Search This Blog

HOME

Monday, July 14, 2014

Ikhlas Dalam Menuntut Ilmu


Para Ulama selalu menekankan perihal adab dalam menuntut ilmu. Kerana yang menjadikan ilmu itu bermanfaat dan berkat adalah apabila disertai dengan adab daripada para penuntut ilmu. 

Saya suka mengungkapkan perkataan Al-Imam Al-Muhaddis Abdullah bin Al-Mubarak rahimahullah, seorang tokoh ulama salaf, seorang tabi’ tabi’in yang hidup sebelum zaman Imam Al-Syafi’i rahimahullah. Beliau mengatakan bahawa adab menuntut ilmu ada enam;

Pertama: Ikhlas.
Kedua: Mendengar dengan baik.
Ketiga: Faham.
Keempat: Menulis.
Kelima: Beramal dengan ilmu tersebut.
Keenam: Mengajarkan ilmu tersebut kepada orang lain.


SUKARNYA MENJAGA KEIKHLASAN

Berapa ramai manusia pada hari ini menghadiri majlis-majlis ilmu, mempelajari ilmu agama dalam keadaan tidak ikhlas. Sama ada sekadar ingin mengisi masa lapang, atau ingin mencari kesilapan dan kesalahan orang, atau bertujuan mendapat ganjaran-ganjaran tertentu, anugerah tertentu, ingin dilihat dan disanjung oleh sebahagian manusia, dan sebagainya. 

Allah SWT dan Rasulullah SAW memurkai ibadah tanpa disertai dengan ikhlas. Ikhlas adalah perintah Allah SWT. Menuntut ilmu agama merupakan fardu ain yakni wajib ke atas setiap individu Muslim. Nabi SAW bersabda, “Menuntut ilmu (agama) itu wajib atas setiap Muslim.” (Sahih. Riwayat Ibnu Majah) 

Apabila arahan ini datang daripada Nabi SAW, maka melakukannya merupakan ibadat, dan setiap ibadat mestilah terbina di atas keikhlasan. Sekiranya kita sekadar menuntut ilmu untuk mengisi masa lapang, kita tidak mendapat sebarang ganjaran. Menuntut ilmu adalah ibadah, dan setiap ibadah terbina dengan keikhlasan dan mengikuti Nabi SAW. 

Firman ALLAH SWT, “Tidaklah kalian diperintah untuk beribadat kepada Allah melainkan dengan ikhlas.” (Surah Al-Bayyinah: 5) 
Nabi SAW menceritakan tentang ikhlas dalam hadis yang masyhur, “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat, dan setiap manusia itu bergantung pada apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrah kerana Allah dan Rasul maka hijrahnya kerana Allah dan Rasul, barangsiapa yang hijrahnya kerana dunianya atau wanita yang ingin dinikahi, maka hijrahnya adalah apa yang dia niatkan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Imam Al-Syafi’i apabila melihat hadis ini beliau berkata, “Hadis ini termasuk dalam 70 cabang daripada cabang-cabang ilmu.” 

Hadis ini cukup besar pengertiannya bagi orang-orang yang memahami tentang keikhlasan. Imam Al-Bukhari meletakkan hadis ini sebagai hadis yang pertama. Imam Al-Nawawi dalam kitab Riyadhus Solihin meletakkan hadis ini sebagai hadis yang pertama. Dalam kitab Al-Azkaar beliau meletakkan hadis ini sebagai hadis yang pertama. Dalam kitab Hadis 40, beliau meletakkan hadis ini sebagai hadis yang pertama. Ini menunjukkan betapa ulama-ulama dulu apabila hendak menulis, mereka mengingatkan diri mereka tentang keikhlasan, tentang niat. 

Ini juga menunjukkan betapa niat yang ikhlas itu mesti wujud di dalam setiap amal ibadah yang hendak dikerjakan. Oleh itu kita perlu pandang serius perihal niat. Kerana niat manusia mendapat ganjaran pahala, kerana niat manusia mendapat dosa. 

Imam Muslim meriwayatkan hadis menceritakan tentang tiga golongan manusia yang mana di dunia mereka dimuliakan oleh masyarakat. 

Golongan yang pertama adalah seorang yang telah gugur di medan perang. Dia dipanggil dan ditunjukkan kepadanya nikmat yang telah diberikan kepadanya, dan ditanya kepadanya apakah yang telah dia lakukan dengan nikmat itu. Maka dia mengatakan bahawa, ‘Ya Allah, sungguh aku telah berjuang di jalanMu sehingga aku gugur di medan perang’. Lalu Allah mengatakan, ‘Engkau telah berdusta. Sebaliknya engkau berjuang supaya dikatakan sebagai seorang yang berani, dan engkau telah diperkatakan sedemikian’. Maka dia diseret dengan mukanya, lalu dihumban dalam api Neraka. 

