KUALA LUMPUR: Dua tokoh politik, masing-masing dari Umno dan PAS, bersetuju menggesa institusi mufti seluruh negara mengambil tindakan mengharamkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sisters in Islam (SIS) seperti mana dilakukan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Exco Pemuda Umno Arman Azha Abu Hanafiah dan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Terengganu Azman Shapawi Abdul Rani yang membuat gesaan itu berkata, langkah berkenaan perlu bagi mengelakkan umat Islam negara ini terkeliru.
"Jadi saya juga mencadangkan kalau boleh, kalau perkara itu diharamkan di Selangor kerana bercanggah mengelirukan orang Islam sepatutnya negeri lain juga sepatutnya mengadakan benda yang sama," kata Azman Shapawi ketika ditemui baru-baru ini.
Bekas Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ini menjelaskan penyelarasan tersebut perlu dilaksanakan memandangkan matlamat serta idealogi SIS bercanggah dengan Islam.
"Supaya umat Islam rasa mengapa Selangor tak boleh tapi negeri lain boleh macam penggunaan nama Allah mereka kata Sabah dan Sarawak boleh tapi di semenanjung tidak boleh pula.
"Padahal hakikatnya benda sama, kita tak mahu berlaku satu kekeliruan...jadi mungkin ada orang nak buat benda tak betul, dia kata pergi negeri lainlah sebab negeri lain tiada lagi fatwa macam ini," katanya.
Untuk rekod, Jawatankuasa Fatwa Selangor pada Julai 2014 mewartakan SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Selain itu, mana-mana terbitan yang berunsur pemikiran fahaman itu juga hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.
Pengharaman itu selaras dengan ketetapan yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 2006 yang menyimpulkan mana-mana aliran pemikiran atau fahaman liberal dalam beragama adalah menyeleweng dari aspek akidah dan syariah.
Namun langkah itu dipertikai SIS yang memfailkan semakan kehakiman kerana tidak berpuas hati dengan fatwa MAIS terhadap pengharaman kumpulan wanita profesional itu.
SIS menamakan MAIS, Jawatakuasa Fatwa Selangor dan kerajaan negeri sebagai responden dalam semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Selaraskan fatwa di seluruh negara untuk elak kekeliruan
Sementara itu Arman Azha ketika dihubungi Antarapos berkata tindakan segera perlu bagi memartabatkan Islam menambah rekod menyaksikan banyak pandangan SIS mencabar hukum Allah.
"Apabila MAIS mula mengambil tindakan, saya rasa tiap-tiap negeri juga harus mengambil tindakan yang sama kerana setiap negeri harus mempunyai undang-undang yang sama apabila berkaitan dengan isu agama harus diambil tindakan.
"Bagi saya apabila fatwa yang dikeluarkan oleh MAIS dan sebagainya kita harus akur kerana mereka lebih memahami masalah sosial dari sudut dan ruang lingkup undang-undang Islam.
"Jadi kita kena terima dan akur apa yang dikatakan oleh MAIS itu," katanya.
Antara isu yang pernah dipertikai SIS termasuk isu poligami dan pembahagian harta pusaka yang membelakangkan ayat al-Quran.
Selain itu, SIS juga telah membuat kenyataan pada 2002 yang menegaskan bahawa Islam bukanlah mewujudkan atau menggalakkan poligami selain turut mempersoalkan sama ada poligami patut terus dibenarkan di bawah Undang-Undang Keluarga Islam.
Sumber - Antarapos
No comments:
Post a Comment