Search This Blog

HOME

Monday, December 23, 2013

Kembalikan Kegemilangan Islam Dengan Mengikuti Manhaj Sahabah




Kemuliaan Para Sahabat

Rasulullah SAW telah mengkhabarkan kepada umatnya tentang Khulafa’ Al-Rasyidin (Abu Bakar, Omar, Othman, Ali) secara khusus dan Para Sahabat Baginda secara umum di mana mereka ini betul-betul mengikuti agama seperti apa yang Nabi SAW diutuskan dengannya. Allah SWT memuji mereka malah ALLAH menjamin redhaNya kepada sesiapa saja selepas itu yang mengikut mereka sebaik-baiknya.

Firman Allah SWT, “Orang-orang terdahulu lagi pertama-tama (masuk Islam) di kalangan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, ALLAH redha kepada mereka dan mereka redha kepada ALLAH. ALLAH menyediakan bagi mereka Syurga-Syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” (Al-Taubah: 100)

Allah menggambarkan kemuliaan para Sahabat, “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, dan beriman kepada ALLAH” (Ali Imran: 110).

Kemudian ALLAH berfirman, “Demikian Kami jadikan kamu umat yang adil agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.” (Al-Baqarah: 143)

Ulama tafsir mengatakan bahawa kalimat itu walaupun bersifat umum, tetapi memiliki makna yang khusus. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Para Sahabat dan bukan yang lain.

Kemudian ALLAH berfirman, “Bagi para fuqara yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurnia ALLAH dan keredhaanNya dan mereka menolong ALLAH dan RasulNya, mereka itulah orang-orang yang benar. Dan orang-orang yang menempati Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Mereka tidak menaruh keinginan dalam hati terhadap apa-apa yang diberi kepada mereka, dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri walaupun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Al-Hasyr:8-9)

Terlalu banyak ayat Al-Quran yang menjelaskan kemuliaan dan kedudukan Para Sahabah radhiyallahu ‘anhum ajma’in. Rasulullah turut memuji mereka di dalam banyak hadis, antaranya Baginda bersabda, “Sesungguhnya yang terbaik di kalangan kamu adalah mereka yang hidup sezaman denganku (Para Sahabat), kemudian yang hidup sesudah zamanku (Tabi’in), kemudian yang hidup sesudah mereka (Tabi’ Al-Tabi’in). Imran bin Hushain (perawi) berkata, “Aku tidak tahu mengapa Rasulullah SAW menyebut selepas kurunnya sebanyak dua atau tiga kali.” (Al-Bukhari & Muslim)

Dari Abu Sa’id Al-Khudri ra. dia berkata, “Di antara Khalid b. Al-Walid dan Abdurrahman b. Auf pernah terjadi sesuatu, lalu Khalid mencelanya. Mendengar hal itu, Rasulullah SAW bersabda, “Jangan kamu mencela sahabatku walau salah seorang kamu berinfaq emas sebesar gunung Uhud sekalipun, dia tidak akan dapat menandingi salah seorang atau separuh dari mereka.” (Al-Bukhari & Muslim).

Ibn Abbas ra. berkata, “Jangan kalian mencela para Sahabat Muhammad SAW, kerana tinggal sejenak bersama Nabi SAW lebih baik dari salah seorang kalian yang beribadah seumur hidup.” (Syarah Aqidah Tahawiyah, Syaikh Al-Albani mengatakan Sahih)

Sahabat Rasulullah bukan calang-calang manusia. Mereka adalah orang yang Allah pilih untuk berdamping dengan RasulNya, untuk membantu dan mempertahankan risalahNya. Ini seperti yang dinyatakan oleh Ibn Mas’ud,

“Sesungguhnya Allah melihat hati hamba-hambaNya dan Allah mendapati hati Muhammad adalah sebaik-baik hati manusia. Maka Allah pilih Muhammad sebagai utusanNya dan memberi risalahNya kepadanya, kemudian Allah melihat dari seluruh hati hamba-hambaNya setelah NabiNya, didapati hati para Sahabat adalah hati yang paling baik sesudahnya. Maka Allah jadikan mereka pendamping NabiNya yang mereka berperang atas agamaNya. Apa yang dipandang kaum muslimin (iaitu para Sahabat) sebagai baik, itu baik di sisi Allah. Dan apa yang mereka (para Sahabat) memandang buruk, maka di sisi Allah itu buruk.” (Hasan, riwayat Ahmad dll.)

Mereka adalah generasi yang telah mewujudkan dan merealisasikan kemuliaan Islam. Oleh itu Baginda SAW memerintahkan umatnya agar mengikuti jejak mereka. Baginda berkata, “Sungguh, barang siapa yang hidup selepas kewafatanku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka berpeganglah dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafa Al-Rasyidin Al-Mahdiyyin (mereka orang-orang yang diberi petunjuk). Peganglah erat-erat dan gigitlah dengan gigi geraham.” (Sahih, Abu Daud)

Dalam hadis perpecahan umat, Nabi SAW berkata, “Sungguh umat Islam ini akan berpecah menjadi 73 golongan, 72 masuk Neraka dan satu masuk Syurga iaitu “Al-Jama’ah” (Riwayat Abu Daud). Dalam riwayat lain Baginda ditanya siapakah Al-Jamaah? Baginda menjawab, “Apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya pada hari ini.”


