Search This Blog

HOME

Monday, February 24, 2014

SMS Sharnaaz kepada Fauzi dah macam ugutan gengster - menakutkan.

Nisdawati. Gambar kecil (kiri), Sharnaaz dan Fauzi Nawawi.

Kuala Lumpur: “Sekarang lu (kamu) cerita apa pun wa (aku) mau (mahu) beli. Big bos (orang besar) sudah roger (hubungi) gua (aku). Wa (aku) tak boleh kasi (biar) malu wa (aku) punya bos. Harap lu (kamu) faham. Ini kali kita kasi habis.”

Itu antara SMS berbaur ugutan diterima pelakon dan pengarah Fauzi Nawawi, 40, yang didakwanya dihantar pelakon Sharnaaz Basir Ahmad, 29, yang kini popular dengan drama Bukan Aku Tak Cinta.

Fauzi berkata, kiriman SMS itu diterimanya pada 21 Februari lalu kira-kira jam 9.42 pagi dan dia percaya ia berkaitan insiden Sharnaaz mengamuk serta cuba menyerang isterinya, Nisdawati Nazaruddin, 35.

Menurutnya, kejadian itu berlaku dalam dua kejadian berasingan di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta di Kuang dan Sungai Buloh, Selangor pada 19 dan 21 Februari lalu.

Kata Fauzi, dia menerima SMS berbaur ugutan itu selepas bertanya kepada Sharnaaz kenapa menengking dan cuba menyerang isterinya di lokasi penggambaran.

Sumber - myMetro

Ammar Percaya Ibu Bapa Akan Dipenjara

Ammar percaya ibu dan bapa mereka akan dipenjara

STOCKHOLM: "Saya hanya merasakan mereka akan didapati bersalah dan dipenjarakan," kata anak lelaki pasangan Malaysia di Sweden yang dibicarakan kerana didakwa memukul anak-anak mereka.

Ketika ditanya apa yang difikirkan Ammar, 12, mengenai masa hadapan, dia berkata ibu bapanya seperti akan dipenjarakan sebelum dia dapat bertemu mereka.

Namun, apabila anggota polis wanita Sweden bertanya apa yang difikirkan mengenai masa depannya, Ammar berkata, apa yang dia boleh fikir adalah memeluk kedua-dua ibu bapanya semula.

"Mereka akan masuk ke dalam penjara, saya tidak tahu untuk berapa hari atau bulan. Apabila mereka dibebaskan, saya boleh bertemu mereka semula," kata Ammar menerusi temuduga yang direkodkan lebih awal yang dipertontonkan di mahkamah daerah Solna di sini.

Azizul Raheem Awalluddin, seorang pengarah Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya, Shalwati Nurshal ditahan pada 18 Disember tahun lalu selepas Ammar memberitahu kakitangan di sekolahnya bahawa dia dipukul, menyebabkan mereka membuat laporan mengenainya kepada pihak berkuasa.

Memasuki hari keempat perbicaraan, Azizul dilihat memakai jaket baharu berwarna hitam dan tali leher biru, manakala Shalwati memakai jaket berwarna kelabu bersama dengan baju kurung.

Walaupun Shalwati dilihat sentiasa menulis nota pada minggu lepas, ibu kepada anak orang anak itu kini memberi tumpuan kepada video yang dipertontonkan sejak Isnin lalu.

Dalam temubual yang direkodkan itu, Ammar mengakui dia jarang dipukul oleh ibunya dengan rotan, 'mungkin dua kali sebulan'.

Dia berkata, bapanya kadang kala menggunakan rotan ketika kelas al-Quran, tetapi tidak pernah benar-benar menggunakannya.

Ketika ditanya bila Ammar teringat saat dia pernah dirotan oleh bapanya, kanak-kanak berusia 12 tahun itu berkata, ketika dia mencuri kad kredit ibunya untuk membeli permainan video.

"Saya meminta ibu untuk membelikan alat permainan itu beberapa kali tetapi dia enggan. Jadi saya bertindak mengambil kad kreditnya dan membeli permainan itu sendiri," kata Ammar.

Namun, Shalwati mengetahui perkara itu, menyebabkan Azizul bertindak memukul anaknya sebagai hukuman.

Ammar berkata, hukuman itu kekal diingatannya kerana dia merasakan bapanya lebih mementingkan wang berbanding dirinya.

"Saya melihat bapa benar-benar marah pada ketika itu," kata Ammar.

Ini bukan kali pertama Ammar memberitahu bahawa adik-beradiknya yang lain turut dipukul kerana mencuri.

