Search This Blog

HOME

Wednesday, April 2, 2014

MH370 - Shila Amzah kena tempias, kedudukan merudum.

Antara aksi Shila dalam I Am A Singer ketika menyampaikan lagu Mandarin.

Selepas menduduki tangga pertama dalam minggu ke-10 program realiti I Am A Singer di China, kedudukan penyanyi terkenal Malaysia, Shila Amzah tiba-tiba merudum ke tangga keenam pada minggu berikutnya.

Difahamkan, penyanyi berusia 24 tahun yang semakin popular di China itu diboikot pengikut program realiti popular berkenaan berikutan ketidakpuasan hati rakyat China terhadap cara pihak berkuasa negara ini mengendalikan misi mencari pesawat Penerba­ngan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Memang mengejutkan kerana persembahan Shila dengan lagu Rolling In The Deep pada minggu ke-10 program terbitan Hunan TV dua minggu lalu itu bukan saja mendapat pujian tetapi memperoleh undian terting­gi daripada penonton termasuk juri, sekali gus meletakkan dia di kedudukan pertama.

Namun pada minggu ke-11 yang juga pusingan separuh akhir, Shila yang membawakan lagu Yang Chong tersingkir ke kedudukan keenam.

Ibu Shila, Fauziah Sarman ketika dihubungi berkata, Shila sendiri menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

“Kami tidak mahu membuat sebarang andaian berhubung perubahan kedudukan yang sangat drastik itu disebabkan ada kaitan dengan isu MH370.

“Shila bersikap terbuka dengan keputusan itu. Baginya, perkara ini biasa apatah lagi sudah sampai ke peringkat separuh akhir, strategi undian penonton juga berubah kerana masing-masing mahu menyelamat­kan peserta tertentu.

“Kalau nak kata Shila diboikot, ketika insiden MH370 hangat diperkatakan di China, Shila tetap dilayan dengan baik dan peminat yang terserempak dengan Shila begitu teruja nak bergambar,” katanya.

Fauziah berkata, jika benar Shila diboikot gara-gara isu berkenaan, Shila tetap optimis untuk terus berjuang dan berharap mampu mengharumkan nama negara.

“Bagi Shila apabila dia berada dalam satu ­pertandingan dan memperoleh peluang, tiada alasan untuk patah semangat atau sambil lewa ketika membuat persembahan,” katanya.

Selain itu, peminat I Am A Singer dan juri profesional program itu turut terkejut dengan kedudukan Shila yang tiba-tiba merudum.

Ramai di antara mereka memberikan kata-kata perangsang supaya Shila kembali memperkemaskan kedudukannya selain ada yang mendoakannya muncul juara pertandingan itu.

Sejak kemasukan Shila di minggu keempat program itu, ‘rating’ I Am A Singer naik mendadak kerana orang ramai tertarik dan teruja dengan gadis berhijab dan berbakat besar dari Malaysia ini.

Shila yang popular ­dengan lagu Patah Seribu mula dikenali di China selepas menjuarai pertandingan Asian Wave di Shanghai pada 2012.

Sumber - Harian Metro

No comments:

Post a Comment