KUALA LUMPUR, 25 APRIL 2013: Jika Hafiz Suip bakal menyerlahkan belangnya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Jun ini, penyanyi tersohor Dato' Siti Nurhaliza juga akan menunjukan persona vokal menawannya di pentas yang sama pada Julai depan.
Sebuah sejarah bakal tercipta dalam industri seni tanahair apabila DFP menerusi pemuzik hebat Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) akan berkolaborasi dengan Dato' Siti Nurhaliza dalam muzik ekstravaganza untuk tiga malam berturut-turut iaitu pada 5, 6 dan 7 Julai akan datang.
Kolaborasi yang sama pernah dilaksanakan dengan jayanya oleh pihak MPO dengan beberapa penghibur tenama seperti Tan Sri SM Salim, Dato' Sheila Majid, Dato' M Nasir, Tengku Ahmad Irfan, Bobby Chen, Foo Mei Yi, Dato' Yusni Hamid, Datin Paduka Julie Sudiro dan juga Aishah.
Konsert itu akan terus menyaksikan keunggulan MPO yang melangkau pelbagai genre muzik, dari muzik klasikal barat ke runut bunyi filem, irama tradisional, pop, jazz dan kontemporari.
Ditubuhkan pada tahun 1998, MPO terus menyajikan persembahan bertaraf antarabangsa kepada pelbagai lapisan penonton menerusi lebih kurang 100 buah konsert setiap musim di DFP.
MPO juga telah melebarkan sayapnya ke negara luar seperti Singapura, Taiwan, Korea, China, Jepun dan Australia.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pihak DFP semalam, kolaborasi hebat bersama Dato' Siti Nurhaliza itu adalah bersempena sambutan ulangtahun DFP/MPO yang ke15.
"Kolaborasi terbaru ini bakal melakar sejarah tersendiri lantaran Siti Nurhaliza sendiri adalah sebuah nama besar dalam industri seni suara bukan hanya di Malaysia bahkan di benua Asia.
"Dengan kejayaan 20 buah album dan pengalaman 18 tahun dalam bidang seni, kolaborasi Siti Nurhaliza bersama MPO ternyata sangat dinantikan ramai," kata sumber daripada MPO dan DFP.
Ini merupakan persembahan kali kedua Siti Nurhaliza bersama MPO, di mana kali pertama menyaksikan dia sebagai artis undangan dalam konsert Tan Sri SM Salim bersama MPO pada tahun 2001.
Dicungkil bakatnya menerusi rancangan Bintang HMI terbitan RTM pada tahun 1995, Siti Nurhaliza melancarkan album perdananya setahun kemudian.
Pada usia 20 tahun, beliau telah mengadakan konsert solo pertama di Bukit Jalil pada tahun 1999. Ini diikuti dengan kejayaan mengadakan konsert di Royal Albert Hall, London pada tahun 2005. Kemudian, beliau mengadakan Konsert Fantasia Tour di 13 negeri, selain dari persembahan di Indonesia, Singapura dan Brunei.
"Persembahan Siti Nurhaliza bersama MPO, bakal membawa penonton menyusuri perjalanan seni beliau, sedari awal penglibatan di Kuala Lipis, Pahang hingga berdiri teguh sebagai salah seorang artis tersohor negara.
"Para penonton bakal dihiburkan dengan interpretasi simfoni dari MPO untuk lagu-lagu popular beliau seperti Muara Hati, Purnama Merindu, Cindai, Biarlah Rahsia, Hanya Dia, Seindah Biasa, Badarsila, Kau Kekasihku, Di Taman Teman dan beberapa medley," jelas kenyataan media berkenaan.
Persembahan hebat ini adalah di bawah siri DFP Showcase yang bakal dipimpin oleh konduktor Kevin Field di dalam dewan indah yang mampu memuatkan seramai 900 penonton dalam satu masa.
Tiket dijual pada harga, RM150, RM250, RM330 dan RM400 yang boleh dimiliki dengan membuat tempahan telefon 03-20517007 atau tempahan email di
dfp_boxoffice@petronas.com.my dan layari laman web www.dfp.com.my & www.mpo.com.my.
No comments:
Post a Comment