Batu Pahat - PAS merasakan terkejut dan pelik dengan kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez, yang meminta masyarakat bukan Islam tidak mengundi PAS.Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Aminolhuda Hassan, menyifatkan kenyataan Fernandez mengecewakan kerana ia dibuat secara melulu dan tidak kena pada masanya.
Katanya, pendirian Fernandez membawa pembangkang selangkah ke belakang, sekali gus dibimbangi menjejaskan sasaran mereka menguasai lebih banyak negeri, termasuk Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
“Kami amat terkejut dan kecewa dengan pendirian Fernandez itu. Adalah tidak wajar beliau membuat permintaan sebegitu ketika PRU-13 semakin hampir.
“Pada saya, dia tidak mengikut arus. Sepatutnya dia harus bersyukur kerana masyarakat Johor, tidak kira Melayu, Cina dan India adalah masyarakat saling menghormati dan hidup harmoni.
“Dalam pembangkang khususnya di Johor, kami sudah ada kesepakatan tetapi Fernandez mencetuskan syak wasangka dan kebimbangan pengundi bukan Melayu terhadap PAS,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Rayu bukan Islam
Kelmarin, Fernandez yang juga pemimpin nombor dua DAP Johor itu membuat kejutan apabila dilaporkan merayu pengundi bukan Islam supaya tidak mengundi PAS.
Fernandez berkata, bukan Melayu perlu memikirkan dengan teliti sama ada mereka mahu memperjudikan masa depan mereka bersama PAS berikutan ikrar Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, untuk terus memperjuangkan agenda negara Islam jika pembangkang menang PRU-13.
Sementara itu, Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, berkata pihaknya tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap Fernandez berhubung kenyataannya.
Di Kuala Lumpur, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataan Fernandez sebagai ‘pelik’, menentang arus dan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).
Katanya, Fernandez tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan semangat setia kawan dalam pembangkang, apatah lagi mencurigai antara satu sama lain.
“Kita rasa pelik dalam semua parti komponen berdepan dengan usaha untuk melawan BN, namun ada juga pemimpin yang menentang arus. Sepatutnya kita bekerjasama dan tolong menolong antara satu sama lain tanpa perlu ada rasa curiga,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Aktivis PAS, Mohd Riza Kamaruddin, berkata kenyataan Fernandez juga membawa maksud warga Muslim dalam PAS dan PKR tidak mengundi calon DAP.
“Kesangsian dan keraguan Fernandez sepatutnya menjadi kayu pengukur terhadap kesepakatan dalam pakatan pembangkang serta memberi gambaran selama ini mereka bersama dengan PAS hanya ‘mesra di luar tapi gelora di dalam’,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman menggesa PAS keluar daripada pakatan sekiranya tidak mahu terus diperkudakan DAP.
No comments:
Post a Comment