Ammar sebelum ini berkata, kakaknya Aishah turut dipukul beberapa kali kerana mencuri wang dan coklat.

Pada 10 Februari, Shalwati dan Azizul didakwa di atas tuduhan pencabulan integriti kanak-kanak dengan memukul dan mendera anak-anak mereka.

Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu dirumah mereka di Spanga, Stockholm antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.

Perbicaraan bersambung pada hari ini (Selasa)


Sumber - mStar Online

Kes Serang: 'Tuduhan Lisdawati, Suami Mengarut' - Sharnaaz

Sharnaaz - Tuduhan Lisdawati, Suami Mengarut

PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad menganggap kenyataan Lisdawati yang mendakwa diserang sehingga menyebabkannya mengalami tekanan darah tinggi adalah tuduhan mengarut.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 29, berkata, dia enggan mengulas panjang berhubung perkara tersebut namun menganggap Lisdawati bersama suaminya, Fauzi Nawawi sengaja memanipulasi keadaan apabila mengeluarkan tuduhan sedemikian.

"Mereka memang sengaja memanipulasikan keadaan. Biarlah apa mereka nak cakap... cakaplah.

"Buat masa ini saya tidak mahu beritahu apa-apa. Tunggulah... bila saya bersedia untuk menjawab persoalan semua," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini petang Isnin.

Sebuah akhbar pada Isnin melaporkan Sharnaaz telah menyerang Lisdawati, 35, di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta di Sungai Buloh dekat sini pada 19 dan 21 Februari lalu.

Peristiwa itu menjadi tegang apabila suami Lisdawati iaitu Fauzi Nawawi, 40, dikatakan menerima khidmat ringkas (SMS) daripada Sharnaaz berbaur ugutan selepas dia bertanyakan hal berkenaan.

Lisda mendakwa mengalami darah tinggi akibat kejadian itu. Dia dan suami turut membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada Sabtu lalu sebagai langkah keselamatan diri.


Lisdawati bersama suami Fauzi Nawawi dan anak mereka
Sementara itu, Shaarnaz menambah, dia tidak gentar dengan laporan polis dibuat mereka kerana dia percaya berada di pihak yang benar.

"Senang saja. Kalau dia main cara polis, kita pun main cara polis," ujarnya dalam nada tegas.

Lisdawati yang dihubungi mStar Online pada Isnin pula berkata, sebagai ibu mengandung, dia tidak mungkin akan memanipulasikan keadaan kerana dirinya sememangnya diserang Sharnaaz secara mengejut.

"Buat apa saya nak manipulasikan keadaan. Dia yang mula dulu. Saya pun terkejut. Kalau tak percaya, tanyalah pelakon-pelakon yang ada pada kejadian itu. Saya tak sangka dia berperwatakan begitu," tuturnya yang mengandung lapan bulan.

Sumber - mStar Online

Akibat Guna Nombor Telefon Sendiri, Peminat 'Love You Mr Arrogant' Ganggu Pengarah Drama.

Zara Zya


KUALA LUMPUR: Pengarah Love You Mr Arrogant, Eoon Suhaini mendedahkan diganggu peminat-peminat drama tersebut selepas nombor telefonnya digunakan pada episod pertama drama itu disiarkan pada 25 September lalu.

Eoon berkata, peminat yang menghubunginya terdiri daripada pelbagai negara termasuk Indonesia dan Dubai semata-mata untuk bercakap dengan pelakon wanita drama itu, Zara Zya.

"Sehingga sekarang telefon saya sering diganggu oleh peminat drama itu yang ingin bercakap dengan Zara.

"Perkara itu terjadi ketika penggambaran episod pertama kami terlupa membeli kad SIM baru untuk satu adegan yang memerlukan Zara menyebut nombor telefonnya," katanya kepada mStar Online ketika ditemui selepas Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur, di Hotel Royale Chulan, di sini, malam Sabtu.

Bagaimanapun, dia mengakui secara tidak langsung perkara tersebut membolehkannya mendapatkan maklum balas tentang drama tersebut.

Katanya, dia tidak menjangka drama itu mendapat perhatian di Indonesia dan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.

"Ramai yang hubungi saya bukan sahaja peminat dalam negara tetapi juga daripada Indonesia, ia mungkin juga saya ada menggunakan beberapa lagu Indonesia dalam drama tersebut.

"Selain itu, ramai juga penuntut-penuntut kolej dan universiti yang belajar di negara luar seperti Dubai yang menghubungi nombor ini," katanya.