Golongan kedua pula adalah orang yang telah menuntut ilmu, mengajarnya dan membaca Al-Quran. Dia dipanggil, lalu diperlihatkan kepadanya nikmat yang telah diberi kepadanya, lalu dia ditanya tentangnya. Dia mengatakan, ‘Sungguh aku telah menuntut ilmu dan mengajarnya untukMu Wahai Allah, dan aku telah membaca Al-Quran untukMu wahai Allah.’ Lalu dikatakan kepadanya, ‘Engkau berdusta. Engkau menuntut ilmu supaya engkau dikatakan sebagai alim, dan engkau membaca Al-Quran supaya engkau dikatakan sebagai qari’, dan engkau telah pun dikatakan begitu oleh manusia.’ Maka dia pun diseret dengan wajahnya di tanah dan dihumban dalam api Neraka. 

Golongan ketiga adalah orang yang telah diperluaskan kepadanya oleh Allah dengan diberikan segala bentuk harta kepadanya. Mereka diseru dan diperlihatkan nikmat yang telah diberikan, dan ditanya apa yang telah dilakukan dengan nikmat itu. Mereka menjawab, ‘Sungguh tidaklah jalan untuk aku berinfaq keranaMu wahai Allah, melainkan aku telah infaq pada jalan itu.’ Allah mengatakan, ‘Engkau berdusta. Engkau telah infaq hanya untuk dikatakan oleh manusia sebagai orang yang pemurah, dan engkau telah pun dikatakan begitu oleh manusia.’ Lalu dia diheret dengan wajahnya dan dihumban ke dalam api Neraka. (Riwayat Muslim) 

Subhanallah. Di dunia jutaan manusia mengangkatnya. Di dunia, jutaan manusia memuji dan memujanya, tetapi di Akhirat dia tergolong di kalangan ahli neraka. Semuanya kerana niat. Kerana itu setiap ibadah yang kita lakukan perlu bermula dengan niat yang benar. 

Seorang salaf, Yahya bin Kathir rahimahullah berkata, “Hendaklah kalian semua belajar tentang niat, kerana mempelajari tentang niat ini lebih berkesan daripada terus menerus mempelajari tentang amalan.” 

Kerana itu para ulama seringkali mengingatkan kita tentang kepentingan niat. Cukup cantik kiasan yang dibuat oleh Al-Imam Ibnu Al-Qayyim rahimahullah di mana beliau berkata, “Sesungguhnya suatu amalan tanpa keikhlasan dan tanpa mencontohi Nabi SAW adalah seperti seorang musafir yang memenuhi begnya dengan pasir. Memberatkannya tetapi tidak bermanfaat baginya.” 
Ini gambaran bagi manusia yang tidak ada keikhlasan dalam melakukan amal, dan juga manusia yang beramal tetapi tidak mencontohi Nabi SAW. Setiap amalannya di atas muka bumi sia-sia belaka. Dengan itu saya tekankan sekali lagi bahawa niat merupakan perkara serius yang wajib kita ingat mengingatkan sesama Muslim, khususnya dalam perlaksanaan apa jua ibadat. 
Menuntut ilmu adalah ibadat, maka berkewajipan bagi kita memulakan semangat menuntut ilmu dengan niat yang ikhlas hanya semata-mata inginkan keredaan Allah SWT.


PETANDA IKHLAS DALAM MENUNTUT ILMU

Keikhlasan dalam menuntut ilmu akan memberi kesan kepada seseorang. Salah satu tanda ikhlas dalam menuntut ilmu adalah ilmu tersebut akan bermanfaat bagi diri dan bermanfaat pula bagi orang di sekitarnya. Sabda Nabi dalam sebuah hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim, 

“Perumpamaan hidayah yang aku diutus oleh Allah dengannya dan ilmu adalah bagaikan air hujan yang turun membasahi bumi; ada bahagian tanah yang subur yang menyerap air maka ia menumbuhkan rumput dan tumbuhan yang banyak. 

Ada tanah gersang yang menampung air kemudian Allah menjadikannya manfaat bagi manusia. Maka mereka minum darinya, memberi minum haiwan ternak dan menanam. Dan ada pula tanah lain yang tandus gersang, ia tidak menyimpan air dan tidak pula bisa menumbuhkan tumbuhan. 

Itulah perumpamaan orang yang memahami agama Allah lalu dia mengambil manfaat dari apa yang aku diutus Allah dengannya, maka dia belajar dan mengajarkannya. Dan perumpamaan orang yang tidak menghiraukannya, dan tidak mahu menerima hidayah Allah yang aku diutus dengannya.” (Muttafaqun ‘alaih) 

Orang yang ikhlas sedar bahawa ilmu yang dicari adalah untuk diamalkan. Ilmu dicari sebagai bekal untuk memperbaiki ibadatnya kepada Allah, tidak terhenti setakat menambahkan ilmu semata-mata. Manakala orang yang niatnya rosak, dia tidak menjadikan beramal dengan ilmu sebagai matlamat dia mencari ilmu tersebut. 

Seorang yang ikhlas dalam menuntut ilmu juga akan menjadi bertambah takut kepada Allah, mempunyai takwa dalam dirinya sehingga melaksanakan segala tuntutan agama dalam kehidupan seharian serta menjauhi perkara-perkara yang dilarang. Ini sebagaimana firman Allah, “Sesungguhnya yang yang takut kepada Allah di antara hambaNya hanyalah orang yang berilmu” (Surah Fathir: 28) 

Sumber - Dr. Fathul Bari Mat Jahya


No comments:

Post a Comment