Search This Blog

HOME

Monday, July 14, 2014

Hukum Beramal Dengan Hadis Lemah Dan Palsu


Hajar al-Asqalani rhm. telah membuat perbezaan dan memberi pengertian setiap satu kedudukan hadis seperti sahih, hasan, dan lemah. Apa kepentingan untuk kita mengetahui ilmu ini? Apa tujuan kita mengetahui kedudukan hadis sama ada sahih, hasan, ataupun palsu?

Kita perlu mendapatkan kepastian dan kesahihan suatu hadis kerana kita hendak menjadikannya sebagai asas dan sumber rujukan dalam Agama. Kita hendak solat dengan cara yang betul, sebab itu kita mesti pastikan riwayat tentang solat yang sampai kepada kita adalah riwayat yang sahih (benar), bukan riwayat yang palsu (direka-reka) atau lemah dan diragui.

Sebahagian orang mengambil mudah dan tidak peduli. Asalkan ia disebut hadis, mereka menerima semuanya termasuk yang lemah dan palsu. Sedangkan hal ini melibatkan urusan Akhirat, yang menentukan amalan diterima atau ditolak, yang melibatkan syurga atau neraka, maka hendaklah setiap amalan yang dilakukan itu kita pastikan sahih datang dari Nabi SAW supaya diterima dan dihitung sebagai amal soleh. Sabda Nabi SAW, “Barangsiapa yang melakukan suatu amalan (ibadah) yang tidak kami perintahkan, maka ia tertolak.” (Riwayat Muslim)

Kalau amalan yang dilakukan tidak betul, bagaimana ia hendak dihitung? Analoginya, majikan memberi kerja kepada kita di pejabat sebagai kerani menaip surat. Dalam waktu bekerja kita membuat kerja lain seperti sapu sampah, cuci tandas, bersihkan sawang. Kemudian pada hujung bulan kita ‘claim’ upah sapu sampah dan sebagainya. Adakah majikan akan membayar upah bagi kerja yang tidak dipertanggungjawabkan ke atas kita? Semestinya tidak.

Begitu juga urusan kita dengan ALLAH, Allah telah memberikan garis panduan kerja, tanggungjawab dan tugasan yang kita perlu buat melalui RasulNya, jika kita buat selain dari apa yang ditunjukkan oleh utusanNya, adakah kita yakin ia diterima oleh ALLAH? Secara zahirnya ia tidak diterima kerana kita melakukan sesuatu yang di luar tugasan yang diberikan. Jadi untuk pastikan tugas yang dibuat itu betul, hendaklah kita teliti apa yang sampai kepada kita khususnya hadis Nabi, hendaklah dipastikan sahih agar amalan yang dilakukan bertepatan dengan kehendak Allah SWT dan RasulNya SAW.

HADIS DHA’IF

Hadis dha’if ialah hadis yang tidak sampai ke tahap hadis yang boleh diterima. Hadis yang boleh diterima ada dua; sahih dan hasan. Hadis sahih pula terbahagi kepada sahih lizatihi dan sahih lighairihi. Hadis hasan juga terbahagi kepada dua; hasan lizatihi, hasan lighairihi. Lizatihi merujuk kepada zatnya, yakni hadis itu sendiri sahih dan tidak perlu kepada sokongan. Adapun lighairihi, hadis itu menjadi sahih atau menjadi hasan kerana disokong oleh hadis lain.

Adapun hadis dhaif ialah hadis yang tidak sampai  tahap hadis yang boleh diterima. Ada beberapa pendapat para ulama bersangkutan hukum beramal dengan hadis dhaif;

Pendapat pertama mengatakan haram beramal secara mutlak. Ini pendapat Imam Al-Bukhari, Imam Muslim, juga guru Imam Al-Bukhari – Ali Ibn Al-Madini. Pendapat ini juga didokong oleh Abu Bakar Ibn Al-Arabi dan Imam Al-Syaukani.

Imam Muslim di dalam muqaddimahnya membuat satu bab khusus Haram Meriwayatkan Sesuatu Yang Kamu Tidak Pasti Datang Daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian beliau membawakan sebuah hadis, “Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.” (Riwayat Muslim)

Ada yang mendakwa tiada perkataan Imam Bukhari yang mengatakan tidak boleh beramal dengan hadis dhaif. Sememangnya Imam Bukhari tidak pernah menyebut secara jelas. Tetapi seperti yang dinyatakan oleh Syaikh Jamaluddin Al-Qasimi, begitu juga Al-Imam Ash-Shan’ani dan yang lain bahawasanya Imam Bukhari sangat tegas dalam mengambil sesuatu hadis. Ketegasan beliau sehingga beliau berhati-hati untuk beramal dengan hadis hasan. Apatah lagi hadis yang berstatus dhaif, seperti yang dinyatakan oleh Imam Ash-Shan’ani di dalam kitabnya Taudhihu Al-Afkar. Ini fahaman ulama hadis tentang kenyataan Al-Imam Al-Bukhari dalam kitab beliau.

Pendapat kedua mengatakan boleh beramal dengan hadis dhaif secara mutlak. Ini dikatakan sebagai pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafi’i, juga Imam Ahmad bin Hanbal. Kita harus faham bahawa ulama-ulama fuqaha sentiasa diminta fatwa. Mereka akan mendahulukan hadis dhaif berbanding logik akal fikiran. Tetapi sekiranya terdapat hadis sahih, mereka akan menggunakan hadis sahih dan menolak hadis dhaif. Oleh itu disandarkan kepada mereka kenyataan bahawa mereka membolehkan beramal dengan hadis dhaif.

Pendapat ketiga adalah boleh beramal dengan hadis dhaif berkaitan kelebihan amal (fadhail amal) tetapi dengan syarat. Ini pendapat yang masyhur dari Al-Imam An-Nawawi dan diulas oleh Al-Hafiz Imam Ibnu Hajar Al-Atsqalani.  Orang yang menggunakan pandangan ini hanya mengikut sebahagian syarat dan meninggalkan sebahagian yang lain. Mereka tidak mengikut kesemua syarat yang digariskan. Ini kerana syarat-syaratnya amat ketat;

  1. Hendaklah dhaif itu bukan dhaif yang bersangatan.
  2. Hendaklah hadis dhaif itu bukan berkaitan dengan hukum hakam, tetapi hanya berkaitan dengan kelebihan-kelebihan beramal. Jadi sekiranya hadis dhaif itu membentuk satu hukum, ia tertolak.
  3. Tidak boleh meyakini bahawa hadis itu datang dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
  4. Tidak boleh menyeru manusia beramal dengannya. Haram hukumnya menyebarkan hadis dhaif dan kemudian menyeru manusia beramal dengannya.
  5. Hendaklah hadis dhaif itu terhasil dari hukum yang asal yang telah sedia ada. Contohnya, hukum mentaati ibu bapa adalah wajib berdasarkan dalil dari Al-Quran dan hadis sahih. Maka kelebihan mentaati ibubapa termasuk dalam kelebihan beramal, at-targhib wat tarhib. Ia mestilah terhasil dari hukum asal yang sabit dari Al-Quran atau hadis sahih. Sekiranya kelebihan beramal itu membentuk suatu hukum baru maka ia tidak boleh diterima. Untuk membentuk hukum solat dengan kelebihan tertentu tidak dibolehkan, sebab itulah Imam Al-Nawawi sendiri menolak solat Raghaib sempena awal bulan Rejab kerana tiada hadis Nabi SAW tentang solat Raghaib. 

Inilah lima syarat yang diperuntukkan oleh Imam Al-Nawawi sebelum membolehkan beramal dengan hadis dhaif. Sedangkan adakah orang yang beramal dengan hadis dhaif mengikuti semua syarat-syarat ini? Mereka menyeru orang beramal dengannya, bahkan orang awam tidak mampu membezakan hadis yang kurang daif atau bersangatan daifnya. Jadi jika tidak mampu memenuhi syaratnya  maka jangan beramal, tinggalkanlah yang dhaif kerana di sana terdapat banyak hadis-hadis sahih yang belum diamalkan. Beramallah dengan hadis-hadis sahih.

HADIS PALSU

Saya pernah mencadangkan agar diwujudkan satu akta penyebaran hadis di bawah jabatan agama. Di bawah akta ajaran sesat contohnya boleh dimasukkan satu akta khas penyebaran hadis. Dahulu pada sekitar kurun kedua dan ketiga hijrah, penyebar hadis palsu dihukum bunuh atau dipenjara seumur hidup.

Maisarah Ibnu Abd Rabbuh, Nuh Ibn Abi Maryam dan Muhammad Ibn Sa’id Al-Mashlub adalah pemalsu hadis dan semua dihukum bunuh. Nuh Ibn Abi Maryam dibunuh kerana menyebarkan kelebihan surah dalam Al-Quran. Ketika ditanya pemerintah mengapa dia mencipta hadis palsu, jawabnya adalah kerana manusia pada masa itu sibuk dengan kitab sejarah Ibn Ishaq dan fiqh Imam Abi Hanifah sehingga tidak membaca Al-Quran jadi beliau menciptakan hadis bertujuan menarik minat manusia agar membaca Al-Quran.

Di Malaysia masih banyak buku, penceramah yang menyampaikan hadis palsu, kisah Umar Al-Khatthab ra. menanam hidup-hidup anak perempuannya semasa kecil diceritakan oleh guru-guru sekolah. Orang mendengar kisah tersebut sehingga menangis kesedihan. Walhal kisah ini karut dan tuduhan palsu ke atas Umar. Mana mungkin Umar membunuh anak perempuannya, anak sulungnya Hafsah dewasa dan menjadi isteri Nabi SAW.

Memang ada orang arab pada masa itu di kalangan Bani Tamim yang membunuh anak perempuan tetapi ia bukan keturunan Umar, Umar adalah arab Quraisy. Masyarakat arab dahulu umumnya tidak membunuh anak perempuan mereka seperti mana kata Hindun, “Kami membesarkan anak-anak kami, apabila mereka besar kalian membunuhnya.” Dia menunjuk kepada Nabi kerana setelah anak mereka besar, mereka dihantar perang, menjadi tawanan perang, dan sebagainya.

Perkataan ini satu bukti menunjukkan masyarakat arab tidak membunuh anak-anak kecuali beberapa kabilah kerana beberapa sebab seperti; mempercayai sial, takut anak menjadi tawanan di mana pada masa itu tiada undang-undang dan peraturan hidup, siapa kuat dan berkuasa maka dia raja. Jadi mereka membunuh anak perempuan sejak kecil kerana cemburu yang keterlaluan menyebabkan mereka tidak sanggup melihat anak perempuan mereka ditawan. Tetapi Umar tidak melakukan demikian.

Banyak hadis palsu yang datang dari kalangan Syiah untuk memburukkan para sahabat, antaranya Abdurrahman bin Auf masuk syurga merangkak kerana kekayaannya. Syiah juga membacakan hadis-hadis palsu menceritakan kelebihan Ali di mana riwayat tersebut tidak ada sandarannya.

Sebab itu perlu diwujudkan akta khusus bagi mengawal penyebaran hadis agar setiap hadis yang dibaca di mana-mana tempat sama ada masjid, surau, akhbar, buku dan sebagainya terikat dengan undang-undang secara khusus sebagai langkah permulaan. Maka sesiapa yang hendak menyebarkan sebarang berita yang disandarkan kepada Nabi mestilah memastikan kesahihannya terlebih dahulu. Kecuali jika disebarkan untuk menjelaskan kepalsuannya. Kita mestilah hati-hati dalam penyebaran hadis, kerana kata Nabi SAW, “Barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” (Riwayat Muslim)

Berkata Ibnu Mas’ud ra., “Lebih baik kamu menyekat dirimu dari melakukan satu sunnah dari kamu menyibukkan dirimu melakukan bid’ah.” Bukan beliau melarang melakukan sunnah, tetapi bagi riwayat yang kita tidak pasti kesahihannya, lebih selamat kita tinggalkan. Kalau beramal kita mungkin melakukan bid’ah sedangkan ia dilarang, jadi tidak mengapa kita tidak beramal dengannya jika tidak pasti.


Sumber - Ustaz Dr. Fathul Bari Mat Jahya

No comments:

Post a Comment