Khilafah Nubuwwah Di Akhir Zaman

Dari Huzaifah bin Al-Yaman ra., Rasulullah SAW bersabda, “Akan ada masa kenabian di tengah kalian selama yang Allah kehendaki, kemudian Allah mengangkatnya (menghilangkannya) bila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada masa khilafah atas manhaj Nubuwwah selama yang Allah kehendaki, kemudian Allah mengangkatnya bila Allah berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman kerajaan yang menggigit (ada kezaliman) selama yang Allah kehendaki, kemudian Dia akan mengangkatnya bila Dia berkehendak. Kemudian akan ada kerajaan (tirani) sepanjang dikehendaki Allah kemudian Allah mengangkatnya bila Dia berkehendak. Kemudian akan ada masa Khilafah di atas manhaj Nubuwwah”. Kemudian Baginda diam.” (Sahih, Ahmad)

Jika diperhatikan hadis-hadis di atas, jelas bahawa yang mewujudkan Khalifah Rasyidah setelah zaman Nabi adalah Para Sahabat dan orang-orang yang mengikuti prinsip dan pegangan mereka. Rasulullah mengatakan bahawa sebelum terjadinya Kiamat, akan kembali zaman Khalifah yang tertegak atas manhaj Nubuwwah.

Apa yang Allah dan RasulNya nyatakan di dalam Al-Quran dan Hadis pasti terjadi, sama ada ia hal yang menyenangkan atau sebaliknya. Ia adalah Sunnatullah iaitu ketetapan Allah dalam alam ini.

Maka bagaimana masa khalifah atas manhaj Nubuwwah ini dapat tertegak? Siapakah yang akan menegakkannya? Seperti mana para Sahabat telah menegakkan Khalifah atas manhaj Nubuwwah, maka yang akan menegakkan Khalifah di akhir zaman juga adalah yang mengikuti manhaj mereka.

Rasulullah SAW bersabda kepada Para Sahabat, “Kalian pasti akan memerangi Yahudi. Sungguh, kalian akan membunuh mereka sampai batu berkata, ‘Wahai Muslim, ini ada seorang Yahudi, ke sinilah dan bunuhlah dia.’” (Sahih Al-Bukhari)

Hadis ini diucapkan oleh Rasulullah kepada para Sahabat. Namun seperti mana yang kita lihat, peperangan dengan Yahudi itu belum terjadi. Para Sahabat tidak berperang dengan Yahudi di akhir zaman. Bagaimana kata-kata Rasulullah ini dapat direalisasikan?

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani ketika menjelaskan hadis ini berkata, “Maksud ucapan Rasulullah SAW ‘kalian pasti memerangi Yahudi’ menunjukkan bolehnya memberi perintah kepada orang yang bukan pelakunya kerana adanya kesamaan manhaj dan prinsip hidup. Seperti mana perintah dalam hadis ini diucapkan kepada Para Sahabat tetapi yang dimaksudkan adalah orang yang jauh setelah mereka. Ini kerana mereka memiliki landasan keimanan yang sama, sehingga lafaz hadis ini sangat sesuai ditujukan kepada mereka.” (Fath Al-Bari, Ibn Hajar)

Jelas bahawa golongan yang akan menegakkan Islam pada akhir zaman adalah mereka yang di atas petunjuk dan manhaj para Sahabat. Firman ALLAH, “ALLAH menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebaikan, bahawa Dia pasti akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa.

Sungguh Dia akan meneguhkan mereka dengan agama yang Dia redai, dan Dia pasti akan mengubah keadaan mereka, setelah dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka itu adalah orang yang menyembah AKU dengan tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu pun. Sesiapa yang berpaling setelah itu, mereka itulah orang yang fasiq.” (Al-Nur: 55)

Allah menjanjikan kekuasaan bagi mereka yang mentauhidkan ALLAH dan yang beriman dengan mengikuti jalan para Sahabat. Allah akan jadikan mereka ini berkuasa bumi pada akhir zaman sepertimana Allah telah jadikan generasi awal Islam berkuasa di zaman awal Islam.

Ulama salaf sepakat bahawa satu-satunya jalan untuk mengembalikan maruah dan kegemilangan Islam adalah dengan umatnya kembali kepada Agama. Sabda Nabi, “Apabila kalian telah berjual beli dengan ’inah (riba), memegang ekor lembu, sibuk dengan pertanian dan meninggalkan jihad; Allah akan timpakan kehinaan atas kalian, Dia tidak akan hilangkan kehinaan itu sehingga kalian kembali kepada Agama.” (Sahih, Abu Daud)

Sudah tentu kembali kepada agama yang dimaksudkan adalah agama seperti yang dibawa oleh Rasulullah dan diamalkan oleh Para Sahabat; dengan mentauhidkan ALLAH, bebas dari tokok tambah atau pengurangan dalam hal ibadah.

Pertolongan ALLAH tidak akan datang dalam keadaan umat Islam memuja selain Allah, dan mengubah Agama yang telah Dia sempurnakan. Sempurnanya agama ini adalah kurniaan terbesar buat manusia, sehingga manusia tidak perlu ternanti-nanti kepada ilham (dalam agama) atau wahyu seperti umat terdahulu. FirmanNya, “Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu Agama kamu dan telah Aku reda Islam sebagai agamamu.” (Al-Maidah: 3)

Sumber : Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

No comments:

Post a Comment