Penyanyi muda berbakat besar, Aizat Amdan terkilan kerana niatnya untuk membuang undi sempena Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) pada 5 Mei ini terbantut kerana bakal berada di Melbourne, Australia pada tarikh berkenaan.
Ditemui portal murai.com.my semalam sempena pelancaran album kompilasi, Baik Punya di pusat hiburan Hard Rock Café di sini semalam, Aizat melahirkan rasa kekesalanya.
"Itulah, rasa kecewa juga sebab ketika pilihan raya nanti saya akan membuat persembahan di Melbourne, Australia sempena Melbourne Music Festival 2013. Pihak penganjur sudah booked saya lama iaitu sebelum pengumuman tarikh pilihan raya lagi. Memang tak dapat buat kali ini. Insya Allah pada pilihan raya akan datang," katanya dengan nada kecewa.
Aizat berkata, pemergiannya ke sana bermula 2 Mei sehingga 7 Mei ini akan disertai seorang lagi penyanyi, Amir Jahari dan tidak ketinggalan band muzik, Go Gerila.
Katanya, dia telah diberikan beberapa slot persembahan bagi menghiburkan penonton di sana yang kebanyakannya merupakan pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di negara Kangaru berkenaan.
Tambah Aizat, meskipun dia tidak dapat membuang undi pada hari berkenaan, tetapi dia masih mengikuti perkembangan PRU13 dari masa ke semasa. Berlainan dengan selebriti lain, Aizat nampaknya memilih untuk memantau secara jauh dan mendengar ceramah kempen PRU13 melalui laman YouTube.
"Saya bukanlah individu yang layak untuk berkempen kerana saya tidak ada ilmu itu. Tapi saya suka dengar ceramah ataupun perdebatan dan perbincangan PRU13 melalui YouTube sahaja. Untuk ke lokasi berkempen, itu tidaklah.
"Tapi saya harap, agar pilihan raya kali ini berjalan dengan aman damai dan secara bersih. Kerana bagi saya politik itu cukup indah dan ianya akan jadi kotor jika ianya dikotorkan. Itu sahaja yang saya harapkan dengan perjalanan pilihan raya kali ini," katanya.
Aizat tampil dengan lagu Jerrypah menerusi album kompilasi Baik Punya terbitan Indigital Sdn Bhd dengan kerjasama Tropic Jaya yang turut menampilkan 13 lagu lain nyanyian penyanyi popular lain seperti Bunkface, Liyana Jasmay, Kilafairy, Hyper Act, Toi, Sabhi Saddi dan Sheila Abdul.
Menurut Aizat, menariknya tentang lagu ini kerana ianya tidak terdapat di dalam album solonya tetapi hanya di dalam album kompilasi berkenaan.
No comments:
Post a Comment