KUALA LUMPUR, 16 OGOS 2013: Tindakan pengarah, pelakon dan penerbit, Hans Isaac, memuatnaik statusberkenaan filem terbitannya, Lemak Kampung Santan di Twitter telah disalahertikan oleh umum. Malah, ada dakwaan yang mengatakan dia merajuk dan kecewa kerana filemnya tak laku seperti yang terpapar di rata-rata saluran media.
Sebagai pengarah filem, penglibatannya di dalam industri ini bukanlah baru dan dia tahu apa yang perlu untuk menghasilkan filem yang berkualiti. Tiada sebab untuk dia kecewa kerana dia bukannya menghasilkan filemnya secara cincai, tetapi dalam dalam soal ini dia bercakap dari segi keuntungan dalam perniagaan sebagai pembikin filem.
Yang mana, isu yang cuba diketengahkan Hans Isaac ketika ini adalah kualiti bukan lagi apa yang penonton inginkan dan dia juga tidak tahu apa yang sebenarnya penonton mahukan dan hal itu jelas dapat dilihat menerusi kutipan filemnya.
Namun, ia juga barangkali bukan disebabkan penonton tidak datang untuk menyaksikan filem, tapi mungkin ia bertitik tolak kepada sebab-sebab yang lain yang sebelum ini pernah dibangkitkan oleh produser-produser filem lain. Misalnya, waktu tayangan yang mungkin tidak menepati waktu penonton.
Apapun ketika dihubungi, Hans Isaac sekali lagi menegaskan yang tidak akan membuat filem lagi setelah apa yang berlaku kepada Lemak Kampung Santan.
"Saya bukan tidak mahu buat filem kerana tidak laku. Tetapi kalau situasi begini masih lagi sama, untuk apa saya terus bikin filem ini. Mungkin ramai salah faham kata saya merajuk sebab orang tak tengok Lemak Kampung Santan.
"Kalau cakap pasal kualiti filem saya tahu semua apa yang perlu saya buat, tetapi hak menonton saya tidak ada kuasa untuk paksa orang kerana itu perkara yang subjektif. Ada orang suka ada yang tidak.
"Saya cakap sekarang soal business in film making. Kalau situasi dan permainan industri perfileman kita masih kekal macam sekarang, saya memang tidak akan ambil risiko untuk terus rugi kerana saya tahu apa yang berlaku. Lebih baik saya buat benda lain yang mampu menjanjikan pulangan yang lebih menguntungkan.,"tegasnya yang nyata kecewa apabila ada pihak yang kurang arif mentafsir apa yang cuba disampaikan Hans Isaac didalam Twitternya itu
Namun bidang pengarahan tetap diteruskan di lapangan teater dan dia akan muncul dengan sebuah karya bercirikan autobiografi mengenai pemain bola handalan negara, Mokhtar Dahari , berjudul SuperMokh The Musical yang bakal dipentaskan di Istana Budaya.
Tambahnya, produksi teater melibatkan kawalan penuh daripada production house dan perkara ini berbeza dengan penerbitan filem. Penerbit filem hanya menghasilkan filem tetapi hak dan jadual tayangan serta pemasaran bukan lagi berada didalam bidang kuasa penerbit.
"Kalau bikin teater, semua perkara kita yang tentukan. Maksudnya bagaimana kita nak merancang strategi dan sebagainya untuk menarik orang datang. Tetapi untuk filem, selepas kita hasilkan sesebuah filem, saya bukan boleh suka-suka nak pilih tarikh, tentukan waktu tayangan kerana ia bukan kuasa saya berbuat demikian.
"Itu sahaja yang cuba saya persoalkan disini, bukan masalah filem saya mendapat kutipan sedikit tetapi ketelusan pihak tertentu dalam mengendalikan kerja mereka. Tak perlu saya sebut siapa tetapi jika ia masih sama memang saya tidak mahu ambil risiko rugi lagi,"tambahnya ketika dihubungi sebentar tadi.
No comments:
Post a Comment