Search This Blog

HOME

Monday, November 25, 2013

Kisah benar di India, Gadis mampu bercakap dan mengarahkan gajah liar masuk semula kedalam hutan.


Nirmala Toppo mampu bercakap dan mengarahkan gajah liar masuk semula kedalam hutan


Kita sering terbaca insiden gajah mengamuk di kawasan kediaman penduduk dan merosakkan tanaman, sehingga adakalanya salah satu pihak, sama ada gajah atau manusia yang tercedera malah mungkin menemui maut.

Justeru mengendalikan insiden seperti itu dikategorikan sebagai satu kerja yang berbahaya. Jika tersilap langkah, gajah naik minyak, nyawa mereka yang mengendalikan tugas itu atau nyawa orang lain boleh melayang.

Menariknya di timur India, kerja-kerja menghalau sekumpulan gajah liar yang menceroboh kawasan kediaman penduduk dilakukan oleh seorang remaja perempuan berumur 14 tahun.

Nirmala Toppo yang berasal dari Jharkhand, dikatakan mampu berbicara dengan gajah dan mengarahkan haiwan itu kembali ke habitatnya di dalam hutan.

Nirmala menjadi terkenal sejak insiden di bandar Rourkela, apabila sekumpulan gajah liar yang menceroboh kawasan penempatan penduduk berjaya dikendalikannya dengan baik sehingga haiwan itu masuk semula ke dalam hutan, sekali gus menyelamatkan nyawa penduduk di situ.

Menurut seorang pegawai hutan, Dhola, mereka terpaksa meminta bantuan daripada remaja perempuan itu untuk menghalau sekumpulan gajah yang menceroboh kawasan kediaman penduduk selepas gagal melakukannya.

Katanya, apabila sekumpulan 11 ekor gajah liar menceroboh sebuah bandar di negeri itu, pada awalnya mereka berjaya mengumpulkannya di stadium bola sepak, namun mereka tidak tahu bagaimana hendak menghalau haiwan liar itu masuk ke hutan semula.

Ekoran itu, bantuan Nirmala diperlukan kerana remaja perempuan itu dikatakan mampu bercakap dengan gajah. Nirmala kemudiannya tiba di bandar itu bersama beberapa orang dari kampungnya. Tanpa membuang masa, gadis ini menghampiri kumpulan gajah itu dan dilihat ‘bercakap-cakap’ dengan haiwan tersebut. Ajaibnya, seolah-olah memahami apa yang diperkatakan, gajah-gajah itu mula bergerak ke hutan sambil diiringi Nirmala. Gadis itu berjalan sejauh beberapa kilometer bersama kumpulan gajah tersebut sehingga kakinya melecet.

Nirmala mengaku dia bercakap dengan gajah tersebut menggunakan dialek etniknya iaitu Mundaari untuk memujuk haiwan itu kembali ke habitat asal di dalam hutan.

Menurutnya, dia akan berdoa sebelum bercakap dengan haiwan tersebut dan memberitahu gajah-gajah itu bahawa bandar ini bukan kediaman mereka.

Difahamkan Nirmala mendapat kebolehan itu selepas ibunya meninggal dunia akibat diserang oleh gajah.

Sejak itu, dia belajar teknik memujuk gajah-gajah liar yang menceroboh kawasan penduduk supaya kembali ke dalam hutan. Semuanya semata-mata untuk mengelak kejadian menimpa ibunya berulang.

No comments:

Post a Comment