GAMBAR terbaru Zamani selepas menjalani rakaman Konsert Suara Hati Daripada Lelaki Untuk Wanita di Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar NOOR ADZRENE MOHD. NOOR
SUARA Zamani memang tidak berubah sejak dia mula menyanyi bersama kumpulan Slam pada 1993 sehinggalah kini. Suaranya yang lemak merdu itu juga masih diminati para pendengar termasuklah generasi muda. Cuma yang sedikit berubah adalah fizikal atau tubuhnya.
Justeru, apabila melihatkan kemunculan terbarunya itu ramai yang agak terkejut dengan susuk badannya yang lebih kurus berbanding dulu. Ramai peminat yang mungkin tertanya-tanya apa sebenarnya sudah jadi dengan penyanyi berusia 42 tahun dan masih berstatus bujang ini.
Menurut Zamani, dia menafikan menghidap sebarang penyakit kronik, malah pada masa sama berasa bahagia dengan kehidupan seharian yang sedang dilaluinya kini. Baginya kerjaya sebagai penyanyi menyebabkan dia selalu berasa terhibur dan sibuk dengan undangan menyanyi.
Saya sihat sahaja macam biasa, mungkin badan saya lebih kurus dan tidak macam dulu.
Dulu pun saya kurus juga tetapi tidaklah kurus macam sekarang. Mungkin sibuk dengan menyanyi saya sampai tidak ada masa untuk menguruskan diri sendiri, badan jadi semakin mengecil, " komennya ringkas.
Tahun ini genap 20 tahun Zamani menjadi penyanyi sepenuh masa. Memulakan kerjayanya bersama kumpulan Slam pada 1993, penyanyi berkonsepkan balada dan pop rock berasal dari Kuala Lumpur ini mencipta satu demi satu kejayaan dalam bidang yang diceburinya itu.
Selepas dua dekad, nama Zamani juga masih utuh dalam persada muzik tempatan. Meskipun tampil solo dan tidak lagi diiringi persembahannya bersama Slam tetapi penyanyi ini tetap terus bersemangat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni yang amat diminatinya itu.
Rugi ratusan ribu
Menurut Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, dia menganggap bidang nyanyian telah serasi dalam kehidupannya seharian sejak dua dekad yang lalu.
Ini kerana, selain berkecimpung dalam dunia seni suara dia juga pernah terbabit dalam bidang perniagaan suatu ketika dulu.
Sayangnya, kata penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Gerimis Mengundang ini, dia pernah gagal dalam perniagaan yang dijalankannya pada tahun 1990-an. Pengalaman itu seakan-akan memberi isyarat kepada Zamani bahawa bakat serta rezekinya lebih dalam bidang nyanyian.
Saya pernah menjalankan perniagaan menjual kereta dan mengusahakan kedai dobi pada tahun 1990-an.
Saya lakukan semua itu sebagai sumber pendapatan tambahan selain menyanyi. Tetapi mungkin rezeki saya bukan dalam bidang perniagaan walaupun saya minat berniaga.
Perniagaan yang saya jalankan itu cuma mampu bertahan selama kira-kira setahun sahaja. Saya tidak mahu meneruskan perniagaan itu selepas mengalami kerugian ratusan ribu ringgit. Sejak saat itu, saya hanya memberi tumpuan kepada bidang nyanyian sahaja sampailah sekarang," ujarnya.
Penyanyi bersuara lunak merdu ini ditemui selepas rakaman Konsert Suara Hati Daripada Lelaki Untuk Wanita di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini. Zamani muncul bersama Ramli Sarip, Azlan The Typewriter dan Hafiz AF dalam rakaman itu.
No comments:
Post a Comment