Search This Blog

HOME

Wednesday, December 4, 2013

Peminat di Indonesia terkejut Rossa dapat gelaran Datuk di Malaysia.



Datuk Sri Rossa Roslaini Handiyani @ Rossa


Satu  pengiktirafan yang besar buat artis dari Indonesia, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaini Handiyani, apabila menerima pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang ke-83 di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, dua minggu lalu.

Pengiktirafan itu sekali gus menjadikan pelantun Ayat- Ayat Cinta itu sebagai artis pertama dari Seberang yang menerima gelaran tersebut.

Malah akui Rossa, berita itu turut memberi kejutan buat seluruh peminat serta media di sana.

"Ramai yang bertanya saya mengenai gelaran itu. Jadi setiap kali bertemu media dan peminat, saya harus menjelaskan kepada mereka.

"Saya sempat berseloroh, gelaran 'Datuk' itu sama seperti penyanyi kesayangan mereka 'Datuk Siti Nurhaliza' dan juga 'Datuk Shiela Majid'.

"Ternyata mereka memang terkejut kerana dalam ramai- ramai penyanyi Indonesia yang mencipta nama di sini, saya yang dipilih menerima anugerah ini," kata penyanyi yang berasal dari Sumendang, Indonesia ini.

Turut menyandang gelaran kebangsawanan di negara kelahirannya, 'Kanjeng Masayu Tumenggung' dari Keraton Surakarta pada tahun 2011, Rossa meluahkan rasa gembira dan bersyukur kerana usaha dan pengorbanannya berulangalik dari Indonesia-Malaysia membawa kejayaan yang besar terhadap karier seninya.

“Semua ini adalah rezeki kurniaan ALLAH S.W.T dan saya gembira kerana dipilih untuk menerima anugerah ini.

“Ini merupakan pengiktirafan tertinggi dalam hidup yang pernah diberikan kepada saya dan saya amat gembira,” kata penyanyi yang berusia 35 tahun ini.

Menyifatkan Malaysia sebagai rumah keduanya, Rossa berazam untuk terus memberi sumbangan dalam industri muzik di negara ini lebih-lebih lagi di negeri Pahang.

“Insya-ALLAH saya akan cuba menguatkan lagi hubungan Indonesia-Malaysia dengan pelbagai agenda muzik selepas ini. Pengiktirafan ini membuatkan saya lebih semangat untuk meneruskan karier dan memperkaya muzik di peringkat Asia,” katanya yang merupakan salah seorang daripada 46 penerima gelaran tersebut.

Pilih ahli perniagaan

Tidak terlepas dari kisah peribadinya, bekas isteri kepada pemain drum kumpulan Padi, Yoyo, ini mengakui sedang berteman dengan seorang ahli perniagaan.

Tidak berselindung mengenai hubungan cintanya, Rossa bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai ahli perniagaan yang dikatakan sedang bertakhta di hatinya itu.

“Saya tak mahu mengulas lanjut, biarlah saya merahsiakannya dulu. Pada masa ini saya masih selesa untuk berkawan sahaja,” katanya yang tidak meletakkan sebarang syarat menjalinkan hubungan dengan mana-mana jejaka termasuk yang berasal dari Malaysia.

Menurut Rossa, jejaka itu harus menyayangi dan memahaminya memandangkan dia juga mempunyai anak iaitu Rizky juga perlu diberikan lebih perhatian.

"Saya tidak serik untuk kembali berumah tangga. Tapi saya tidak mahu terburu-buru ke arah itu.

"Saya juga tidak mahu terlalu mencanangkan kisah cinta kami. Cukuplah sekadar saya mengaku hati sudah berpunya. “Kita tunggu "Insya-ALLAH, jika ada jodoh, saya akan maklumkan pada semua," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Bukan Kerna Aku Tak Cinta, baru-baru ini.


 'Perap' dua tahun

Beralih mengenai perkembangan seninya, Rossa kini mempertaruhkan lagu terbaru nyanyiannya bersama Hafiz Suip, Salahkah yang dijadikan sebagai tema untuk drama Astro Mustika, Bukan Kerana Aku Tak Cinta.

Bukan sahaja merangkap sebagai penyanyi, Rossa turut diberi kepercayaan memilih lagu sendiri. 

"Sebaik saja mendapat tawaran tersebut, saya terlebih dahulu meminta skrip drama itu.

“Bila saya sudah memahami jalan ceritanya, barulah saya terus ingatkan lagu ini.

“Lagu ini dah dua tahun saya simpan dan sepatutnya saya berduet dengan Anuar Zain. Tapi nampaknya, ia lebih sesuai di jadikan  lagu tema drama ini," katanya yang memuji lagu ciptaan Charly dari kumpulan Setia Band itu.

Menurut pelantun lagu Atas Nama Cinta Ini, walaupun sudah dua tahun terperap, namun dia yakin lagu tersebut masih relevan digunakan untuk drama tersebut.

“Masing-masing, (Rossa dan Anuar) sibuk dan tidak sempat untuk merakamkannya

"Mungkin selepas ini saya harus mencari lagu lain untuk duet bersama Anuar," kata Rossa yang menyimpan hasrat dan menunggu masa sesuai untuk merakam lagu bersama penyanyi versatil itu.

Puji Hafiz

Dalam pada itu, Rossa turut memuji kemampuan Hafiz membawakan lagu 'Salahkah' itu. Selain memiliki vokal yang mantap, Rossa berkata, Hafiz juga memiliki penghayatan yang sangat baik. 

Jelas Rossa, penghayatan yang diberikan Hafiz sama seperti yang didengarnya melalui lagu Muara Hati dan Ombak Rindu yang digandingkan dengan Datuk Siti Nurhaliza dan Adira sebelum ini.

“Ini kali pertama saya bekerjasama untuk lagu tema di Malaysia dan saya sangat kagum dengan Hafiz yang berjaya meraih pelbagai kejayaan dalam bidang muzik.

“Dia bukan saja dapat menyanyikan lagu itu dengan baik, bahkan dia juga mampu memberikan penghayatan serta penceritaan terhadap lagu tersebut,” kata Rossa yang tidak menolak untuk bekerjasama lagi dengan artis kelahiran Akademi Fantasi itu.

Sedikit mengenai Bukan Kerana Aku Tak Cinta, drama bersiri terbitan Pena Creative Pictures Sdn Bhd, arahan Jamal Khan ini bakal bersiaran selama 60 episod di Astro Mustika HD, secara eksklusif bermula 9 Disember ini. Drama ini menggandingkan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia sebagai peneraju utama.

No comments:

Post a Comment