Harun Salim Bachik nekad tinggalkan Seniman |
Harun nekad mahu tinggalkan Seniman.................
Kemelut yang melanda Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berakhir apabila Mahkamah Tinggi memutuskan Mesyuarat Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) kali ke-14 yang diadakan pada tahun lepas adalah tidak sah dan terbatal.
Dalam keputusan yang diumumkan pada 20 November lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop turut mengarahkan Mesyuarat Agung diadakan semula dalam tempoh dua bulan dari tarikh hari keputusan dibuat serta akan dikendalikan oleh Pertubuhan Pendaftar (ROS).
Harun Salim Bachik yang menjadi salah seorang defendan dalam saman yang difailkan plaintif iaitu Abu Bakar Omar, Sahlak Sudiran (S. Sahlan), Roslinda Buang (Linda Buang), Mior Ahmad Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani (Sonny Abdullah) pada 25 Januari lalu berkata, dia akur dengan keputusan mahkamah yang mengarahkannya membayar ganti rugi kepada plaintif.
Harun perlu membayar puluhan ribu ringgit (jumlah sebenar belum ditetapkan mahkamah kerana membabitkan ramai defendan) atas dakwaan penyelewengan mengenai pembelian sebuah bangunan.
Bertemu dengan bekas Presiden Seniman untuk sesi 2009-2012 itu semasa majlis pratonton filem Papadom 2 baru-baru ini, Harun menyatakan dia mengambil keputusan untuk keluar daripada persatuan tersebut.
Kosmo!: Boleh anda komen mengenai keputusan yang dibuat oleh mahkamah berkenaan Seniman baru-baru ini?
HARUN: Berkenaan dengan perkara tersebut, apa yang boleh dikatakan saya cuma akur sahaja dan akan membayar jumlah ganti rugi kepada Seniman dan plaintif seperti yang telah ditetapkan oleh mahkamah. Tidak dinafikan perasaan sedih itu memang ada kerana nama saya turut dikaitkan dengan masalah yang menimpa persatuan ini, termasuk berkaitan dengan isu penyelewengan mengenai pembelian sebuah bangunan.
Mengapakah anda tidak mahu lawan kembali keputusan yang ditetapkan itu?
Sejujurnya, kalau boleh saya tidak mahu lagi isu ini terus berpanjangan, walaupun terpaksa menggunakan wang hasil titik peluh sendiri dengan jumlah yang perlu dibayar kira-kira RM30,000.
Selepas isu ini selesai semuanya, adakah anda ingin terus menjadi ahli Seniman?
Buat masa ini saya kekal sebagai ahli biasa dan bayaran yang ditetapkan oleh mahkamah juga masih belum dilakukan kerana membabitkan ramai defendan. Sebenarnya, saya sudah nekad untuk keluar daripada persatuan ini setelah proses bayaran selesai dibuat.
Tiada gunanya saya masih terus kekal berada dalam Seniman setelah menjadi mangsa dalam kemelut yang melanda ini. Sepatutnya persatuan ini membela nasib para ahli, tetapi bila saya berhadapan dengan masalah sebegini, dengan siapa lagi yang saya hendak mengadu.
Adakah anda menyesal menjadi Presiden Seniman dahulu?
Saya cuma boleh katakan memang rasa tidak berbaloi dengan segala usaha yang dicurahkan dahulu. Sehinggakan saya terpaksa mengorbankan masa dan wang ringgit semata-mata memberi tumpuan kepada persatuan ini.
Zed Zaidi bekas Presiden Seniman yang digugurkan |
Apakah pandangan anda terhadap Zed Zaidi sepanjang dia menjadi memimpin Seniman?
Melalui pemerhatian saya, Zed merupakan seorang individu yang sangat kuat berusaha serta banyak melakukan aktiviti untuk Seniman. Selain itu, dia tidak pernah melakukan sebarang penyelewengan.
Dalam pemilihan semula yang bakal diadakan nanti, saya berpendapat agar golongan muda seharusnya terus diberi peluang untuk memimpin Seniman.
No comments:
Post a Comment