Azalina......... kerja kerasnya berbaloi |
PETALING JAYA: Seorang penjual jalanan, kelahiran Malaysia yang pernah hidup dalam serba kemiskinan kini bersedia untuk membuka restoran dengan keluasan 15,000 kaki persegi di ibu pejabat Twitter di Bay Area, San Francisco.
Generasi kelima peniaga jalanan berketurunan 'mamak', Azalina Eusope pernah menolak kereta sorong di Pulau Pinang, menjual pencuci mulut, sehinggalah beliau bertemu dengan suaminya dari Amerika dan berpindah ke San Francisco, tempat di mana beliau kini berjaya dalam perniagaannya.
"Membesar sebagai seorang 'gadis mamak' bukan fantasi bagi sesiapa. 'Mamak' biasanya berada di bahagian bawah sistem kasta di Malaysia suatu masa dahulu," katanya dalam temu bual bersama majalah dalam talian yang dikendalikan oleh Whole Foods, Dark Rye.
"Oleh kerana sistem kasta, golongan 'mamak' hanya dibenarkan untuk melakukan perkara-perkara tertentu sebagai profesion," katanya.
Azalina berkata dia mahu membebaskan diri dari acuan yang diperkatakan, jadi beliau mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan di sekolahnya untuk mengejar impiannya menjadi seorang doktor.
Walau bagaimanapun, hati Azalina kecewa apabila permohonannya untuk memasuki kolej telah ditolak.
Selepas mendapat berita buruk itu, beliau mendapatkan nasihat daripada seorang guru yang menyarankan supaya beliau belajar memasak dengan lebih baik.
"Cukup aneh, apabila dia mencadangkan 'Mengapa tidak awak pergi ke sekolah masakan," Azalina mengimbas pengalamannya.
Apabila Azalina berkahwin dengan suaminya dan mengikutnya kembali ke Amerika Syarikat, beliau bergelut untuk mengatasi satu kejutan budaya yang amat besar sebaik sahaja tiba di sana.
"Saya membesar di sebuah kampung, kami berjalan apabila mahu ke mana-mana, kami tidak mempunyai televisyen, dan tidak tahu bagaimana rupa bentuk peti sejuk.
"Kali pertama saya menyentuh komputer ketika saya baru melahirkan anak lelaki saya iaitu pada tahun 2002," kata Azalina dalam temu bual dengan Mashable.
Azalina berkata untuk mengatasi kerinduan dan kejutan budaya itu, dia akan memasak makanan yang beliau makan sewaktu membesar.
Azalina dan suaminya |
Hobi beliau akhirnya bertukar menjadi satu perniagaan pada tahun 2010 apabila beliau membuka sebuah kedai di pasar tani di San Francisco.
"Saya meminjam USD500 dan mula menjual makanan di pasar tani. Saya akan mengejutkan anak-anak saya pada pukul 3 pagi dan kami memasukkan semua makanan ke dalam kereta untuk kami pergi menjualnya," kata Azalina.
Tetapi dalam tempoh enam minggu pertama, tiada siapa yang datang makan makanan yang dijualnya.
Perniagaan beliau kemudian mula mendapat perhatian apabila penulis terkemuka makanan, Andrew Knowlton menyenaraikan kedainya sebagai salah sebuah daripada 10 kedai makan jalanan terbaik di San Francisco dalam majalah 'Bon Appetit' pada tahun 2010.
Azalina kemudiannya bertukar ke bidang katering, majlis dan acara, dan bertemu dengan seorang pembeli yang menawarkannya untuk menjual sendiri aneka sosnya di Whole Foods Market, sebuah rangkaian pasar raya di Amerika.
"Saya mahu memberitahu orang ramai tentang mamak dan siapa kami dan saya ingin memberitahu cerita melalui makanan saya," kata Azalina.
"Ini adalah jenis makanan yang mengingatkan saya tentang budaya, keluarga dan kenangan saya.
"Anda tidak dapat menolaknya. Ia ada dalam keluarga dan dalam jiwa anda. Lambat laun ia akan datang dan mencari anda walau di mana dan siapa anda sekali pun," katanya.
Di sebalik kejayaan beliau, Azalina berkata kerjanya tidak mudah yang menuntut beliau bekerja selama 18 hingga 20 jam sehari, dengan hanya tidur dua hingga tiga jam.
Beliau berkata dua orang anaknya yang memberikannya kekuatan untuk beliau terus menjalankan urusan perniagaan.
Tonton video temuramah Azalina
Sumber - mStar Online
No comments:
Post a Comment