Search This Blog

HOME

Thursday, January 23, 2014

Zed Zaidi Lancar Gerakan Selamatkan Seniman.

Bekas Presiden Seniman Zed Zaidi

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) memberi kebenaran kepada persatuan itu mengadakan Mesyuarat Agung (AGM) bagi melantik presiden serta ahli-ahli jawatankuasanya yang baharu.

Menurut Zed Zaidi yang merupakan ahli Seniman, masalah itu timbul selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meluluskan saman lima ahlinya iaitu Abu Bakar Omar, Mior Ahmad Zaudi, S. Shahlan, Rosalinda Buang dan Abdullah Sani terhadap persatuan itu November tahun lalu.

Jelasnya, ekoran keputusan mahkamah itu, Seniman terpaksa membayar denda RM60,000 selain memberi tempoh dua bulan yang berakhir sehingga 21 Januari lalu kepada ROS agar memberi ruang kepada persatuan itu mengadakan AGM yang baharu.

"Selepas tamat tempoh dua bulan itu, tiada apa-apa tindakan daripada ROS mahupun pihak Abu Bakar Omar. Seniman telah disekat beroperasi kesan daripada kemenangan kes mahkamah itu sehingga ahli-ahli persatuan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

"Sehubungan itu siapakah yang akan menguruskan Seniman selepas ini apabila AGM kali ke-14 yang melantik saya sebagai presiden pada 26 Mei 2012 telah dibatalkan oleh mahkamah seperti yang dikemukakan oleh Abu Bakar Omar baru-baru ini," katanya.

Zed berkata demikian sewaktu ditemui Utusan Malaysia selepas melancarkan Kempen Gerakan Selamatkan Seniman (Geli) yang disertai kira-kira 300 ahli Seniman di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini hari ini.

Isu itu timbul pada 25 Januari tahun lalu apabila lima artis veteran tersebut memfailkan saman terhadap Seniman bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengisytiharkan AGM ke-14 pada 26 Mei 2012 tidak sah kerana disyaki berlaku beberapa penyelewengan.

Tambah Zed, dengan adanya Kempen Gerakan Selamatkan Seniman itu, dia bukan sahaja mendesak ROS membenarkan persatuan tersebut mengadakan AGM yang baharu tetapi juga bagi meraih sokongan daripada ahli-ahli persatuan yang telah ditubuhkan lebih 30 tahun itu.

"Kami telah melancarkan laman sosial khas di Facebook dan e-mel bagi memberi penerangan dan mendapatkan sokongan serta pandangan daripada ahli Seniman tentang perkara itu. Usaha ini dilakukan bagi memastikan Seniman tidak berkubur setakat ini sahaja.

"Malah, majoriti ahli Seniman juga telah bersetuju untuk mengadakan tunjuk perasaan di depan pejabat persatuan di Taman Melawati di sini pada pukul 12 tengah hari 28 Januari ini bagi menyelamatkan Seniman," ujarnya.


No comments:

Post a Comment