Search This Blog

HOME

Sunday, July 13, 2014

Aman Palestin hantar lima doktor pakar ke Gaza


KUALA LUMPUR 14 Julai - Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) akan menghantar misi kecemasan ke Gaza Jumaat ini terdiri daripada lima pakar perubatan iaitu dua pakar bedah ortopedik, dua pakar bius dan seorang pakar neurologi.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut berkata, misi tersebut akan turut membawa bekalan ubat-ubatan dan wang tunai sumbangan rakyat Malaysia bagi membeli segala keperluan untuk rakyat Palestin.

Katanya, sebelum ini, Aman Palestin telah menghantar sumbangan sebanyak RM1.3 juta ke Palestin yang dibelanjakan bagi membeli makanan untuk sahur dan berbuka puasa kepada penduduknya.

"Rombongan tersebut diketuai Dr. Mohamad Nor Sundari dari Pusat Perubatan Pantai, Dr Zairul Nizam Zainol Fitri dari Hospital Pakar Senawang dan Dr Mafeitzal Mamat dari Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Turut menyertai rombongan itu adalah Dr. Hasbe Zuraina Abu Bakar dari Hospital Columbia Setapak dan Dr. Kamarul Al-Haq Abd. Ghani dari Hospital Serdang," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Iftar Amal 2014 di sini semalam.

Menurut Awang Suffian, pihaknya akan berurusan dengan kerajaan Mesir untuk memastikan misi berkenaan sampai ke Gaza melalui pintu Rafah.

Sementara itu, dalam sidang video bersama Pengurus Aman Palestin di Gaza, Sayyem Omar, beliau memaklumkan, keadaan di situ semakin genting apabila tentera rejim Zionis bukan sahaja menyerang rakyat Palestin, malah para pengamal perubatan dan wartawan dari luar negara turut menjadi sasaran mereka.

Menurut beliau, seorang doktor yang sedang bertugas di dalam van ambulans terbunuh manakala seorang wartawan yang melakukan liputan di kawasan berhampiran turut terkorban akibat dibom.

Katanya, paling menyayat hati apabila 18 orang dalam sebuah keluarga termasuk enam wanita terbunuh hari ini ketika keluar dari sebuah masjid.

"Setakat ini (pukul sembilan malam waktu Malaysia semalam) sebanyak 176 telah terbunuh manakala 1,500 yang lain mengalami kecederaan kerana dibom oleh tentera Israel.

"Di mana-mana sahaja tidak selamat sekarang. Bom datang dari semua arah dan apa-apa sahaja pergerakan di darat akan dibom," jelasnya.


Sumber - Utusan Online

No comments:

Post a Comment