Glace Ice, ketulan ais paling mahal di dunia |
Menikmati minuman kegemaran tanpa gangguan rasa pada waktu stres memang menenangkan. Apalagi jika ia minuman sejuk yang mahal. Malangnya, jika dibiarkan beberapa lama, ia pasti cair, sekaligus merubah rasa.
Baru-baru ini, syarikat Glace Luxury Ice Co. dari California mencipta satu teknologi ais baharu iaitu ais tahan cair.
Bahkan, ia juga dikatakan diperbuat daripada sumber air mineral semula jadi yang menyihatkan. Istimewanya, setiap kiub adalah buatan tangan yang dihasilkan dari bongkah ais seberat 136.078 kilogram.
Cara pembuatannya agak rumit. Sumber air semula jadi yang dipilih akan dirawat terlebih dahulu supaya benar-benar bersih sebelum diproses.
Kemudian, air tersebut akan dimasukkan ke dalam acuan berukuran 8,000 kubik inci. Air akan dikacau perlahan-lahan ditengah-tengahnya supaya gas terbebas sehinggalah hampir beku.
Kemudian, ais separa beku itu akan dibekukan dengan menggunakan ais kering dan disembur sesuatu supaya kelihatan bersinar seperti kaca. Akhirnya, ais akan diukir membentuk sfera atau kiub.
Ais yang sudah siap akan dipeket ke dalam beg kedap udara yang boleh ditutup semula. Ia bertujuan bagi mengelak ais terdedah kepada udara kotor.
Menurut laman web Glace Luxury Ice Co., proses pembuatannya yang rumit menjadikan Glace Ice benar-benar bersifat sifar rasa berbeza dengan ais biasa. Glace Ice membolehkan pengguna memaksimumkan pengalaman menikmati minuman mereka. Rekaannya yang unik membuatkan ia tahan cair dengan penyejukan maksimum.
Ais biasa secara umumnya diperbuat dari air paip tempatan dan mengandungi lebih 150 kotoran dan karsinogen yang boleh mendatangkan penyakit kepada pengguna. Kotoran-kotoran itu juga menyebabkan ais memiliki rasa sendiri. Tanpa disedari, ais akan mempengaruhi rasa sebenar minuman, lalu merubah rasanya.
Bagaimanapun, harganya tidaklah semurah harga ais biasa yang mudah dibeli dikedai-kedai 24 jam. Malah, harganya jauh lebih mahal, mencecah ribuan ringgit. Biasanya ia dijual dengan harga USD$325 (RM1028) untuk satu beg ais yang mengandungi 50 biji.
Dengan erti kata lain, seketul ais berharga sekitar RM20. Namun, ais mewah ini tidak dijual seketul-seketul. Sebaliknya didatangkan dalam pek yang sudah siap.
Walaupun sangat mahal, dari satu sudut lain, ia sangat berbaloi untuk anda miliki, apalagi jika dipadankan dengan minuman yang mahal dan mewah.
Saiz ais juga agak besar yang mampu mencecah 2.5 inci. Hanya seketul untuk satu cawan air berukuran 250 ml. Berkualiti dan berbaloi.
Lagipun, ais berbentuk kiub atau G3 (G-Cubed) ini mampu bertahan selama 15 hingga 40 minit tanpa cair di dalam air. Manakala ais berbentuk sfera atau Mariko Sfera pula boleh bertahan selama 15 hingga 30 minit sahaja kerana saiznya yang lebih kecil. Jika ais biasa sudah tentu berubah menjadi air dalam tempoh tersebut.
Glace Ice sebenarnya diasaskan oleh Roberto Sequeira. Dia merupakan pensyarah fakulti perniagaan di salah sebuah universiti di California.
Dia banyak menghabiskan masa memerhati dunia perniagaan sehinggalah berjaya mengeluarkan produk ais mewah miliknya sendiri.
No comments:
Post a Comment