Search This Blog

HOME

Tuesday, November 18, 2014

Panas - 'Kenyataan Ajai Tidak Adil Pada Calon AIM21' - Rosmin

Rosmin terbuka sekiranya Ajai ingin bertemu dengan pihaknya bagi meluahkan pandangan bagi memperbaiki kekurangan pada AIM.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah Industri Muzik (AIM), Rosmin Hashim menganggap kenyataan penyanyi dan komposer terkenal, Ajai yang hilang kepercayaan terhadap kredibiliti penganjuran penganugerahan itu sebagai tidak adil.

Rosmin berkata, kenyataan Ajai yang turut mempertikaikan cara penjurian dibuat oleh pihak jawatankuasa mampu memberi kesan kepada semua artis yang bertanding pada tahun ini.

"Jelas kenyataan itu adalah tidak adil kepada artis bertanding dan harus saya tekankan bahawa pihak penjurian melakukan proses yang adil terhadap semua calon dan ia turut dipantau oleh dua badan iaitu Marcom Management Services dan KPMJ selaku juruaudit bertauliah," katanya.

Rosmin ditemui selepas sidang media pengumuman hos, penyampai dan persembahan AIM21 di Hotel Istana di sini pada Selasa.

AIM21 bakal berlangsung pada 6 Disember depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada pukul 8.30 malam.

Ia turut disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Maya HD (135).

Rosmin mengulas kenyataan Ajai yang tidak lagi menghantar sebarang pencalonan kepada AIM sejak dua tahun lalu kerana mempertikaikan kredibitiliti acara itu selepas insiden kesilapan pemilihan Lagu Terbaik AIM 18 kepada Yuna ditarik balik tiga tahun lalu.

Ajai
Dalam pada itu, Rosmin menegaskan semua juri yang dipilih adalah daripada kalangan terbaik untuk membuat penilaian terhadap semua calon anugerah itu dan jawatankuasa tidak campur tangan dalam membuat keputusan akhir.

Malah kata Rosmin, nama pemenang hanya akan diketahui pada malam kemuncak acara itu nanti dalam menjaga ketelusan dan kewibawaan anugerah berprestij itu.

"Jika sebelum ini AIM tidak pernah mengumumkan senarai nama juri tetapi tahun ini kita berbuat demikian dalam memastikan tiada rahsia tentang siapa individu bertanggungjawab membuat keputusan," katanya.

Bagaimanapun kata Rosmin, dia tidak memandang serong terhadap kenyataan Ajai tersebut sebaliknya percaya lelaki itu mempunyai sebab tersendiri mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Saya tidak rasa dia mempunyai agenda tertentu dengan membuat tuduhan sedemikian sebaliknya pasti ada sebab dia berkata demikian.

"Ajai adalah orang lama dalam industri dan dia berhak untuk memberi sebarang pendapat tentang apa yang dia rasakan ada sesuatu tidak kena," ujarnya.

Sementara itu, Rosmin berkata, pihaknya mengalu-alukan Ajai datang berjumpa dengan pihaknya untuk membincangkan mengenai rasa kurang senangnya terhadap AIM agar sebarang masalah dapat diselesaikan secara baik.

"Insya-Allah pihak kami ingin berbincang dengannya agar kita sama-sama dapat memperbaiki apa yang dirasakan tidak kena dengan anugerah ini malah kami mengalu-alukan dia terlibat dalam jawatankuasa AIM," katanya.


Sumber - mStar Online

No comments:

Post a Comment