka akan dibangkitkan dengan pengampunan dan keredhaan Allah SWT.

Maka sudah tentu kita meletakkan segalanya kepada Allah di samping perkara yang perlu kita fokuskan iaitu bermuhasabah, adakah kita termasuk di kalangan orang yang melakukan kemaksiatan, atau adakah kita tergolong di kalangan orang yang hanya melihat kemaksiatan tetapi tidak bertindak untuk mengubahnya, kita tidak mempraktikkan perintah Nabi SAW,

“Sesiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, jika dia tidak mampu, ubah dengan lisannya, jika tidak mampu, ingkari perkara tersebut dengan hati dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Muslim)

Adakah kita tergolong dalam salah satu dari dari ketiga-tiga peringkat ini, atau bahkan di hati kita tidak memiliki perasaan benci pun terhadap kemaksiatan itu. Jika demikian, nantikanlah azab Allah SWT. Sabda Nabi SAW,

“Demi yang jiwaku berada di tanganNya, hendaklah kalian betul-betul memerintahkan kepada kebaikan, dan hendaklah kalian betul-betul melarang dari kemungkaran, atau Allah betul-betul akan mengirimkan kepada kalian siksaan dariNya, lalu kalian berdoa kepadaNya dan Dia tidak akan mengabulkan doa kalian.” (Sahih, riwayat Al-Tirmizi)

Maka walaupun taufan di Filipina itu berlaku akibat perubahan cuaca dan sebagainya, tetapi kita sebagai orang yang beriman kepada Allah, kita hayati kisah-kisah dalam Al-Quran yang Allah perintahkan agar kita jadikan ia sebagai ibrah, seperti kisah kaum ‘Ad yang Allah musnahkan dengan hujan batu dari langit, kaum Nabi Nuh yang ALLAH tenggelamkan dalam banjir, kaum Tsamud yang Allah musnahkan dengan halilintar, demikian janji-janji ALLAH bagi mereka yang zalim.

Kadangkala manusia melihat kezaliman itu pada orang lain, tetapi tidak pada dirinya. Rakyat melihat pemimpinnya zalim, tetapi tidak melihat dirinya zalim. Pemimpin melihat rakyatnya zalim, tetapi tidak melihat dirinya zalim. Hal-hal seperti ini adalah kebimbangan yang perlu wujud dalam diri setiap orang yang mengaku dirinya Muslim. Kita mudah melihat kezaliman orang lain tanpa kita menilai kezaliman kita sendiri.

Sedangkan Allah SWT berfirman secara umum, “Telah zahir kerosakan di darat dan di lautan kerana tangan-tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (bertaubat kepada Allah).” (Al-Rum: 41).

Sumber: Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

No comments:

Post a Comment