KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit filem tersohor Datuk Paduka Shuhaimi Baba menyarankan orang ramai termasuk para pemimpin pembangkang supaya menonton dahulu filem 'Tanda Putera' sebelum membuat apa-apa dakwaan serta penilaian yang boleh mencetuskan kontroversi terhadap filem tersebut.
"Beginilah, saya dengan rasa hormatnya menjemput semua pihak, tontonlah dulu filem 'Tanda Putera' sebelum membuat sebarang penilaian.
"Saya seorang pembikin filem. Saya tak pandai berpolitik seperti sesetengah pihak. Saya buat filem berlatarkan fakta sejarah. Ia adalah sebuah filem dan bukannya dokumentari," katanya kepada Malaysian Digest semalam ketika diujar pertanyaan tentang gesaan DAP terhadap kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kejadian rusuhan kaum 13 Mei 1969 dalam mesyuarat Kabinet.
Filem arahan Shuhaimi, yang mesra dengan panggilan Shumi, sepatutnya disiarkan tahun lalu namun terpaksa ditunda tiga kali berikutan protes dari segelintir pihak, khususnya pembangkang. Ia bakal ditayangkan esok.
Dalam laporan sebuah portal berita semalam, penasihat parti DAP, Lim Kit Siang dilaporkan berkata, berdasarkan pandangan pihak yang telah menonton filem berkenaan, mereka mendapati terdapat unsur cereka atau kejadian tidak benar mengenai 13 Mei yang boleh menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat dan menyemarakkan api kebencian antara kaum.
Dalam pada itu, sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-56 yang akan berlangsung tiga hari lagi, Shumi berkata beliau percaya bahawa penonton akan melahirkan rasa lebih sayangkan serta semangat patriotisme terhadap negara selepas menonton filem berkenaan.
"Tanda Putera adalah kisah tentang perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak dan sahabatnya Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang mana memaparkan intergriti serta pengorbanan jiwa raga dua pemimpin ini terhadap negara ketika tercetusnya peristiwa 13 Mei.
"Pada masa sama, Tun Razak ketika itu berdepan dengan maut kerana mengidapi penyakit leukemia.
"Bayangkan apa akan jadi jika dua pemimpin ini serta pemimpin-pemimpin lain ketika itu tidak ada, sudah pasti negara kita akan hancur. Hari ini negara kita sangat aman, damai dan mencapai pembangunan yang begitu progresif.
Datuk Paduka Shuhaimi Baba. Filepic: mD/Faisol MustafaDatuk Paduka Shuhaimi Baba. Filepic: mD/Faisol Mustafa"Jadi kita semua kena tanya pada diri sendiri, siapa yang berkorban untuk semua yang kita nikmati hari ini. Generasi hari ini seharusnya menghargai segala jasa para pemimpin terdahulu dan mereka perlu tanamkan sikap sayang pada negara.
"Fikirkan apa pula yang kita boleh sumbangkan demi keamanan negara," katanya yang mengulas mengenai hubungkait filemnya dengan tema hari kemerdekaan kali ini iaitu 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpah Darahku'.
Filem yang dihasilkan pada tahun 2011 itu bagaimanapun tidak diluluskan oleh jemaah menteri yang membuat keputusan menangguhkan tayangannya kerana dikatakan terdapat adegan yang tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Filem yang membariskan pelakon seperti Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai dan Linda Hashim ini diterbitkan oleh Pesona Pictures Sdn Bhd dan Finas dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC) bakal ditayangkan pada 29 Ogos ini.
No comments:
Post a Comment