Search This Blog

HOME

Monday, April 7, 2014

Pentadbiran negara Islam: Apa pendirian PKR sebenarnya?.

Apa pendirian parti ini berkaitan negara Islam?

Kini semakin jelas bahawa PAS, DAP dan PKR mempunyai agenda masing-masing dalam politik Malaysia. Sasaran perjuangan mereka adalah berbeza. Yang menyatukan mereka ialah impian untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) sahaja.

Perkara ini ditegaskan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din bagi memperingatkan bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh,supaya menghormati asas kerjasama di antara ketiga-tiga parti untuk tidak mencampuri urusan dan gerak perjuangan parti masing-masing.

Ingatkan Karpal Singh jangan campur urusan PAS  
"Sementara menunggu tercapainya matlamat akhir iaitu menubuhkan kerajaan (Pusat) kita diberi kesempatan untuk memerintah negeri maka berlaku seperti sekarang ini, ada negeri PKR, yang mana Kelantan diperintah PAS dengan agendanya.

"DAP di Pulau Pinang telah kita lihat program agendanya berjalan. PKR dengan Selangornya.

"Kita tidak pernah mengganggu urusan kerajaan DAP di Pulau Pinang dan juga tidak pernah mengganggu gugat polisi PKR Selangor.


"Seperti itulah saya harapkan agenda politik PAS di Kelantan berjalan dengan tidak ada gangguan daripada kawan-kawan Pakatan," kata Datuk Haron.

Awal minggu ini, Ahli Parlimen Gelugor, Karpal Singh, buat kesekian kalinya membidas usaha kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Mahkamah Jenayah Syariah Kelantan II atau hudud.

Karpal menegaskan, pelaksanaan hukum Hudud walaupun telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 1993 namun bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Bantahan itu susulan cadangan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mahu membentangkan usul rang undang-undang persendirian menerusi ahli Parlimennya bagi mengisytiharkan enakmen berkenaan dilaksanakan di Kelantan.

Datuk Ahmad Yakob mahu membentangkan usul rang undang-undang persendirian menerusi ahli Parlimennya
Ahmad menjelaskan, jika Parlimen meluluskan usul berkenaan, maka kerajaan Kelantan akan melaksanakan hudud seawal tahun hadapan.

Karpal menganggap kenyataan Ahmad tidak tepat sementara pendirian DAP jelas tidak akan berkompromi di dalam pelaksanaan hudud.

"Pakatan Rakyat menggabungkan tiga parti yang memang masing-masing mempunyai perjuangan asasnya sendiri.

"Perjuangan asas ini memanglah hakikatnya berbeza, DAP dengan agendanya, PKR dengan agendanya begitu juga dengan PAS.

"Kita (PR) hanya bergabung atas kepentingan bersama bagi menghadapi musuh politik bersama dengan lunas-lunas demokrasi membolehkan kita capai matlamat bersama menubuhkan kerajaan PR," jelasnya.

Penegasan PAS sudah pasti menampilkan persoalan, apakah yang akan berlaku jika “perkahwinan mutaah politik itu” berhasilmelahirkan kerajaan pusat Pakatan Rakyat?

Tidakkah itu satu “janji” bahawa DAP, PAS dan PKR memang sudah menjangka apabila BN ditewaskan, mereka akan bertelingkah sesama sendiri?

Tidakkah itu juga isyarat bahawa ketiga-tiga parti itu sedar dan insaf demi menegakkan perjuangan masing-masing, mereka sudah dan sentiasa mempersiapkan diri untuk “berperang” di antara satu dengan lain.

Malapetaka memang sedia menanti jika Pakatan Rakyat berjaya menguasai parlimen. Perbezaan asas ini adalah ibarat “api dalam sekam” menurut kerangka politik Pakatan Rakyat.

Ia seolah-olah ikrar bahawa jika BN tumbang dalam pilihanraya umum ke-14, kira-kira empat tahun lagi, perang besar bakal berlaku di antara PAS, PKR dan DAP kerana perbezaan di antara mereka membabitkan soal asas dan matlamat.

Apa yang baiknya daripada polemik hudud ini ialah, sekurang-kurangnya PAS masih ada keberanian politik untuk mengumumkan apakah asas dan matlamat perjuangannya.

Begitu juga dengan DAP. Ia tetap mahu Malaysia menjadi sebuah negara sekular. Namun DAP juga wajib memperjelaskan sama ada ia memilih Malaysia menjadi negara sekular kerana ia tidak yakin pada Islam atau sebenarnya fobia kepada apa-apa jua bernama Islam?

Dalam pada itu, yang paling ditunggu ialah apakah dasar dan matlamat perjuangan PKR? Adakah ia mahu pentadbiran negara menurut ajaran Islam atau tidak?

Persoalan ini perlu dijawab dengan jelas oleh PKR kerana ia tidak boleh selamanya berselindung di sebalik hujah bahawa kaedah demokrasi akan menentukan sama ada Islam akan mencorakkan pengurusan Malaysia jika Pakatan Rakyat memerintah.

Ini mencurigakan. Jika ditakdirkan Pakatan Rakyat menang pilihanraya umum ke-14, dan DAP memperolehi kerusi sama banyak dengan PAS, ke manakah undi PKR akan ditujukan – negara Islam atau tidak? 

Lebih baik perkara ini dileraikan segera. Jika tidak natijahnya lebih menggerunkan berbanding dengan betapa runcingnya keadaan hubungan kaum dan agama di negara ini sekarang.

Ujian ketelusan dan keikhlasan PKR dalam menentukan bahawa Pakatan Rakyat adalah alternatif terbaik untuk BN ialah sama ada ia akan menyokong usul yang hendak dibentangkan PAS dalam Dewan Rakyat.

Untuk berlaku adil dan mahu menjadi benar-benar menjadi penegak keadilan, PKR, terutama Mursyidul Amnya, Anwar Ibrahim, perlu jujur. Beliau perlu menyatakan pendiriannya sekarang. Mahu pentadbiran Islam atau  tidak?


Sumber - Antarapos (Ditulis oleh: Abdul Rahman Malik)

No comments:

Post a Comment