Sementara itu, bercerita tentang drama tersebut Eoon berkata, cabaran utama adalah dalam menterjemahkan naskah novel itu kepada sebuah drama yang menarik.

Tambahnya, dia mahu menonjolkan sebuah konsep yang baharu dan lari daripada jalan cerita klise seperti dalam novel.

Gandingan Azlee Khairi dan Zara Zya dipilih sebagai Hero dan Heroin Pilihan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur.
"Kalau kita lihat jalan ceritanya sangat klise iaitu perempuan yang dipaksa berkahwin dengan lelaki kaya, tapi saya cuba fikirkan bagaimana untuk menimbulkan adegan yang menarik.

"Alhamdulillah, saya juga mendapat barisan pelakon yang hebat dan ada keserasian," katanya.

Drama Love You Mr Arrogant arahan Eoon Suhaini dipilih sebagai Drama Pilihan pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur dalam acara yang berlangsung di Hotel Royale, Sabtu lalu.

Drama 26 episod ini turut mengangkat pelakon lelaki utama Azlee Khairi sebagai Pelakon Lelaki Pilihan.

Drama yang berjaya menarik tontonan lebih 4.6 juta penonton itu juga melayakkan gandingan Azlee Khairi dan Zara Zya dipilih sebagai Hero dan Heroin Pilihan.


Makhluk halus menyerupai Julia Ziegler berkeliaran dilokasi penggambaran - Pengarah

Kru produksi melihat kelibat pelakon kami iaitu Julia Ziegler pada pukul 3 pagi sedangkan ketika itu dia sudah pun pulang ke hotel

PETALING JAYA: Pengarah filem Aku Akan Muncul iaitu Roy Krishnan berkata, dia dan kru produksi diganggu makhluk halus ketika menjalani penggambaran filem tersebut di sebuah hutan di Kota Tinggi, Johor pada Oktober 2012.

Roy berkata, atas faktor keselamatan, pihak produksi telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memanggil seorang ustaz untuk menghalau makhluk-makhluk halus itu agar penggambaran dapat dijalankan dengan lancar.


Roy Krishnan pengarah filem 'Aku Akan Muncul'
"Bayangkan, ketika mula-mula menjalani penggambaran, ada saja benda pelik yang kami lihat sehingga menimbulkan rasa seram.

"Malah ada kru produksi melihat kelibat pelakon kami iaitu Julia Ziegler pada pukul 3 pagi sedangkan ketika itu dia sudah pun pulang ke hotel. Tanpa membuang masa kami terus memanggil seorang ustaz memasang 'pagar' agar kami tidak diganggu," katanya kepada mStar Online.

Tambah Roy, dia juga bersyukur walaupun melihat kelibat makhluk tersebut, namun pelakon-pelakon yang terlibat tidak diganggu termasuklah dirasuk ataupun mengalami histeria.

Selain Julia Ziegler, filem seram terbitan RM Vision Film Production Sdn. Bhd itu turut dibarisi pelakon seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Maimon Mutalib (Allahyarham), Liza Abdullah, Zulkifli Ismail, Noor Akma, Zaibo dan Musly Ramly.

Barisan pelakon-pelakon baharu pula terdiri daripada Abam (Bochey), Syafiq, Megat Samsuddin, Alfie, Firah, Shairah dan Azura.

Ia mengisahkan tentang Kesuma (Julia) yang memiliki raut wajah yang cantik, tetapi gemar membandingkan kecantikannya itu dengan rakannya Mawar sehingga membuatkan rakan-rakannya yang lain seperti bosan dengan tingkah lakunya.

Bagaimanapun, kecantikan yang dimiliki Kesuma tidak bertahan lama apabila dia terlibat dengan kemalangan ketika mencari inai.

 Akibatnya, wajah Kesuma telah menjadi buruk dan untuk memulihkan wajahnya itu, Kesuma meminta bantuan Mak Yam (Maimon) yang cukup terkenal sebagai seorang dukun yang hebat.


'Aku Akan Muncul' bakal ditayangkan pada 27 Februari ini.
Dalam pada itu beritahu Roy, karyanya akan dilihat berbeza berbanding filem lain di mana kesemua babak yang melibatkan hantu telah disunting dalam bentuk teknik pengimejan berkomputer (CGI) oleh pakar penyunting di India.

"Saya tampilkan filem ini dengan pengarahan yang sangat lain daripada yang lain. Bukan setakat CGI yang kami fokuskan tetapi juga penggunaan teknik kamera dan sinematografi supaya filem ini nampak lebih cantik," ujarnya.

Aku Akan Muncul bakal ditayangkan bermula 27 Februari 2014.

Sumber

Sunday, February 23, 2014

Warga asing kena bayar kos perubatan sebenar - Subsidi untuk rakyat Malaysia bukan untuk ANDA.

Tiada subsidi untuk warga asing di Hospital kerajaan
PUTRAJAYA: Warga asing bakal dikenakan bayaran kos perubatan sebenar di klinik dan hospital kerajaan tidak lama lagi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata pada masa ini warga asing termasuk pekerja dan pelajar yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan menikmati subsidi perubatan antara 30 hingga 40 peratus.

"Dengan pelaksanaan langkah tersebut, kerajaam mampu menjimatkan sehingga RM100 juta setahun yang wang itu boleh digunakan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan di negara ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpuan bulanan kementerian itu di sini Isnin.

Beliau berkata kementerian sedang memuktamadkan kos tersebut sebelum dikuatkuasakan.

Beliau turut melancarkan logo rasmi kementerian dengan moto 'Kami Sedia Membantu' yang akan diguna pakai bagi jabatan, institusi, unit dan agensi kesihatan selain urusan surat menyurat dan portal kementerian.

Dr Subramaniam berkata di beberapa negara Eropah seperti United Kingdom, warga asing perlu memiliki polisi perubatan sendiri yang jika tidak mereka terpaksa menanggung segala kos perubatannya.

Beliau berkata oleh itu rakyat perlu menghargai perkhidmatan kesihatan kerajaan yang memberikan subsidi kepada mereka sehingga 98 peratus.

Sementara itu beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM1.9 bilion tahun ini bagi pembangunan hospital dan klinik di seluruh negara merangkumi kos pembinaan blok tambahan baharu dan kerja-kerja menaik taraf.

"Kita cuba menyelesaikan seberapa banyak masalah yang dihadapi oleh hospital. Kita menerima hakikat bahawa kebanyakan hospital perlu di naik taraf dan ia tidak boleh dilakukan sekali gus tetapi secara berperingkat," katanya.

Sumber - BERNAMA

Rumah terbalik di Sabah, idea perniagaan dianggap gila tapi sudah dikunjungi lerbih 1 juta pelancong.

Rumah Terbalik di Tamparuli, Sabah telah dikunjungi lebih 1 juta pelancong

Benarlah kata orang, jika seseorang itu betul-betul menjiwai sesuatu usaha yang sedang dibuatnya, benda yang dikatakan mustahil pun boleh terjadi.

Itu yang berlaku kepada syarikat Trekkers Lodge Sdn Bhd yang mencipta dan mengendalikan tarikan pelancongan Rumah Terbalik di Tamparuli, Sabah.

Ya, rumah itu memang terbalik. Matlamat di sebalik idea unik itu mudah, iaitu bagi menaikkan sektor pelancongan di Sabah.

Berbekalkan kos pembinaan RM1 juta, rumah itu yang mengambil masa enam bulan untuk dibina akhirnya siap pada Januari 2012, sebelum dibuka kepada pelancong pada 9 Mac 2012.

Penolong Pengurus Tamu Rumah Terbalik Ayub Janien berkata, sejak ianya dibuka sehingga pertengahan tahun lalu, jumlah pengunjung ke rumah itu mencecah satu juta orang.

“Pada minggu pertama dan kedua selepas pelancaran, jumlah orang yang datang sudah melebihi 20,000,” katanya semasa ditemui di Rumah Terbalik yang menggaji 58 pekerja.

Kini, Rumah Terbalik menjadi antara tarikan yang dipromosikan di laman web rasmi Lembaga Pelancongan Sabah.

Idea dianggap gila dan mustahil

Sama seperti idea unik yang lain dalam perniagaan, cadangan untuk membina Rumah Terbalik dianggap idea gila oleh banyak pihak lain.

“Apabila kita kata hendak buat rumah yang dibina terbalik, orang cakap kita gila. “Ramai orang tidak percaya Rumah Terbalik ini boleh dibina. Hendak minta lesen untuk bina rumah ini pun memang
susah,” katanya.

Menurut beliau, rumah itu dibina menggunakan khidmat kontraktor tempatan tetapi mereka terpaksa beberapa kali menukar kontraktor sebelum ia dapat disiapkan.

“Ramai kontraktor tidak sanggup hendak bina rumah ini. Bahagian paling susah untuk dibina adalah bahagian atap.

“Kalau di luar negara, mereka bina sebuah rumah biasa, kemudian mereka terbalikkan. Tetapi kita bina terus bermula dengan atap di atas tanah,” katanya.

