Search This Blog

HOME

Wednesday, January 22, 2014

Empat Negara Maju Akui Keberkesanan Model DEB.


KUALA TERENGGANU: Amerika Syarikat mengikut tiga lagi negara maju untuk mengakui keberkesanan model pertumbuhan dan pengagihan ekonomi bagi mewujudkan kesamarataan semua kaum yang dilaksana Malaysia melalui Dasar Ekonomi Baharu (DEB), kata Ahli Majlis Ekonomi Bumiputera, Datuk Dr Norraesah Mohamad. 

Norraesah yang bertanggungjawab dalam hal untuk melaksanakan dasar memperkasakan Melayu dan Bumiputera berkata Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menggunakan satu dasar yang dideklarasi pada 4 Disember lalu untuk mewujudkan kesamarataan dalam pendapatan dan agihan kekayaan negara itu.

Katanya negara maju seperti China, Finland dan Sweeden sudah pun mengguna pakai dan mengakui keberkesanan dasar itu. 

"Objektif yang Obama buat sama seperti DEB, cuma dia tak panggil DEB saja iaitu dasar yang benar-benar melihat kepada mereka yang di pinggiran untuk dibawa masuk ke aliran utama pembangunan," katanya ketika ditemui pemberita selepas program 'Bicara Intelektual Ekonomi Melayu' di sini, hari ini.
 

Program itu anjuran bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT), Kelab Penyokong Kerajaan Negeri dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini.
 

Norraesah yang juga Pengerusi MyEG Services Berhad berkata dasar itu ialah bagi mencari kesamarataan ekonomi untuk semua bangsa di negara ini, tetapi kerana orang Melayu merupakan penduduk dominan iaitu 69 peratus termasuk Bumiputera, maka seharusnya pengagihan kekayaan pembangunan negara diagihkan sedemikian rupa.
 
Walaupun DEB sudah tiada lagi, usaha meningkatkan ekonomi Bumiputera dilakukan melalui agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak September lalu.
 


Tujuannya masih sama, memperkasa ekonomi orang Melayu dan Bumiputera, katanya.

Sumber - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment