Berdasarkan penelitian nas-nas Al-Quran dan Al-Sunnah, para Ulama telah memudahkan umat Islam memahami Tauhid dengan mengkategorikannya kepada tiga bahagian; iaitu Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah, dan Tauhid Asma’ dan Sifat Allah.
Tauhid Rububiyah adalah keimanan bahawa Allah adalah Pencipta, pemberi rezeki, penguasa, pentadbir seluruh makhluk sesuai dengan kehendakNya. Allah tidak akan ditanya tentang perbuatanNya, sedangkan setiap mukallaf akan ditanya. Dalil kepada Tauhid Rububiyah adalah firman ALLAH SWT, “Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu” (Al-Zumar: 62). Firman Allah, “Dan Allah menciptakan kamu dan apa yang kalian kerjakan.” (Al-Saffat: 96).
Tauhid Rububiyah mewajibkan adanya Tauhid Uluhiyah. Siapa yang mengakui tauhid rububiyah untuk Allah, iaitu mengimani tidak ada pencipta, pemberi rezki dan pengatur alam kecuali Allah, dia juga wajib mengakui bahawa tidak ada yang berhak menerima ibadah kecuali Allah SWT semata-mata. Itulah tauhid uluhiyah.
Tauhid Uluhiyah adalah keimanan bahawa Allah adalah Satu-satunya yang berhak diibadahi (disembah), tidak ada selainNya. Allah memerintahkan semua mukallaf dari jin dan manusia beribadah kepada ALLAH tanpa mempersekutukanNYA dengan sesuatu apa pun, baik penghuni langit atau bumi, manusia atau malaikat.
Dalilnya adalah firman Allah, “Dan masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah, maka janganlah kamu menyembah sesuatu pun di samping (kamu menyembah) Allah.” (Al-Jin: 18). Firman Allah lagi, “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia.” (Al-Israa: 23).
Maka tidak ada yang diseru dalam doa kecuali Allah, tidak ada yang diminta pertolongan kecuali Allah, tidak ada yang boleh dijadikan tempat bergantung kecuali Allah, tidak boleh menyembelih binatang kecuali hanya untuk Allah, tidak boleh bernazar kecuali untuk Allah, dan tidak boleh menujukan apa jua ibadah kecuali untuk ALLAH dan kerana ALLAH semata-mata.
Oleh kerana itu Allah sering membantah orang yang beriman dengan tauhid rububiyah tetapi mengingkari tauhid uluhiyah, seperti firman Allah, “Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa. Dia Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui.” (Al-Baqarah: 21-22)
Dalam ayat ini, ALLAH menyebutkan dalil tauhid rububiyah iaitu penciptaanNya terhadap manusia, penciptaan langit dan bumi serta seluruh isinya, penurunan hujan, menumbuhkan tumbuhan dan buah-buahan yang menjadi rezeki bagi manusia. Lalu Allah memerintahkan mereka bertauhid uluhiyah, iaitu beribadah kepadaNya tanpa mengadakan sekutu bagiNya.
Beriman bahawa Allah pencipta seluruh alam, Allah menurunkan hujan, memberi rezeki, tetapi pada masa yang sama beribadah kepada selain Allah, berdoa kepada selain Allah, tidak ada bezanya dengan kepercayaan kaum Kafir Arab Jahiliyah. Allah berhujah atas orang-orang musyrik yang melakukan hal demikian dengan menyebut RububiyahNya, bahkan Allah memerintahkan Rasulullah berhujjah atas mereka seperti itu, sebagaimana firman Allah,
“Katakanlah (wahai Muhammad): Milik siapakah bumi dan semua yang ada di dalamnya, jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: “Milik Allah.” Katakanlah: “Maka apakah kamu tidak ingat?” Katakanlah: “Siapakah Yang Memiliki langit yang tujuh dan memiliki ‘Arsy yang agung?” Mereka akan menjawab: “Milik Allah.” Katakanlah: “Maka apakah kamu tidak bertakwa?” Katakanlah: “Siapakah yang di tanganNya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (azab)Nya, jika kamu mengetahui?” Mereka akan menjawab: “Kepunyaan Allah.” Katakanlah: “(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kamu ditipu?” (Al-Mu’minun : 84-89)
Firman Allah, “Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: ‘Siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab: ‘Allah’”. (Al-Zukhruf : 87)
ALLAH berdalil dengan tauhid rububiyahNya atas hakNya untuk disembah. Tauhid uluhiyah inilah yang menjadi tujuan penciptaan manusia. Allah SWT berfirman, “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu.” (Al-Dzariyat : 56)
Seorang hamba tidaklah dikira mentauhidkan Allah hanya dengan mengakui rububiyah Allah semata, tetapi dia wajib beriman dan mengamalkan tauhid uluhiyah, iaitu memurnikan seluruh ibadahnya hanya kepada Allah semata-mata. Jika tidak, imannya tidak ada beza seperti iman kaum musyrikin yang turut mengakui tauhid rububiyah, tetapi hal itu tidak menjadikan mereka masuk dalam Islam.
Maka sesiapa yang menganggap bahawa tauhid itu hanyalah meyakini wujudnya Allah, atau meyakini bahawa Allah adalah Pencipta dan Pengatur alam, maka sebenarnya orang itu belum mengetahui hakikat Tauhid yang dibawa oleh para Rasul. Kerana itu pentingnya bagi seluruh umat Islam mempelajari bahagian-bahagian Tauhid ini, agar mereka dapat beriman dengan iman yang benar kepada ALLAH serta jauh dari sebarang bentuk kesyirikan.
Sumber: Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
No comments:
Post a Comment