Beliau berkata, rancangan awal adalah untuk membina rumah itu di atas bukit, namun keadaan tanah yang tidak sesuai menyebabkan lokasinya ditukar.

Rumah terbalik pertama di Asia Tenggara

Ayub berkata, Rumah Terbalik itu memecah rekod sebagai yang pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara.

Selain di Sabah, rumah terbalik turut dibina sebagai tarikan pelancong di luar negara, antaranya di Rusia, Jerman dan Kanada.

Menurut Ayub, walaupun pada awalnya rumah itu dibina untuk tarikan pelancong asing, kebanyakan pengunjung yang datang adalah dari sekitar Sabah sendiri.

“Kami juga sebenarnya agak terperanjat dengan sambutan orang tempatan terhadap rumah ini.

“Musim cuti umum dan cuti sekolah di Malaysia adalah waktu paling sibuk untuk kami,” katanya yang menambah mereka menerima sehingga 3,000 pengunjung setiap hari untuk lawatan kira-kira 20 minit memasuki rumah itu.

Apa yang menarik perhatian begitu ramai pengunjung?

Pastinya hiasan dalaman rumah itu, yang semuanya dipasang secara terbalik, jadi apabila pengunjung memasuki rumah tersebut, mereka akan melihat sofa dan set televisyen di atas kepala manakala kipas dan lampu di lantai.

“Kipas di lantai itu sebenarnya boleh berfungsi seperti biasa, cuma kami tidak hidupkan atas faktor keselamatan.

“Dalam banyak-banyak barang ini, tong gas paling susah untuk dipasang,” katanya sambil menjelaskan kesemua hiasan dalaman dan keperluan harian di dalam rumah itu dilekatkan menggunakan gam khas dan dibiarkan sehingga sehari untuk memastikan ianya benar-benar kukuh.

Menurut Ayub, sebahagian daripada hiasan rumah itu diimport khas dari Semenanjung Malaysia untuk memastikan reka bentuk dan kualitinya terjamin.

“Namun, Rumah Terbalik ini dibina mengikut reka bentuk rumah di Sabah, tidak sama dengan di Semenanjung Malaysia. Rumah ini juga menggambarkan corak hidup orang Sabah, terutama  kepercayaan zaman dahulu,” katanya.

Selain hiasan dalaman rumah, bahagian luar rumah itu juga dilengkapi barangbarang biasa yang ada di rumah di Malaysia, tetapi bezanya barangan itu, seperti penyapu, basikal dan kereta, juga terbalik.

Rancang bina sebuah lagi rumah terbalik

Ayub berkata, syarikat itu dalam perancangan untuk membina sebuah lagi Rumah Terbalik di Sepilok, Sabah.

“Buat masa ini, kami akan memberi perhatian kepada Rumah Terbalik di Kota Kinabalu ini dahulu.

“Kami ada membuat tambahan baru, iaitu taman terbalik di bahagian luar. Kami juga bina tandas terbalik di bahagian luar rumah untuk tujuan mengambil gambar kerana di dalam rumah itu, kami tidak
benarkan pengunjung mengambil gambar,” jelasnya.

Menurut Ayub, Trekkers Lodge juga akan membeli sebuah bas untuk menyediakan pengangkutan percuma dari lokasi tertentu di Kota Kinabalu ke Rumah Terbalik.

Selain Rumah Terbalik sebagai tarikan utama, syarikat itu turut giat mempromosi Restoran Mango Garden dan kafeteria yang terletak dalam kawasan rumah itu.

“Jika pengunjung sudah pernah datang dan masuk ke dalam Rumah Terbalik, mereka boleh datang semula untuk menikmati makanan di restoran ini pula,” katanya mengenai Restoran Mango Garden
yang pernah memasuki sebuah rancangan makanan terkenal.

Menurut beliau, pembinaan Rumah Terbalik di kawasan pinggir bandar itu turut memberi kesan baik kepada penduduk di pekan Tamparuli.

“Sudah mula ada kemajuan di pekan ini kerana ramai pelancong sama ada tempatan atau luar yang datang ke sini,” katanya.

Ayub berkata, di sebalik sambutan menggalakkan, syarikat itu tidak merancang menaikkan harga tiket yang ditetapkan pada RM10 bagi pemegang MyKad dewasa, RM5 bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun (dan percuma bagi kanak-kanak di bawah tiga tahun) dan RM18 bagi pelancong luar.

Semasa dalam pembikinan

 
Keretapun terbalik 

Hasil yang  menarik