Besarnya tikus....... |
LONDON: Satu keluarga yang pada mulanya menyangka yang loteng rumah mereka sedang diserang anai-anai 'terkejut beruk' apabila mendapati sebenarnya ia adalah angkara seekor tikus gergasi sebesar kucing.
Tikus gergasi itu yang berukuran dua kaki panjang dari kepala ke ekor ditangkap di atas siling rumah keluarga Walters oleh pekerja-pekerja kawalan serangga yang dipanggil untuk memeriksa apa yang sebenarnya sedang terjadi di bawah bumbung rumah mereka itu.
Akhbar The Mirror memetik pemilik rumah tersebut Grace Walters sebagai berkata, pada mulanya mereka menyangkakan yang bahagian bumbung rumah mereka telah diserang anai-anai selepas terdengar bunyi bising seperti sesuatu sedang mengerit kayu.
“Kami kemudiannya terdengar seperti sesuatu sedang menguyah kayu.
“Selepas syarikat kawalan makhluk perosak datang membuat pemeriksaan dan selepas mereka meletakkan kamera barulah kami sedar yang sedang menguyah kayu itu adalah seekor tikus," katanya.
Menurutnya lagi, pekerja itu tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menebuk siling rumahnya untuk menangkap tikus gergasi tersebut.
Puan Walters menambah, mereka semua kemudiannya terkejut sebaik sahaja melihat kelibat tikus itu kerana ia terlalu besar dan hampir-hampir tidak mempercayainya.
Mereka tidak menyangka seekor tikus sebesar itu boleh menjadikan siling dan loteng rumah mereka sebagai kediamannya.
“Lebih menakutkan lagi ialah untuk mengetahui yang seekor tikus boleh membesar sebesar itu dan hidup di dalam rumah anda," kata Puan Walters lagi.
Marcus Giusti, kakitangan syarikat kawalan makhluk perosak itu berkata, tikus mula membiak dan membesar dengan pantas selepas kebanyakan negara Eropah meminda undang-undang yang menghadkan penggunaan racun kawalan makhluk perosak.
“Tidak syak lagi ini adalah tikus yang paling besar yang pernah kami tangkap setakat ini dan ia sangatlah merbahaya kepada seisi keluarga.
Hanya seminggu yang lalu, satu keluarga di Solna, Sweden menemui seekor tikus sebesar 16 inci hidup di dalam almari dapur mereka.
Sumber - myStar
No comments:
Post a Comment