KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran, tertinggi UMNO serta pucuk pimpinan komponen Barisan Nasional menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan dan memperkukuhkan Akta Hasutan 1948 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Veteran UMNO yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata perkara berkaitan perkauman, agama dan Sabah serta Sarawak mesti diambil kira sekiranya mahu mengekalkan negara kekal dalam keadaan aman.
"Saya fikir ia perkara yang bagus (pengekalan Akta Hasutan) sebab ketika ini semua pihak sering mengambil kesempatan mengenai isu sensitif, isu besar seperti perkauman dan agama...kita perlu menghentikan semua perkara karut ini dalam kehidupan pelbagai kaum serta agama.
"Secara keseluruhan saya anggap keputusan itu bagus tetapi kita harap dia (Najib) tegaslah dalam segala apa yang dia nak buat tak kira sama ada membabitkan Akta Hasutan mahupun pembangunan ekonomi orang Melayu yang dia janji sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Bagi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, keputusan menambah baik Akta Hasutan adalah bukti komitmen perdana menteri memastikan Sabah dan Sabah terus kekal dalam Malaysia.
"Sebagai Ketua Menteri Sabah saya sangat mengalu-alukan dan memberi penghargaan yang tinggi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang begitu komited terhadap negeri Sabah dan memastikan Sabah dan Sarawak terus berada dalam Malaysia," katanya.
Presiden Progresif Penduduk, Tan Sri M Kayveas pula menganggap tiada sebarang keperluan yang mendesak untuk mewujudkan satu akta baharu menggantikan Akta Hasutan bagi mengekalkan keharmonian dan keamanan negara.
"Akta ini (Akta Hasutan) sudah memberi penjelasan teliti kepada semua pihak tertentu yang selalu mengguna pakai kenyataan yang sensitif. Saya rasa kalau kita kekalkan keharmonian antara kita dan solidariti tidak perlu lagi mewujudkan satu lagi akta seperti Akta Keharmonian Nasional," katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melahirkan kelegaan kerana kerajaan mendengar suara hati rakyat yang meminta akta itu terus dikekalkan.
"Kami (Wanita UMNO) berasa begitu lega Perdana Menteri mendengar suara hati rakyat. Oleh itu, saya nak minta tak kira Melayu, Cina atau India mahupun Sabah dan Sarawak marilah kita hidup sebagai satu keluarga yang besar.
"Politik mesti ada hadnya...kalau kita berpegang pada perlembagaan pasti negara kita akan selamat," katanya.
Sumber - BH Online
No comments:
Post a Comment