Search This Blog

HOME

Wednesday, April 30, 2014

Hero dan Heroin Asal Star Wars Diumum Kembali Membintangi Filem Terbaru Episod VII

Barisan pelakon asal filem Star Wars iaitu dari kiri, Mark Hamill (Luke Skywalker), Carrie Fisher (Puteri Leia), Peter Mayhew (Chewbacca) dan Harrison Ford (Han Solo) kesemuanya akan kembali berlakon dalam Episod VII iaitu filem terbaru francais Star Wars yang akan memulakan pengambaran Mei depan di London.

SELEPAS berbulan-bulan menjadi bahan spekulasi akhirnya barisan pelakon-pelakon filem Star Wars Episod VII diumumkan oleh penerbit filem francais tersebut Walt Disney dan Lucasfilm yang antara lain turut menyaksikan hero dan heroin asal seperti Harrison Ford (Han Solo), Carrie Fisher (Puteri Leia), Mark Hamill (Luke Skywalker), Anthony Daniels (C-3P0), Peter Mayhew (Chewbacca) dan Kenny Baker (R2D2) kembali untuk membawa watak masing-masing.

Ia adalah berita yang sudah pastinya akan mengembirakan para peminat setia filem ini yang sememangnya mahukan pelakon-pelakon asal kembali dalam episod VII ini.

Laman web rasmi Star Wars turut mengumumkan senarai beberapa pelakon baru seperti John Boyega, Daisy Ridley, Oscar Isaac, Andy Serkis, Domhnall Gleeson dan Max von Sydow.

Filem terbaru ini akan diarahkan oleh JJ Abrams dan dijadual untuk ditayangkan di pawagam mulai 18 Disember 2015.

Pihak penerbit turut mengeluarkan sekeping foto yang menunjukkan JJ Abrams sedang duduk berbincang dengan barisan pelakon-pelakonnya termasuklah Ford, Fisher, Hamill, Anthony Daniels, Peter Mayhew dan ramai lagi.

Ini adalah filem pertama Star Wars selepas Disney mengambil alih kesemua kepentingan francais daripada George Lucas dan berjanji akan menerbitkan episod baru setiap dua tahun mulai 2015.

Ketika filem pertama Star Wars muncul di pawagam pada 1977, hampir kesemua pelakon utamanya berusia dalam lingkungan 20an dan 30an tetapi kini Harrison Ford sudah pun berusia 71 tahun, Mark Hamill, 62, dan Carrie Fisher, 57 dan Peter Mayhew, 69.

Dengan pemilihan para pelakon selesai, pengambaran akan bermula Mei ini dengan plot cerita bermula 30 tahun selepas Return of the Jedi yang diterbitkan pada 1983. Ia adalah filem terakhir Star Wars (iaitu episod VI) sebelum kisah ini kembali ke belakang dalam bentuk prekuel dengan Episod I, II dan III.

Tidak sepertimana filem-filem yang lain, filem Star Wars bermula dengan Episod IV terlebih dahulu iaitu sesuatu yang tidak pernah dilakukan dalam sejarah filem moden Hollywood.

Ia kemudian diikuti oleh Episod V dan VI.

Selepas terhenti selama berbelas tahun, Lucas kemudiannya memulakan pengambaran untuk Episod I, II dan III yang menceritakan bagaimana guru Luke Skywalker iaitu Obi Wan Kenobi melatih bapanya Anakin daripada seorang padawan menjadi Jedi sepenuhnya sebelum Anakin mentransformasikan dirinya menjadi Darth Vader dan mengkhianati perjuangan pahlawan-pahlawan Jedi sebagai pelindung cakrawala dan berguru dengan ilmu hitam dalam Episod III.

Episod tersebut berakhir dengan Obi Wan membawa Luke yang masih bayi secara diam-diam ke planet asal keluarganya untuk dipelihara oleh pakciknya tanpa diketahui dan disedari oleh Anakin yang telah bertukar menjadi Darth Vader sepenuhnya.

Natalie Portman, Liam Neeson dan Ewan McGregor merupakan bintang-bintang utama dalam filem prekuel Star Wars, Episod I:The Phantom Menace (1999) manakala Hayden Christensen kemudiannya menyertai filem ini sebagai Anakin Skywalker dalam Episod II:Attack Of The Clones (2002) dan Episod III: Revenge Of The Sith (2005).

Jalan cerita Episod VII kini ditulis oleh penulis skrip asal Star Wars iaitu Lawrence Kasdan dan JJ Abrams sendiri hasil daripada draf awal yang disediakan oleh penulis skrip muda yang sedang mencipta nama sekarang Michael Arndt.

Kasdan sebelum ini menulis jalan cerita Episod V: The Empire Strikes Back dan Episod VI:Return Of The Jedi.

Sebahagian besar pengambaran akan dilakukan di Pinewood Studio, London.

George Lucas iaitu pencipta cerita asal Star Wars masih memainkan peranan utama sebagai pakar runding dalam projek terbaru ini.

Plot cerita masih dirahsiakan tetapi adalah dijangkakan yang beberapa lagi pengumuman penting akan dibuat menjelang 4 Mei ini yang dikenali oleh para peminat cerita ini di seluruh dunia sebagai 'Hari Star Wars'.


Sumber - mStar Online

No comments:

Post a Comment