Pembinaan semula pusara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya Puan Seri Saloma yang roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu akan dibuat mengikut ukuran asal dan tidak dilakukan secara berlebih-lebihan.
Pengerusi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Md Afendi Hamdan berkata, isu tersebut timbul kerana sesetengah pihak mengandaikan Finas mahu membina pusara tersebut secara keterlaluan dengan kos yang tinggi.
Sebaliknya kata beliau, kos sebenar pembaikan semula kedua-dua pusara itu adalah masing-masing RM11,500 yang kesemuanya berjumlah RM23,000 dan bukannya RM25,000 seperti dilaporkan media sebelum ini.
Dalam pada itu menjawab mengenai tindakan Finas mengimport batu marmar dari luar negara untuk kerja-kerja pembaikan itu, Afendi berkata, pihaknya berbuat demikian kerana mahu mendapatkan material sama seperti batu nisan asal.
Malah katanya, langkah itu bukanlah satu pembaziran sebaliknya mahu mengekalkan warisan P.Ramlee dan Saloma supaya dapat memudahkan generasi akan datang untuk menziarahi pusara berkenaan.
P.Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973 akibat serangan jantung manakala Saloma pula meninggal dunia pada 25 April 1983 kerana demam kuning. Mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang.
No comments:
Post a Comment