Search This Blog

HOME

Wednesday, November 19, 2014

Pembuli wanita didakwa.

KHOO KOK ANN dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, Petaling Jaya, Selangor, semalam selepas dituduh atas pertuduhan membuli seorang pemandu wanita dengan meludah dan membengkokkan pengelap cermin keretanya. - Utusan/IRWAN MAJID
PETALING JAYA 19 Nov. – Tidak sampai 48 jam gambar seorang lelaki tersebar luas dalam laman sosial kerana dipercayai membuli seorang pemandu wanita dengan meludah dan membengkokkan pengelap cermin kereta mangsa, lelaki terbabit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Khoo Kok Ann, 58, yang tampil di mahkamah dengan memakai baju-T hitam sama seperti dalam gambar itu tetapi di­terbalikkan, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Dia didakwa me­lakukan khianat dengan membengkokkan pengelap cermin depan kereta dan meludah ke arah cermin hadapan kereta Perodua Kenari putih milik pembantu peribadi, Alisa Thean Wei Yun, 45, menyebabkan mangsa kerugian dianggarkan RM40.

Dakwaan terhadap tertuduh yang merupakan pengarah sebuah syarikat perunding dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh juga didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap mangsa yang sama dengan menghalang laluan perjalanan dan pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) susur keluar Putrajaya (atas jejambat), kira-kira pukul 8 pagi, 17 November lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Tan Gin Han yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan kerana kes itu mendapat perhatian umum.

Peguam T. Geetha yang mewakili Kok Ann pula memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM1,000 bagi kedua-dua pertuduhan atas alasan ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 15 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Kok Ann dibebaskan selepas membayar jaminan.

Utusan Malaysia hari ini me­la­porkan, lelaki yang di­­kaitkan dengan kes buli seorang pemandu wanita ditahan di sekitar Su­bang Jaya, kira-kira pukul 11.45 malam, Isnin lalu, iaitu kurang dari 24 jam laporan polis dibuat.

Dalam kejadian itu, difahamkan mangsa yang sedang memandu kereta Perodua Kenari sebelum dia bertindak menekan hon beberapa kali terhadap lelaki berkenaan yang memandu secara cuai kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV.

Lelaki tersebut yang berang menunjukkan isya­rat lucah selain meng­halang dan memberhentikan kenderaannya di ha­dapan kereta wanita tersebut lalu mengarahkannya keluar tetapi mangsa enggan.

Berikutan itu, lelaki tersebut meludah cermin hadapan kereta tersebut serta membengkokkan pengelap cerminnya sebelum beredar.
Sebelum ini, pada 22 Julai lalu, Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Siti Fairrah Ashyikin Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai Kiki, 30, yang bertindak membuli dan merosakkan kereta seorang warga emas.

Mahkamah itu juga mengarahkan Kiki yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu, membuat kerja khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh tiga bulan.

Dalam kejadian 14 Julai lalu, wanita itu dilihat membuli Sim Siok Hong, 68, selepas lelaki itu dikatakan melanggar keretanya. Dia juga dilihat memarahi dan mengetuk kereta lelaki kereta warga emas itu hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM500.

Perbuatannya itu dirakam orang ramai dan videonya menjadi viral selepas dimuat naik di laman sosial Facebook, Twitter dan YouTube.


Sumber - Utusan Online

No comments:

Post a Comment