Search This Blog

HOME

Tuesday, November 5, 2013

Perdana Menteri Malaysia Tetap Pertahan Kalimah Allah.

Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.





KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan akan sentiasa mendaulatkan agama Islam serta mempertahankan kalimah Allah demi kesucian agama, bangsa dan negara tercinta.

Menurutnya, Malaysia yang menjunjung tinggi Perlembagaan dan Islam sebagai agama Persekutuan sentiasa istiqamah dalam mendaulatkan kedudukan Islam di negara ini berlandaskan kepada maqasid syariah.

Walau bagaimanapun beliau menjelaskan ketegasan, kesungguhan dan komitmen kerajaan itu dibuat secara berhemah melalui konsep Wasatiyyah (kesederhanaan) yang merupakan asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia.

"Kita tetap memartabatkan agama serta mempertahankan kalimah Allah demi agama, bangsa dan negara tercinta," katanya dalam perutusan Maal Hijrah menerusi blog www.1malaysia.com.my di sini hari ini.

Jelas Perdana Menteri, selaras dengan semangat Maal Hijrah, kerajaan telah merangka Bajet 2014 untuk menambah baik ketahanan ekonomi negara, memperkasa transformasi dan melaksanakan janji-janji kepada rakyat.

Najib menambah, ekonomi Malaysia terus berkembang melalui pelaksanaan program transformasi sehingga mendapat pengiktirafan apabila Laporan Mudah Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2014 meletakkan negara pada kedudukan keenam berbanding ke-12 tahun lalu.

"Ini mencerminkan kejayaan agenda penghijrahan yang dilakukan. Kejayaan ini juga mengukuhkan lagi Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh apabila muncul satu-satunya negara Islam yang berada dalam kedudukan 10 negara terbaik.

"Dengan melakukan hijrah bersifat semasa, ia mampu melepaskan kita daripada belenggu kebekuan yang bersifat tradisi, melahirkan umat Islam yang berfikiran kreatif dan berinovasi serta relevan dengan zaman dan cabaran arus," jelasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menyeru seluruh umat Islam di negara ini mengambil semangat hijrah untuk menjadi insan lebih baik, beriman dan bertakwa selain memperkukuhkan persefahaman serta perpaduan.

Menurut beliau, sebagai sebuah negara Islam, seluruh rakyat beragama Islam perlu sentiasa menggarap roh dan semangat hijrah Rasulullah bagi memberi momentum berganda dalam mencapai hasrat muncul negara maju.

Sumber

No comments:

Post a Comment