Search This Blog

HOME

Saturday, July 12, 2014

3 sindiket kuasai mesin judi haram

Mesin judi - Hanya balaci bukan taukeh yang ditangkap

Mukadimah :

WALAUPUN kegiatan mesin judi haram kini sedang digempur oleh pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun bagi sesetengah pengusaha kegiatan haram tersebut mereka tidak berasa gentar. Dalam laporan kali ini, wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan SITI ROHAIZAH ZAINAL mendedahkan pula bagaimana penglibatan sindiket dalam mendalangi kegiatan mesin judi haram tersebut. Turut dipaparkan hasil tinjauan di beberapa negeri yang membuktikan mesin judi haram terus menjadi ancaman kepada masyarakat khususnya orang Melayu.

KUALA LUMPUR 12 Julai - Sekurang-kurangnya tiga sindiket dikenal pasti menjadi dalang kegiatan mesin judi haram di enam buah negeri yang mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit setiap hari dengan menjadikan orang Melayu sebagai pelanggan utama.

Sindiket itu dikatakan menguasai perjudian haram di Melaka, Lembah Klang, Perak, Pulau Pinang dan Johor serta beroperasi dengan sokongan segelintir anggota penguat kuasa khususnya dalam kalangan pihak berkuasatempatan (PBT).

Sumber memberitahu, sindiket itu juga dibantu oleh kumpulan gengster yang bertindak sebagai pelindung dan orang perantaraan (runner) bagi memastikan kegiatan mereka tidak diganggu oleh mana-mana pihak.

"Apa yang mengejutkan kumpulan gengster Melayu turut terlibat dan kebiasaannya mereka dijadikan sebagai runner khususnya dalam menjalankan rundingan dengan pihak berkuasa . Selain itu mereka juga diberi upah untuk mengawal sesuatu kawasan yang mempunyai premis perjudian,’’katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sumber itu mendakwa, tiga sindiket tersebut yang dikuasai tiga individu menjalankan kegiatan haram berkenaan dengan pelbagai taktik dan berpusat di sebuah ne­geri di selatan.

"Sindiket pertama merupakan sindiket terbesar di sebuah negeri di selatan dan menjadikan pusat latihan snuker sebagai tempat pengumpulan hasil perjudian setiap hari. Ia juga didapati telah menghantar sekurang-kurangnya 10 permohonan lesen premis pusat hiburan keluarga kepada PBT.

"Selepas mendapatkan lesen-lesen tersebut, premis berkenaan akan dijadikan sebagai pusat kegiatan mesin judi haram. Sindiket ini juga mempunyai rangkaian yang beroperasi di Pulau Pinang, Perak dan sebuah negeri di Lembah Klang dan memonopoli kegiatan tersebut bagi zon selatan,’’ kata sumber itu lagi.

Sindiket kedua pula, dedah sumber tersebut, dianggotai oleh kumpulan gengster dan berselindung di sebalik perniagaan kereta terpakai.

"Sindiket tersebut menguasai kegiatan perjudian haram di sebuah negeri di selatan dan menggunakan khidmat dua individu yang bertindak sebagai orang perantaraan dengan PBT serta agensi penguat kuasa,’’ katanya.

Bagi sindiket ketiga pula, sumber itu mendakwa, ia dikendalikan oleh sebuah syarikat dari sebuah lagi negeri di selatan.

"Maklumat menunjukkan sindiket ini mempunyai kaitan dengan beberapa individu berpengaruh sehingga ia menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan,’’ dakwa sumber itu lagi.

Mengulas mengenai modus operasi ketiga-tiga sindiket berkenaan, sumber itu berkata, premis kegiatan tersebut menjadikan pintu belakang sesebuah premis sebagai laluan masuk dan dlengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

"Mereka menggunakan kod warna lampu berbeza di luar premis iaitu biru, hijau, merah dan kuning sebagai isyarat bahawa ia dilindungi oleh agensi penguat kuasa tertentu termasuk PBT,’’ katanya.

Sumber itu berkata, kain kanvas juga dipasang di hadapan premis bagi memberi isyarat kepada pelanggan sama ada pusat mesin judi haram tersebut beroperasi atau tidak.

"Sekiranya kain kanvas dipasang terbalik ataupun digulungkan ia bermakna premis tersebut ditutup dan jika kain kanvas berkenaan terbuka, ia bermaksud premis itu sedang beroeprasi biarpun pintu hadapannya ditutup,’’ kata sumber itu lagi.

Ketiga-tiga sindiket berkenaan juga kata sumber itu menggunakan khidmat tonto bagi mengawasi premis-premis mereka biar pun tidak beroperasi.


Sumber - Utusan Online

No comments:

Post a Comment