Search This Blog

HOME

Monday, May 6, 2013

Helah Upah Kupas Bawang Warga Emas Ditipu RM6,000.

Raub: Seorang wanita sanggup mempergunakan anak gadisnya sendiri untuk menjalankan kegiatan penipuan, tetapi malang kerana kedua-dua mereka diberkas polis kerana menipu empat warga emas mengakibatkan kerugian RM6,000 di Kampung Sri Jaya, Ulu Gali, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, wanita berusia 40 tahun dan anak perempuannya berusia 18 tahun, diberkas sepasukan anggota polis ketika berada dalam kereta Perodua Alza yang disewa di Kuala Lumpur.

Sebelum kejadian, wanita terbabit ke Kuala Lumpur bersama anaknya dan menyewa kenderaan di sebuah syarikat agensi kereta sewa lalu memandunya ke Bentong.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, di Bentong, wanita itu dikatakan menyamar sebagai ejen mencari pekerja sambilan dan membuat tawaran pekerjaan kepada seorang suri rumah berusia 40 tahun yang ditemui di bandar Bentong.

Menurutnya, siasatan mendapati ketika berbincang mengenai pekerjaan ditawarkan, wanita terbabit menawarkan gaji RM8 sehari untuk mengupas sekilogram bawang dan RM450 sebulan untuk mengasingkan sekilogram ikan bilis.

Katanya, mangsa yang berminat bekerja secara sambilan, dibawa suspek untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Bentong.

“Ketika mangsa melakukan pemeriksaan, suspek mengambil kesempatan melarikan beg wanita itu dan memecut kenderaan sewanya menghala ke Raub.

“Tiba di Raub, wanita terbabit bersama anaknya ke Kampung Sri Jaya, Ulu Gali, sebelum berhenti di depan sebuah rumah didiami seorang wanita warga emas berusia 60 tahun,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit dikatakan menggunakan taktik sama untuk menipu mangsa sehingga meyakinkan warga emas berkenaan yang kemudian mengajak dua lagi rakannya, juga warga emas berusia 70-an untuk bekerja sambilan.

Katanya, terbabit membawa semua mereka menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik di bandar ini dan sekali lagi mengambil kesempatan melarikan diri bersama beg mangsanya ketika semua mangsa melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik berkenaan.

Menurutnya, tiga warga emas terbabit membuat laporan di balai polis berhampiran dan melalui pengecaman nombor pendaftaran kereta dipandu suspek, polis menahannya pada jam 5.25 petang ketika sedang meronda di bandar ini sebelum dibawa ke Balai Polis Raub.

“Suspek turut mengaku menipu seorang suri rumah di Bentong dan mendakwa anak gadisnya hanya duduk di dalam kenderaan ketika dia menipu semua mangsa,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit yang mempunyai enam rekod jenayah, diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk siasatan kes penipuan pertama dilakukannya di bandar itu.

Katanya, bagi kes di Raub, wanita itu akan ditahan reman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment